SPR: Bertanding secara berhemah
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof juga mahu pihak terbabit agar jangan mengulangi kejadian buruk seperti yang berlaku semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Selangor dan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Beliau memberitahu, ia penting bagi memastikan proses dan perjalanan pilihan raya kecil itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Katanya, SPR berharap sesiapa juga yang menyertai pilihan raya ini bertanding secara sihat tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong pihak lain.
''Janganlah cuba cabar-mencabar, memaki hamun orang lain, ikut peraturan ditetapkan, jangan caci dan cerca pihak polis kerana apa yang kita mahukan perjalanan pilihan raya berlangsung secara aman,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa melawat persiapan terakhir SPR di pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.
Hadir sama ialah Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim; Pengarah Pilihan Raya negeri, Mohamad Nor Daud dan beberapa pegawai kanan SPR.
Abdul Aziz berkata, pihaknya akan berganding bahu dengan polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa agensi lain dalam memantau perjalanan kempen pilihan raya ini.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa saja yang bertindak melampaui peraturan yang ditetapkan.
Mengenai penyebaran poster dan gambar wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu di beberapa jalan sekitar bandar raya ini Abdul Aziz berkata, ia mungkin dilakukan oleh pihak yang mengambil kesempatan untuk memburukkan keadaan.
Menurutnya, SPR dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah menurunkan poster dan gambar wanita berkenaan.
- Utusan