Rosmah sabar hadapi fitnah

"SAYA meluangkan masa selama tiga jam belajar tafsir al-Quran dan mendengar ceramah di rumah setiap Khamis bagi membina kekuatan dan menghadapi tohmahan serta fitnah terhadap kami (keluarga)," kata Datin Seri Rosmah Mansor

Katanya, sebagai isteri Timbalan Perdana Menteri beliau tidak terlepas daripada fitnah dan tohmahan, manakala tindakannya sering dipolitikkan oleh pembangkang yang sentiasa berusaha mencari kesalahan dan kelemahan mereka sekeluarga.

Malah beliau turut dilabel sebagai 'queen control' kerana sering mengikut suaminya ke majlis rasmi sama ada dalam atau luar negara.

"Saya tak faham macam mana dia orang boleh buat andaian sebegitu sedangkan tak tahu apa yang terjadi dalam rumah tangga saya. Sebagai isteri saya memang bertanggungjawab beri nasihat dan tegur kalau ada yang tak kena, itu saja.

"Kalau saya buat kebaikan tiada pula dia orang nak tulis. Sebenarnya sama saja dengan isteri lain, kalau ke majlis memanglah saya temankan sebab suami saya dan permintaan Datuk Seri Najib (Razak) sendiri," katanya selepas ceramah agama yang disampaikan Datuk Dr Fatma Az-Zahra di Masjid Ku Sulong, Kuala Ibai, semalam.

Hadir sama, Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad dan isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Norliza Mahmud.

Rosmah berkata, sebagai isteri pemimpin negara, beliau mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dan semua pengorbanan dibuat demi kepentingan mereka.

"Kalau ada yang kata saya buat untuk dapat nama, itu tidak betul kerana sebagai isteri pemimpin, saya bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat... saya pun tidak hairan dengan fitnah kerana saya dapat banyak pahala melaluinya," katanya.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url