Temuramah Utusan dengan Wahid Endut - Calon PAS (PRK Kuala Terengganu)


MINGGUAN: Apakah benar nama YB tidak masuk dalam senarai akhir sebagai calon Pas?

MOHD. ABDUL WAHID: Nama saya bukan tidak masuk langsung, saya sebagai atas nama Yang Dipertua Pas kawasan memang ada suara-suara yang minta bertanding tetapi saya beritahu, saya sudah ada satu DUN untuk dijaga, oleh itu saya sudah menyuarakan kepada kepimpinan kalau boleh elak, elaklah maknanya bagi rakan-rakan lain. Kita seperti mana kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa dari segi calon kita tidak ada masalah kerana ramai yang layak. Pada peringkat awal, saya terkejut apabila diminta oleh pimpinan untuk mewakili Pas, tetapi akhirnya saya menerima sebagai satu tanggungjawab.

Maknanya tidak betullah andaian bahawa YB adalah calon kompromi bagi mengelakkan perpecahan antara dua puak dalam Pas?

MOHD. ABDUL WAHID: Soal itu tidak timbul kerana kita tidak ada pergolakan dalaman untuk memilih calon. Berikutan ramai yang memberi pandangan dalam soal calon, ia akhirnya diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan. Saya difahamkan, penentuan calon dilakukan selepas perbincangan antara Abdul Hadi, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa. Mereka akhir membuat keputusan sebulat suara memilih saya. Oleh itu soal kompromi antara kumpulan-kumpulan tidak timbul.

Setakat selepas mengadakan kempen, sejauh manakah YB melihat sambutan pengundi-pengundi?

MOHD. ABDUL WAHID: Alhamdulillah, saya rasa terharu dengan cara mereka menyambut saya termasuklah orang Cina. Hubungan saya dengan masyarakat Cina sudah lama iaitu sejak tahun 1986 apabila saya diminta bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar. Walaupun ketika itu saya tewas namun saya terus bekerja dan membina hubungan sehinggalah pada tahun 1990 saya diminta balik bertanding di Wakaf Mempelam. Bagaimanapun hubungan saya dengan mereka tidak terputus. Selain itu, semasa sekolah dahulu saya adalah Ketua Pengawas jadi apabila berkempen saya dapat bertemu semula dengan mereka. Saya memberitahu mereka berhubung perjuangan parti kita dalam pakatan pembangkang dan sebagainya.

Apa yang membuatkan saya terharu ialah kali ini dalam berkempen saya dibantu oleh rakan-rakan daripada DAP dan PKR, ini berbeza pada tahun 1986, ketika itu apabila saya berjumpa orang Cina mungkin kerana takut atau tidak faham mengenai Pas, sambutan tidaklah begitu hebat seperti sekarang. Turut membantu saya ialah jawatan Exco Pembangunan Usahawan, Peniaga kecil, Hal Ehwal Pengguna dan Belia yang saya sandang ketika Pas memerintah antara 1999 hingga 2004. Di bawah pembangunan usahawan terdapat koperasi dan dewan perniagaan termasuk dewan perniagaan Cina. Jadi dari dulu saya selalu berjumpa dengan ahli perniagaan mereka dan hubungan itu berterusan sampai sekarang, maknanya mereka sudah kenal saya.

Dalam usaha mendekati pengundi apa tag line atau slogan yang YB gunakan?

MOHD. ABDUL WAHID: Sudah menjadi prinsip hidup saya bahawa saya sesekali tidak akan mencari musuh, tetapi apabila berjumpa musuh politik saya tidak akan lari kerana kita ada tanggungjawab berdakwah iaitu mengamalkan makruf mencegah kemungkaran. Saya hadapi mereka dengan baik, saya jelaskan prinsip perjuangan saya, soal mereka hendak terima atau tidak itu hak mereka. Dakwah hendak buat baik orang tidak marah sangat hendak cegah kemungkaran itu orang marah sebab mereka suka, tetapi kita kena hadapi mereka dengan baik. Oleh itu apabila saya memegang prinsip ini, orang Cina dulu mungkin anggap musuh dengan saya tetapi apabila kita jelaskan lama-lama mereka faham. Saya tidak tahu mereka undi saya atau tidak, saya tidak kisah tetapi sekurang-kurangnya dia hormat prinsip kita dan kita hormat mereka sebagai rakan. Tambah-tambah pula pendekatan kita sekarang ialah berubah ke arah kemenangan rakyat itu slogan kita. Fokus kita ialah supaya rakyat berani berubah demi untuk keselamatan dan kemenangan mereka. Saya bimbang mereka tahu masalah yang ada sekarang ini tetapi tidak berani kerana tidak menguntungkan mereka, tetapi kita cuba supaya mereka faham.

Jika melihat kepada sejarah kawasan Parlimen Terengganu, sejak tahun 1982 hanya sekali sahaja ia dikuasai oleh Pas, bagaimana YB melihat kali ini?

MOHD. ABDUL WAHID: Dalam pilihan raya umum lalu, sudah berlaku perubahan yang menyeluruh apabila terjadi tsunami politik. Sejarah adalah sejarah. Ia berlaku berasaskan kepada perkembangan, kematangan dan politik pada waktu itu, tetapi sekarang isu sudah berubah, kematangan politik sudah meningkat termasuk di kalangan golongan muda. Oleh itu sudah banyak isu yang tidak boleh mempengaruhi masyarakat, atas sebab itulah saya ‘kasihan’ kepada UMNO dan BN kerana mereka menyatakan kita tidak ada isu, sebenarnya mereka tidak ada isu.

Saya sampai sekarang menunggu apa isu yang BN hendak bawa. Jadi sekarang ini soal kemenangan BN yang lepas biarlah ia menjadi catatan sejarah tetapi untuk sekian lama mereka menguasai Kuala Terengganu tetapi kita pernah juga menang di Kuala Terengganu seperti tahun 1999.

Pada tahun 2004, Datuk Razali Ismail menang kerana Allahyarham dianggap orang yang lebih bersih dan Allahyarham mempertahankan kemenangan dalam pilihan raya umum 2008. Saya kenal Allahyarham Razali. Allahyarham seorang profesional dan tidak mengamalkan rasuah. Di Wakaf Mempelam, kalau ada kematian kadang-kadang saya sampai dulu dan kadang-kadang Allahyarham dahulu. Maknanya Allahyarham tidak pilih bulu dalam menjalankan tugas, tetapi saya kasihan dengan Allahyarham kerana orang sepertinya yang mampu berkhidmat dengan baik, UMNO tidak mahu sehinggakan Allahyarham bertanding di peringkat bahagian pun kalah.

Oleh itu, kalau sekadar hendak berslogan bahawa BN cakna dan membela rakyat, bolehlah. Tetapi rakyat perhatikannya dalam realiti, mereka akan bertanya betulkah?

Saya cukup hormat dengan Razali kerana perkhidmatannya cukup profesional sebagai seorang pendidik, bekas pengarah dan bekas Timbalan Menteri dia cukup komited. Sebagai contohnya, 2008 bila dia bertanding di Kuala Terengganu, keputusannya yang diperolehi, saya menang di peringkat DUN lebih 2,000 undi di peringkat Parlimen calon Pas, Mohamad Sabu menang lebih 1,000 undi maknanya ada yang pilih saya tetapi tidak pilih Mat Sabu atas alasan calon luar dan sebagainya.

Saya tahu di Wakaf Mempelam ada taman di Durian Burong yang didiami oleh semua guru dan pesara bila saya pergi berkempen di situ, mereka kata untuk DUN Wakaf Mempelam saya tidak perlu bimbang untuk Parlimen mereka akan beri kepada Razali sebagai bekas pendidik. Saya boleh terima hakikat itu. Ini membuktikan rakyat sudah matang berpolitik, mereka melihat calon dan track record perkhidmatan.

Adakah ini bermaksud trend memberikan undi di peringkat DUN kepada Pas dan Parlimen kepada BN akan berlaku dalam pilihan raya kecil ini?

MOHD. ABDUL WAHID: Ia bergantung kepada keadaan, kadang kala pengundi menyerahkan kedua-dua kerusi kepada sebuah parti sahaja. Kadang-kadang mereka melihat faktor calon dan kadang-kadang mereka melihat kepada isu. Jadi ini satu benda yang kita tidak boleh kata ‘rigit’ tetapi pokoknya pengundi di Kuala Terengganu mereka matang, lebih terbuka dan peka kepada isu. Ini kerana mereka tinggal di kawasan bandar tetapi ia bukan bermaksud saya mengatakan bahawa penduduk di luar bandar tidak terpelajar tetapi sekurang-kurangnya pengundi bandar tidak tertekan dengan kebendaan dan ugutan. Taktik UMNO sejak dulu ia mengamalkan pendekatan umpan dan ugut, itu yang dikatakan rasuah.

Tetapi apa yang harus diingat, tidak semua orang boleh diumpan dan diugut. Inilah yang berlaku pada tahun 2004, berapa banyak BN gunakan untuk kalahkan Pas di Terengganu. Saya mohon maaf kerana menyatakan perkara ini tetapi ia soal prinsip. Malah pemimpin UMNO sendiri mengakui bahawa mereka tidak mampu membendung gejala politik wang. Atas sebab itulah saya mengingatkan pengundi supaya jangan menjual maruah diri, saya tahu sebagai calon saya tidak boleh beri wang kepada rakyat.

Apabila BN kata apa yang saya buat di Wakaf Mempelam selama 18 tahun menjadi wakil rakyat kerana tidak ada pembangunan, saya ingin tegaskan tugas pembangunan tugas kerajaan bukan tugas saya sebagai wakil rakyat. Tugas saya menjaga rakyat. Tetapi apabila Pas menjadi kerajaan mereka ‘rampas’ wang royalti minyak. Saya ada fakta tetapi BN tidak menjawab apa yang saya hujah, sedangkan tindakan yang sama tidak dilakukan ke atas Sabah dan Sarawak. Saya berani berdepan dengan mereka kerana kes ini, jadi kalau tidak ada pembangunan mereka yang tidak menjalankan tugas bukan saya, ini rakyat faham.

Apa yang YB boleh sumbangkan kalau dipilih menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu?

MOHD. ABDUL WAHID: Pilihan raya kecil ini bukan untuk mengubah kerajaan negeri tetapi ia akan membolehkan suara rakyat Terengganu di Parlimen akan bertambah. Pada ini walaupun ada tujuh Ahli Parlimen BN dari Terengganu, tiada apa yang mereka suarakan bagi menyatakan masalah Terengganu, mereka hanya senyap.

Jika dipilih saya akan bersuara di Parlimen seperti mana saya buat di Dewan Undangan Negeri. Kita tidak boleh berharap kepada Abdul Hadi seorang, saya akan bantu beliau. Jadi cita-cita saya ialah menyatakan suara dan hasrat rakyat.

Itu lebih penting kerana BN menyatakan kalau calon BN menang kita akan beri balik jawatan sebagai Timbalan Menteri itu hanya sekadar mendapat jawatan. Tetapi saya tidak yakin bahawa tujuh orang ini berfungsi untuk menyatakan apa juga rintihan rakyat. Saya harap jika saya diberi peluang, saya ingin meneruskan tugas saya mempersoalkan mengenai masalah royalti minyak. Isu royalti ia berkait dengan pusat, bukan negeri. Ini saya hendak berdepan dengan mereka di peringkat pusat, di DUN bila saya berucap mereka kata tidak boleh buat apa-apa kerana ini kes mahkamah tetapi saya bukannya sentuh kes mahkamah tetapi berkenaan Laporan Ketua Audit Negara itu pun, mereka marah.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url