Pilihan Raya Kuala Terengganu paling aman

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu esok bakal menjadi pilihan raya yang cukup aman setakat ini di negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata, daripada laporan, tinjauan, risikan dan kajian yang dibuat, semua perkara yang dianggap boleh berlaku sehingga boleh mengganggu perjalanan pilihan raya, sudahpun ditentukan ia tidak berlaku di sini.

"Sehingga ini kita tidak dengar cerita-cerita mengenai pengundi luar, orang mengambil tindakan sehingga menganggu mana-mana pengundi dan saya percaya ini adalah satu-satunya pilihan raya yang cukup aman.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan di atas kejayaan mereka mengawal dan memelihara suasana ini dengan baik, tersusun dan teratur.

"Memang ada lojiknya kita buat persediaan rapi walaupun pada peringkat awal ada cakap-cakap yang kurang senang didengar, tetapi sehingga hari ini perkara itu tidak berlaku," katanya selepas merasmikan program Sehari Bersama Pertahanan Awam.

Syed Hamid berkata, sehingga ini proses pilihan raya kecil itu berjalan dengan baik dan lancar.

Beliau berkata, tepat sekali keputusan kerajaan dalam membuat persediaan keselamatan yang rapi semasa hari penamaan calon pada 6 Jan lepas sehingga pada hari pengundian.

Katanya, di kawasan Parlimen Kuala Terengganu mengikut pilihan raya umum yang lalu, jumlah pengundi keluar mengundi adalah tinggi iaitu sehingga 85 peratus dan kali ini peratus keluar mengundi mungkin lebih tinggi.

"Yang paling penting tidak ada gangguan dan pengundi hendaklah keluar mengundi lebih awal supaya dapat mengundi dengan lancar," katanya.

Menjelang pilihan raya esok, Syed Hamid menasihatkan orang ramai supaya jangan dengar khabar angin sehingga melahirkan satu suasana yang tidak tenteram.

"Percayalah kita ambil segala tindakan bagi menjamin semua pengundi dapat keluar mengundi dengan selamat," katanya.

- Bernama
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Mr. Right
    Mr. Right Ahad, 18 Januari 2009 pada 11:21:00 PG SGT

    PAS dah menang. DSAI perlukan 28 lagi kerusi parlimen, kan?

    So, please somebody tolong sponsor badminton racket to all BN MPs?

Add Comment
comment url