Semangat Pemuda di tahap terbaik - Hishamuddin (PRK Kuala Terengganu)

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bangga melihat semangat dan moral jentera Pemuda yang begitu tinggi untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau berkata, daripada penelitian dan perjumpaan dengan 104 ketua cawangan Pemuda UMNO di bahagian ini jelas mendapati barisan jentera pada pilihan raya kali ini adalah yang terbaik.

Katanya, ini banyak didorong kerana faktor calon BN sendiri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

''Sekarang tinggal lagi macam mana hendak pastikan semangat yang cukup tinggi itu kekal sehingga hari pengundian di samping yang paling penting adalah bagaimana hendak pastikan gerakan yang telah wujud itu berjaya sampai kepada pengundi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin menambah, bagi tujuan itu, barisan kepimpinan Pemuda sedang merangka program pengisian dengan bilik gerakan menjelangnya hari pengundian 17 Januari ini.

Katanya, keseluruhannya gerak kerja yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen yang bermula Selasa lalu amat mengkagumkan terutama koordinasi yang baik dengan semua peringkat barisan Pemuda.

''Saya tengok kita dalam keadaan cukup baik cuma masih terlalu awal untuk diterjemahkan dalam bentuk sokongan undi khususnya golongan muda.

''Tapi saya percaya pada satu bab, jentera dan gerakan kita berada pada landasan yang tepat dan kalau ia terus kekal berjalan lancar, kita boleh jadikan ia contoh untuk berdepan dengan pilihan raya kecil yang lain," jelasnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url