Kopitiam - Cita rasa pelbagai kaum
Di sinilah selalunya lokasi bagi menemui teman-teman lama sambil berbual kosong sehingga berjam-jam lamanya. Kadang kala bercawancawan kopi dipekena tanpa disedari.
Masa turut berubah, kini bermacam cara pengusaha-pengusaha mengembalikan nostalgia itu kepada orang ramai dengan memperkenalkan kopitiam moden.
Kebanyakan kopitiam kini menggunakan konsep moden, namun masih mengekalkan ciri-ciri tradisional kaum Cina iaitu menawarkan menu utama seperti air kopi, roti bakar dan telur separuh masak kerana ia menjadi kegemaran masyarakat kini dan tidak hanya terbatas pada waktu sarapan sahaja.
Inilah juga menu yang ditawarkan oleh Killiney Kopitiam, di Giant Kota Damansara, Selangor, yang dibuka pada 27 November lalu.
Menurut pengarahnya, Nizran Noordin, selain menawarkan hidangan wajib kopitiam, turut disediakan masakan seperti mi rebus, laksa Singapura, mi Siam, nyonya kari ayam dan 20 jenis makanan tempatan seperti nasi lemak, keutiaw goreng, nasi goreng pes laksa Singapura dan mi Kantonis.
''Killiney di Giant Kota Damansara ini merupakan cawangan kedua selepas Sooka Sentral, Kuala Lumpur yang dibuka setahun yang lalu.
''Kami memilih menjadi francisor Killiney Kopitiam yang beroperasi di Singapura kerana mahukan sesuatu yang berlainan daripada kopitiam yang sedia ada di negara ini.
"Kami melihat, kopitiam ini boleh menawarkan makanan mengikut cita rasa pelbagai kaum dan tiada batasan menu mengikut waktu, maknanya setiap waktu, semua makanan boleh dipesan dan dimakan,'' katanya ketika ditemui di kopitiam di Kota Damansara, baru-baru ini.
Menurut Nizran, Killiney Kopitiam merupakan dua kopitiam yang popular di Singapura. Hanya bermula dengan sebuah kedai kopi biasa pada tahun 1919 yang terletak di Jalan Killiney yang terkenal dengan kelazatan roti bakar dan air kopinya.
Kini di Singapura sahaja telah ada 26 cawangan manakala di Malaysia, terdapat enam termasuklah di Giant Kota Damansara ini.
Sementara itu, menurut seorang lagi pengarah, Nizreen Noordin, sempena promosi pembukaan cawangan baru ini, kopi-o panas atau sejuk percuma diberi percuma setiap hari dengan sebarang pembelian dalam satu resit. Tawaran ini sah sehingga 31 Januari ini.
"Mengenai makanan berasaskan mi, semua pes ramuannya dan kaya dibekalkan oleh Killiney dan telah mendapat pengesahan halal oleh Majlis Agama Islam Singapura.
Manakala bahan mentah seperti ayam, udang, ikan diperoleh secara tempatan,'' jelasnya berharap dalam masa lapan tahun, sebanyak 10 lagi Killiney Kopitiam di bawah syarikatnya akan diwujudkan.
Chef Fauzi Mohd., yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam masakan tempatan dan Barat memberitahu, pelanggan yang datang ke kopitiam harus mencuba laksa Singapura yang dijamin memberi rasa yang cukup berlainan termasuklah aromanya.
''Mi rebus pula mempunyai kuah pekat dan rasa pedas manis manakala mi Siam, berkuah taucu. Tidak ketinggalan, nyonya kari ayam yang tidak pedas tetapi berkuah kentang,'' katanya.