Semua Pihak Menyerang Pada Pusingan Akhir Kempen (PRK Kuala Terengganu)

Setelah berkempen secara mempertahankan diri, kini Barisan Nasional (BN) menggiatkan kempennya secara menyerang, dengan meningkatkan serangan politik secara besar-besaran terhadap PAS.

"Pertempuran" untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kini dilihat seimbang dengan kedua-dua calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan PAS Mohd Abdul Wahid Endut berusaha menemui pengundi yang mereka percaya mereka masih boleh menukar fikirannya.

Pada ceramah di kawasan Melayu, BN menyifatkan PAS sebagai tidak cekap, sementara bagi kaum Cina, PAS digambarkan sebagai "pelampau".

Sejak Ahad, jentera BN telah memasang banyak sepanduk dan mengedarkan risalah untuk mengingatkan pengundi mengenai apa yang mereka dakwa sebagai kegagalan PAS semasa pentadbirannya di negeri itu antara 1999 dan 2004.

"PAS Kluk Klek," bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh mengulangi laungannya dalam dialek tempatan di setiap ceramah, menyebabkan PAS sering menukar dasarnya untuk disesuaikan dengan rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR). Ada juga sepanduk dengan slogan 'Dok Rok Chetong' bertujuan menggambarkan PAS sebagai lemah kerana tunduk kepada DAP mengenai isu hudud.

Sementara itu, MCA mengedarkan risalah dan terbitan iklan dalam akhbar Cina untuk mengingatkan masyarakat tersebut mengenai pencapaian lepas calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut.

"Semasa beliau menjadi exco negeri, beliau penuh dengan kontroversi. Beliau cuba mengambil alih Tokong Tian Hou dan perancang pelaksanaan undang-undang hudud," menurut satu iklan dalam akhbar Cina.

Iklan itu juga menyatakan bahawa PAS telah menggugurkan hasratnya untuk mewujudkan sebuah negara kebajikan dan sebaliknya bercakap berulang-ulang mengenai objektifnya bagi menubuhkan sebuah negeri Islam.

Setiausaha agung MCA Datuk Wong Fook Meng berkata mereka memutuskan untuk membuat iklan bagi menerangkan kepada pengundi betapa pentingnya memilih calon BN sebagai wakil mereka.

"Ini bagi membolehkan pengundi mendapat gambaran jelas mengenai apa yang kerajaan telah lakukan untuk Kuala Terengganu dan masyarakat Cina di negeri ini," kata beliau.

Ia juga mengkritik rakan PAS dalam PR -- DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana menanamkan kebencian dan kemarahan terhadap kerajaan di kalangan orang ramai.

Di pihak sebelah sana pula, pembangkang juga mengukuhkan kempennya dengan lebih ramai pemimpin PR memberikan ceramah mengenai isu nasional pada setiap ceramah.

Antara mereka ialah menteri besar dan ketua menteri daripada PR di negeri yang dikuasainya -- Datuk Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Perak), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Selangor), Datuk Azizan Abdul Razak (Kedah) dan Lim Guan Eng (Pulau Pinang).

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan penulis laman blog Raja Petra Kamarudin juga hadir di sini memberikan ceramah pada peringkat akhir kempen.

"Pada malam tadi sahaja, kita ada hampir 21 ceramah. Ceramah besar seperti ini dan kempen rumah-ke-rumah akan dipertingkatkan sehingga ke saat akhir," kata Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali kepada Bernama.

"Dalam aspek tahap sokongan, ia adalah sengit," tambah beliau.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua berkata pengundi di Kuala Terengganu hendaklah memilih calon PAS untuk memberikan satu lagi mesej kuat kepada BN.

"Kita merasakan kita ada kelebihan sedikit walaupun kini ia nampaknya seperti 50-50," kata beliau.

Kurang 80,000 pengundi akan keluar mengundi Sabtu ini setelah 1,302 pengundi pos mengundi Isnin lepas.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url