Hak mengundi tahanan ISA di luar kuasa SPR

Mahkamah Rayuan semalam memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah menafikan hak tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengundi pada pilihan raya umum.

Hakim Zulkefli Ahmad Makinuddin berkata, bukan menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan tahanan di pusat tahanan mengundi pada hari mengundi kerana Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa setiap warga negara berusia 21 tahun, bermastautin dan berada dalam senarai daftar pemilih, layak untuk mengundi.

Katanya, perayu ditahan mengikut ISA di Pusat Tahanan Kamunting dan tidak dibenarkan keluar dari pusat itu dan oleh yang demikian adalah di luar bidang kuasa SPR untuk menghalang perayu untuk mengundi di kawasan pilihan raya mereka.

"Walaupun SPR mempunyai budi bicara yang luas dan tanpa had untuk membuat peraturan bagi membolehkan perayu mengundi tetapi apa juga undang-undang yang SPR gubal tidak boleh melanggar peruntukan Akta ISA 1960.

"Selain itu, peraturan yang dibuat mesti selaras dengan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan khususnya warga negara melaksanakan hak dan tanggungjawabnya sebagai pengundi di mana beliau didaftar sebagai pemilih.

Zulkefli (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), bersidang bersama Hakim Datuk Wira Low Hop Bing dan Datuk Zainun Ali, membuat keputusan itu ketika mendengar rayuan 22 tahanan ISA terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman mereka yang ditolak SPR untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.

Zulkefli dan Low menolak rayuan itu dengan kos manakala Zainun membantah.

Semua 22 tahanan itu ialah Yazid Sufaat, Nik Adli Nik Abdul Aziz, Ahmad Yani Ismail, Zainon Ismail, Abd Samad Shukri Mohamad, Abu Bakar Che Doi, Mat Sah Mohd Satray, Md Lotfi Ariffin, Idris Salim, Muhamad Zulkepli Md Isa, Mohd Sha Sarijan, Solehan Abdul Ghafar, Abdul Murad Sudin, Mohd Rafi Udin, Nordin Ahmad, Asfawani Abdullah @ Ab Wahab, Roshelmy Md Sharif, Alias Ngah, Suhaimi Mokhtar, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria, Mat Salleh Said dan Khairuddin Saad.

Mereka mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa hak asasi di bawah Artikel 119 untuk mengundi pada pilihan raya umum dinafikan dan diingkari SPR.

Semua mereka ditahan kerana didakwa terbabit dalam kumpulan Jemaah Islamiah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url