Tarikan kuasa Levi's 501
Menyebut sahaja seluar jeans, pasti di mata terbayang Levi‘s. Jenama unggul yang telah bertapak lebih 100 tahun itu sememangnya paling dikenali ramai, malah namanya juga cukup gah dalam dunia jean sejak diperkenalkan hingga kini.
Dalam deretan seluar jean ciptaannya, jean Levi‘s 501 yang berpotongan lurus dan berbutang paling digemari dan sentiasa menjadi kegilaan ramai khususnya lelaki.
Biarpun kehangatan tidak pernah pudar, namun Levi‘s tetap mengambil inisiatif untuk menghangatkan lagi kehadiran seluar jean tersebut agar ia sentiasa mekar di hati pengguna.
Untuk itu, seluar jean Levi‘s 501 bukan hanya diperkemaskan agar tampil lebih moden, tetapi lebih menarik semangatnya yang diserlahkan melalui kempen terbaru yang unik dan menggoda dengan mengajak peminatnya meluahkan soalan “Who Do You Want To Unbutton?”
Pengarah Perancang Penjenamaan Strategik untuk Levi‘s bagi kawasan Asia Pasifik, Agnes Tann berkata, kempen terbaru itu adalah rentetan daripada gegaran kempen terdahulu, Live Unbuttoned yang hadir sebagai simbolik kepada proses ‘membuka butang’.
Dan kini katanya, ia sekali lagi mengajak peminat jenama itu untuk melangkah setapak ke hadapan bagi merasai keseronokan ‘membuka butang’. Cuma kali ini ia menggambarkan luahan ekspresi diri secara bebas tanpa halangan melalui pancaran semangat Levi‘s 501.
‘‘Melalui kempen ini, kami membawa jean yang baru ini ke satu tahap yang lebih tinggi dengan menggalakkan penggemar khususnya generasi baru untuk menyahut cabaran dalam meluahkan ekspresi diri tidak kira lelaki mahupun wanita.
‘‘Apa yang diharapkan, usaha ini dapat mewujudkan satu semangat baru dalam diri mereka agar tidak lagi malu meluahkan emosi diri masing-masing,” katanya.
Bersempena dengan itu dan juga rentetan daripada pelancaran Levi‘s 501 versi baru, jenama tersebut tidak lupa memperkenalkan jean jenis sama untuk wanita.
Menariknya, seluar jean ini direka dengan potongan yang khusus untuk wanita tetapi
masih mengekalkan keunggulan. Ia juga mengambil inspirasi daripada potongan tahun 1950-an apabila melihat bintang Hollywood tampak bersemangat menggayakan seluar jeans 501.
Ciptaan terbaru, potongannya terletak cantik pada tubuh pemakai dan selesa digayakan setiap masa. Lebih istimewa, ia juga mampu menyerlahkan keseksian wanita.
Potongan terbaru itu adalah seluar jean yang perlu ada dalam almari lelaki mahupun wanita yang menggemari gaya denim mahupun jeans.
Sebabnya, seluar jeans 501 cukup unik. Malah, ia dibuat menggunakan fabrik XX Cone Denim yang terbukti tahan lasak. XX Cone Denim merupakan fabrik eksklusif dan telah digunakan bagi membuat jeans 501 sejak lewat tahun 1920-an.
Cara memotong jean ini juga dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang pembaziran fabrik semasa proses pengeluaran.
Ciri menarik lain bagi jean Levi’s 501 termasuklah label jenama di pinggang yang terletak pada bahagian dalam seluar, kocek yang menarik dan tampalan kulit.