Temubual dengan Najib - Senario pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Permatang Pauh berbeza (PRK Kuala Terengganu)

APAKAH yang membezakan perspektif antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang dalam menghadapi pilihan raya kecil seperti di Kuala Terengganu sekarang?

BN sebagai parti yang memerintah negara ketika ini pastinya mempunyai tanggungjawab besar untuk melihat sesuatu bagi satu tempoh masa yang panjang. Justeru, perspektif BN ialah menyediakan pelan jangka panjang bagi menyediakan generasi akan datang. Pertimbangan untuk memenuhi tuntutan masa depan adalah sesuatu yang lebih diberi perhatian. Berbeza dengan pembangkang, mereka hanya mengutamakan kejayaan semasa iaitu untuk memenangi pilihan raya. Kebiasaannya pembangkang hanya memberi penekanan kepada dasar yang menjurus kepada peningkatan populariti mereka. Mereka tak ambil kira dasar untuk jangka panjang. Pendekatan itu nyata berbeza dengan apa yang BN amalkan.

Bagaimana Datuk Seri melihat peluang kedua-dua pihak khususnya BN dan Pas sepanjang tempoh berkempen ketika ini?

Tidak dinafikan BN menghadapi persaingan sengit meskipun sudah memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2008, namun dengan kemenangan yang tipis iaitu majoriti hanya 628 undi. Ini bererti kekuatan antara BN dan pembangkang seimbang. Bertitik tolak atas faktor itu, semua pihak perlu bersikap realistik untuk mencapai kemenangan. Setiap undi itu penting. Jentera BN perlu bekerja dengan penuh semangat hingga ke saat akhir. Mereka perlu pastikan semua penyokong keluar mengundi. Jika tidak fokus, ia pastinya sesuatu yang menyukarkan untuk mencapai kemenangan berdasarkan kepada senario yang disebutkan tadi. Namun, jika merujuk kepada sejarah di Kuala Terengganu, BN lebih banyak menang daripada kalah meskipun sering berdepan persaingan sengit. Ia satu perspektif sejarah yang perlu diambil kira. Itu bermakna kerusi itu mampu BN menangi dan tak boleh anggap sebagai bukan milik BN.

Bolehkah Datuk Seri bezakan mentaliti antara pengundi di Kuala Terengganu dengan Permatang Pauh?

Jauh berbeza dan tidak boleh dibuat perbandingan. Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang ditadbir oleh pembangkang. Kerusi Permatang Pauh adalah kerusi pembangkang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula bertanding sebagai anak tempatan yang sudah lama memegang kerusi itu. Malah, pada ketika itu, dia menguar-uarkan slogan 'Dari Permatang Pauh ke Putrajaya' sedangkan ketika itu rakyat belum lagi melalui tarikh 16 September seperti yang beliau tekankan (untuk ambil alih Kerajaan Persekutuan). Ia sekali gus menyebabkan ramai yang terpengaruh. Masalah dalaman pada peringkat bahagian Umno juga menjadi rahsia terbuka yang menjejaskan prestasi Umno ketika itu. Berbeza dengan Kuala Terengganu yang berada dalam negeri yang ditadbir oleh BN dan kerusi itu sendiri sudah BN menangi. Calon BN pula ialah Ketua Umno Bahagian serta seorang Timbalan Menteri. Banyak bezanya yang perlu diambil kira.

Bagaimana Datuk Seri melihat pelbagai isu yang ditimbulkan pembangkang, termasuk soal royalti yang menurut dakwaan mereka, BN gagal menyalurkannya dengan baik dan telus?

Kita sudah membuat satu pendirian yang tegas bahawa wang royalti ini akan dikembalikan ke pangkuan rakyat Terengganu. Kerana itu saya sudah menyerahkan cek bernilai RM408 juta sebagai wang royalti bagi 2007 dan 2008. Selepas ini, tidak timbul lagi sebarang pertikaian atau polemik kerana ia akan diurus tadbir sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Berdasarkan kedudukan semasa, dilaporkan BN agak ketinggalan. Apa komen Datuk Seri?

Ia berdasarkan siapa yang yang melakukan 'rating'. Setakat ini pelbagai 'rating' dibuat. Jika kita melihat kepada 'rating', bahaya kerana ia tak menggambarkan senario sebenar. Pada saya, peluang BN di Kuala Terengganu masih terbuka. Kita boleh menang dan kita juga boleh kalah. Namun, kita hanya boleh menang dengan syarat semua pihak yang sebelum ini memberi komitmen untuk menyokong kita akan kekal berbuat demikian.

Pembangkang juga ada memainkan isu Terengganu sebagai negeri yang kaya, tetapi banyak berlaku pengangguran. Sejauh mana isu itu mampu menghakis sokongan pengundi kepada BN?

Semua pihak perlu melihat rekod terdahulu iaitu ketika Terengganu diperintah Pas pada 1999 hingga 2004. Kita semua dapat lihat dalam tempoh itu, Pas gagal memenuhi harapan rakyat Terengganu meskipun mereka menaburkan pelbagai janji, termasuk menghapuskan cukai tanah tetapi ia tidak dilaksanakan. Mereka janji, jika menang apabila ayam berkokok keesokan harinya, hukum hudud akan dilaksanakan, tetapi mereka tak buat. Janji nak buat masjid tapi akhirnya mereka hanya dapat bina sebuah masjid, itupun dengan kerangka saja. Banyak lagi perkara berlaku termasuk menutup Tadika Kemas. Jadi semua yang berlaku menunjukkan ketika di bawah Pas, rakyat Terengganu melalui satu tempoh masa yang kelam. Ia menjadi lebih cerah apabila BN memerintah sejak 2004. Namun, apa yang dibuat ini memerlukan tempoh masa tertentu. Seperti yang kita tahu, untuk menghapuskan kemiskinan bukan setakat tertumpu pada pendapatan tetapi minda, budaya dan masalah pendidikan. Ia bersifat jangka panjang. Mana-mana negara pun tidak mampu menghapuskan kemiskinan segera. Di Amerika Syarikat pun ada orang miskin.

Pas mendakwa undi masyarakat Cina akan terarah kepada mereka kerana selama ini masyarakat itu didiskriminasi oleh BN?

Sebenarnya, diskriminasi yang dilakukan oleh Pas lebih teruk. Saya beri tiga contoh. Pertama, sebuah kuil yang bersejarah, berusia 113 tahun di tengah bandar yang sangat penting kepada masyarakat Cina. Ketika Pas memerintah, mereka sudah mengeluarkan notis untuk mengambil alih kuil berkenaan. Namun, apabila ada orang Cina memprotes, baru mereka batalkan perancangan. BN tak pernah buat perkara sebegitu. Kedua, dalam sejarah, BN tak pernah menafikan hak orang Cina memiliki kerusi dalam bandar Kuala Terengganu dan dilantik sebagai Exco. Pas tak pernah beri kerusi di Terengganu kepada bukan Melayu. Ketiga, wang ihsan diberi sama rata, orang Melayu dapat, begitu juga Cina. Jadi siapa yang diskriminasi, Pas atau BN?

Bagaimana pula dengan pengundi generasi baru. Kebiasaannya mereka lebih cenderung kepada pembangkang?

Dalam konteks Kuala Terengganu, ada peti undi yang mana di saluran satu dan dua, BN kalah tetapi menang untuk saluran tiga dan empat. Jadi, kita tak boleh buat tafsiran sebegitu. Tak boleh kata pengundi muda menentang BN, manakala pengundi lama menyokong BN. Ia tidak berlaku dan patennya lain di Kuala Terengganu. Banyak program dianjurkan untuk pengundi muda. Jika kita melihat kepada kepentingan pengundi muda, mesti mereka mahu melihat pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat sekali gus membuka peluang kerjaya yang lebih banyak. Ia pastinya menguntungkan pengundi muda. Aktiviti seperti larian Sprint dan kejohanan bola sepak berjaya menarik ribuan orang muda. Setakat ini, berdasarkan kepada keputusan pilihan raya umum lalu, tak semestinya pengundi muda tak sokong kerajaan. Kita harap keadaan ini akan berulang kali ini.

Pembangkang menekankan usaha untuk menambah bilangan Ahli Parlimen mereka di Dewan Rakyat. Bagaimana Datuk Seri melihat kewajaran ini?

Saya tak nampak ia sebagai sesuatu yang sepatutnya menjadi pertimbangan kepada pengundi di Kuala Terengganu. Sepatutnya, soal pokok ketika pilihan raya kecil ialah bukan mengenai menubuhkan kerajaan tetapi siapa yang boleh mewakili mereka. Kalau saya sebagai pengundi, itulah perkara asas yang menjadi pertimbangan utama dan patut diberi perhatian. Berbeza dengan pilihan raya umum, saya perlu pilih parti mana yang boleh memerintah untuk kesejahteraan negara tetapi untuk pilihan raya kecil, saya nak lihat siapa calon yang boleh memberikan khidmat terbaik di kawasan saya.

Pas juga menyentuh soal tidak perlu bimbang memberi undi kepada calon mereka kerana BN tetap akan memerintah negara?

Itu permainan psikologi tetapi pengundi jangan tertipu dengan kata-kata sebegini. Bagi mereka (Pas), calon mereka sudah menjadi wakil rakyat di DUN Wakaf Mempelam. Kalau menang Parlimen, ia menjadi bonus kepadanya kerana akan dapat elaun sebagai Ahli Parlimen. Apa yang penting sebenarnya ialah kepentingan kepada pengundi di Kuala Terengganu. Kalau BN dipilih, kemudahan sebagai Ahli Parlimen jauh lebih banyak daripada seorang Ahli Parlimen pembangkang.

Pembangkang juga masih lagi menggunakan isu remeh termasuk menyerang peribadi dengan menyentuh soal personaliti?

Saya setuju mereka masih kerap menyentuh perkara remeh dan memfokuskan mengenai personaliti calon walhal mereka tak lihat khidmat yang boleh diberikan oleh seseorang itu. Walaupun seseorang itu ramah tetapi sebaliknya tidak didukung oleh kerajaan, kemampuannya pasti terbatas terutama dalam hal menyelesaikan masalah rakyat. Tentu sekali kita mahukan wakil rakyat yang boleh selesaikan masalah rakyat. Lagipun, calon BN adalah seorang yang berkelulusan dan berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan. Saya yakin beliau akan dapat menyesuaikan diri dengan kehendak rakyat. Pembangkang tak ada modal. Kerana itu mereka menyentuh soal personaliti calon. Sepatutnya mereka perlu lihat mengenai kemampuan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Bagaimana persiapan BN untuk menghadapi isu saat akhir seperti pengundi hantu, tahan bas dan sebagainya?

Setakat ini suasana di Kuala Terengganu adalah di luar jangkaan. Sangat tenang dan aman. Memang ada bendera dan sepanduk tapi selain itu, kita tak rasa ada ketegangan. Kita berharap ia akan kekal pada hari pembuangan undi walaupun sejarah pilihan raya di Kuala Terengganu biasanya berlaku pelbagai insiden. Namun, setakat ini tiada petanda itu. Kehadiran tidak mengganggu sesiapa dan ia tak boleh dijadikan isu. Pembangkang bebas membuat ceramah mereka selagi tidak melanggar undang-undang. Tapi apabila ada polis, nampak tenang.

Adakah sebarang keputusan pada pilihan raya kali ini akan memberi kesan kepada BN?

Memang ia dilihat sebagai titik permulaan petanda kebangkitan dan perubahan dalam BN terutama Umno sendiri. Namun, kita perlu melihat pilihan raya kecil ini dalam perspektif sendiri. Pilihan raya kecil lebih fokus kepada faktor tempatan. Untuk kita menggunakannya sebagai kayu pengukur dalam konteks nasional adalah sesuatu yang kurang tepat. Banyak isu tempatan digunakan. Jadi isu tempatan lebih penting mengatasi isu nasional. Ini bukan penilaian mengenai pentadbiran Perdana Menteri dan referendum untuk saya sendiri. Ia lebih bersifat pilihan raya kecil.

Apakah harapan Datuk Seri terhadap pilihan raya kecil ini?

Kita perlu bersikap realistik. Kita perlu terima hakikat yang saingan kali ini sangat sengit dan hebat. Namun, berdasarkan sejarah sebelum ini, kita lebih banyak menang daripada kalah. Kita mempertahankan kerusi ini. Pastinya BN harap untuk menang kali ini. Namun, ia tertumpu juga kepada sejauh mana usaha kita membuahkan kejayaan. Keputusan itu nanti akan mencerminkan sejauh mana mesej dan calon kita diterima pengundi. Kita perlu mandat daripada rakyat untuk membolehkan kita membuat pembangunan di Terengganu. Tambahan pula, saya yakin apabila wang royalti dikembalikan kepada kerajaan Terengganu, pembangunan akan lebih hebat lagi. Ia membuktikan bahawa jika rakyat mengundi BN, mereka memilih parti yang mampu membawa perubahan besar kepada rakyat.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url