SPR jangka peratusan keluar mengundi sama (PRK Kuala Terengganu)

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan yang akan keluar mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Sabtu ini sama seperti ketika pilihan raya umum ke12 Mac tahun lepas.

Pengarah Pilihan Raya negeri, Mohd Noor Daud berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan kepada kesedaran yang tinggi di kalangan rakyat untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, pada pilihan raya umum lepas, sebanyak 82.45 peratus atau 66,231 daripada 80,325 pengundi keluar mengundi di kawasan Parlimen berkenaan.

"Melalui hebahan-hebahan yang dilakukan oleh SPR dan sebagainya, kita jangka peratusan mereka yang keluar mengundi kali ini adalah sama ketika pilihan raya umum lepas.

"Malah, parti-parti politik yang bertanding juga dilihat bekerja keras untuk memastikan orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka Sabtu ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

SPR menyediakan 143 saluran di 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil itu, yang membabitkan 80,229 pengundi berdaftar termasuk 1,302 pengundi pos.

Dalam perkembangan lain, Mohd Noor berkata, SPR tidak menerima laporan berhubung dakwaan PAS bahawa Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim menyalahgunakan kedudukannya sebagai Datuk Bandar dengan menyeru kakitangannya menyokong calon BN.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail daripada BN ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands 28 Nov lepas.

- mstar
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url