Ulul Albab: Kebijakan ekonomi Islam dikagumi penulis Barat
Mereka tidak pernah terlepas daripada panduan kedua-duanya. Mereka akan selalu merujuk kepada kedua-duanya dalam segala hal dan keadaan, genting mahupun lapang; susah mahupun senang, gelap mahupun terang. Oleh itu, kita mengenal politik Islam, kebudayaan Islam, perbankan Islam, kewangan Islam, ekonomi Islam, ketenteraan Islam dan sebagainya.
Semua aspek kehidupan di atas dilihat dengan kacamata umat Islam yang berpandukan al-Quran dan Sunah Nabi sebagai sumber ilmu dan kehidupan dalam ajaran Islam. Abu Daraz dalam kitabnya al-Naba' al-Azim (Berita Agung) menyatakan: “Ayat al-Quran bagaikan intan, setiap sudutnya memancarkan cahaya yang berbeza dengan apa yang terpancar dari sudut lainnya, dan tidak mustahil jika kita mempersilakan orang lain memandangnya, maka dia akan melihat banyak berbanding apa yang kita lihat.”
Umat Islam selama ini boleh disebut sebagai umat yang patuh undang-undang. Oleh itu, mereka terbiasa dengan kehidupan boleh dan tidak boleh; haram dan halal atau dalam istilah fikahnya ‘ma yajuz wa ma la yajuz’. Mereka terlalu didedahkan dengan tafsir ayat hukum dalam al-Quran. Dalam khazanah ilmu tafsir banyak kita jumpa kitab tafsir ayat hukum daripada pelbagai mazhab, Ayat al-Ahkam tulisan al-Jassas dalam mazhab Hanafi, Ayat al-Ahkam tulisan Ibn al-Arabi dalam mazhab Maliki dan Ayat al-Ahkam tulisan al-Kayahrasyi dalam mazhab Shafie. Bahkan Universiti al-Azhar pun telah mengkhususkan satu kitab untuk pelajarnya mempelajari kajian undang-undang dengan meminta Syeikh Ali al-Sayis dan rakannya untuk menulis kitab Tafsir Ayat al-Ahkam yang ditulis empat jilid dan diperuntukkan setiap satu jilid untuk satu tahun pengajian sarjana muda di sana.
Dalam era kepelbagaian hari ini dan dalam menghadapi cabaran globalisasi yang kurang memihak umat Islam dari sudut pelakunya, maka sudah sepatutnya kita mempelbagaikan pengkhususan tafsir. Kita kaji dan dedahkan ayat politik, budaya, pendidikan, tamadun, psikologi, sains, ekonomi dan seterusnya.
Dalam tulisan kali ini kita akan menyorot tafsir ayat ekonomi sempena dengan berakhirnya Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) yang bertemakan 'Menggerak Potensi Memperkasa Ekonomi Ummah' di Kuala Lumpur, Khamis lalu. Kongres yang berlangsung selama empat hari (12-15 Januari 2009) ini memberi penekanan dalam menggarap semua potensi yang dimiliki ummah dalam pelbagai bentuk untuk maju.
Penulis terserempak dengan tulisan seorang penulis Barat, Dallas Darling, yang menulis artikel ‘Kebijakan Ekonomi Nabi Muhammad’ pada 31 Oktober tahun lalu seperti dilaporkan Ekonomi Islam Online dari middle-east-online.com. Dalam tulisan itu, Darling membuat perakuan: “Saya sangat mengagumi nilai ekonomi Nabi Muhammad. Saya percaya jika kebijakan itu dijadikan pedoman, maka sangat membantu dalam menyelesaikan banyak masalah krisis ekonomi saat ini yang melanda dunia.”
Kemudian Darling menyenaraikan 11 kebijakan yang dia perhatikan daripada masyarakat Madinah yang dipimpin Nabi Muhammad SAW.
Pertama, mengembangkan peribadi yang kuat dan jujur bekerja etik seperti Nabi Muhammad.
Kedua, mengatur diri dalam urusan peribadi dan masalah ekonomi awam. Memikirkan umat atau masyarakat global. Muhammad berkata, ‘Hukum kehidupan memerlukan keikhlasan kepada Allah, keras untuk diri, dan keadilan untuk semua orang’. Bagaimana kebiasaan bekerja saya, perilaku pembelian, konsumsi (penggunaan barang-barang) dapat mempengaruhi manusia?
Ketiga, melawan dan menolak berhala materialisme dan kekayaan. Sebagai gantinya, mengejar kesetaraan (sama rata) dan keadilan untuk semua masyarakat. Ketika menentang struktur ekonomi yang merosak. Muhammad berkata, ‘berlaku adillah’: yang tidak adil tidak beruntung."
Keempat, ada beberapa barang yang suci. Jika Allah menciptakan langit dan bumi, maka harus terpelihara. Semuanya, pada akhirnya milik Allah, harus digunakan untuk tujuan itu serta untuk mewujudkan kehidupan lebih baik bagi manusia. Muhammad berkata, “Jangan hancurkan buah pohon, gandum, maupun lembu.”
Kelima, ketidakadilan ekonomi dan kesenjangan (ketidakseimbangan) sangat tidak manusiawi dan merosak. Mereka menghasilkan masalah kemiskinan dan kekerasan, bahkan untuk pelaku. Mengapa bekas hamba abdi memimpin doa panggilan pertama sebelum Nabi Muhammad memasuki Makkah?
Keenam, perjanjian damai dan penghapusan ketenteraan, melawan berbilion-bilion ringgit untuk pengeluaran senjata, tentera dan perang, akan membuat dunia lebih aman dan damai.
Ketujuh, kepercayaan berbuat baik, akhirat, atau hari akhir, jauh lebih baik daripada mempercayai semuanya dan hidup hanya untuk diri sendiri dan kesenangan sesaat.
Kelapan, rukun Islam ketiga, sedekah agama (zakat) atau pajak untuk masyarakat miskin harus menjadi keutamaan untuk kebebasan dan keamanan masyarakat. Tamadun hebat dapat dinilai dari sudut bagaimana mereka memperlakukan masyarakat miskin, yatim piatu, orang tua dan janda. Muhammad berkata, “Hukum hidup memerlukan kedermawanan untuk masyarakat miskin”.
Kesembilan, secara terus-menerus mencerminkan doa. Muhammad berkata, “Hukum memerlukan kerasnya kehidupan untuk diri sendiri.” Untuk melakukan hal ini, seseorang mungkin dapat menolak tuhan palsu keserakahan dan individualistik sebaliknya menjadi peribadi yang belas kasihan terhadap sesama seperti dicontohkan Nabi Muhammad.
Kesepuluh, amalan kehidupan ekonomi yang mengampuni dan mengejar kebaikan diri. Muhammad berkata, “Jadilah penyayang.” Akhirnya, hanya jika anda berfikir prinsip ini nampaknya terlalu sulit untuk hidup di dunia hari ini daripada pasar antarabangsa dan tatangan (sokongan) ekonomi, menarik kembali kata Nabi Muhammad: “Engkau berfikir kamu kecil, sedangkan kamu terbabit di seluruh semesta.”
Walaupun kita bertanyakan sandaran beberapa hadis dalam tulisan Darling di atas, tetapi secara amnya dia berjaya memerhati kejayaan kebijakan ekonomi Islam di Madinah. Kebijakan ekonomi Islam inilah yang sedang ditunggu-tunggu kedatangannya oleh masyarakat antarabangsa. Masyarakat antarabangsa sudah mengakui kecacatan ekonomi pasaran bebas seperti dikatakan bekas Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Alan Greenspan tahun lalu dan juga 40 anggota Pertemuan Asia-Eropa (Asem) yang mengakui kegagalan ‘emerging market’ dan memanggil negara-negara untuk bekerjasama.
Kebersamaan inilah fenomena ummatan wahidatan (satu masyarakat) yang ada dalam ajaran Islam sebagai rahmatan lil’alamin. Ekonomi Islam benar-benar menjadi penyelamat krisis ekonomi dunia kita mesti mengembalikan prinsip dan amalannya kepada al-Quran dengan menggali sedalam-dalamnya; memahami seluas-luasnya; dan mengamalkan seikhlas-ikhlasnya ayatnya yang berkaitan dengan ekonomi.
Ekonomi Islam dan juga disiplin ilmu lainnya telah terpendam lama. Ia hanya khazanah. Oleh itu, dalam mengkaji ayat ekonomi dengan tujuan untuk menjadikan ekonomi Islam boleh berdiri sendiri, maka di samping ilmu fikah mu’amalat, kajian juga perlu dijalankan untuk menimba pemikiran ekonomi ulama Islam silam serta pengetahuan mengenai perjalanan sistem ekonomi semasa. Pemahaman ketiga-tiga fenomena itu akan dapat menyingkap dan membuka skop yang lebih luas dari segi perkembangan konsep dan aplikasinya. Wallahu a'lam.
INTI PATI
11 kebijakan ekonomi Islam
Mengembangkan peribadi yang kuat dan jujur bekerja etik seperti Nabi Muhammad.
Mengatur diri dalam urusan peribadi dan masalah ekonomi.
Melawan dan menolak materialisme dan kekayaan.
Kejadian milik Allah harus digunakan tujuan kebaikan serta mewujudkan kehidupan lebih baik.
Ketidakadilan ekonomi dan ketidakseimbangan akan mewujudkan kemiskinan dan kekerasan pelaku.
Perjanjian damai dan penghapusan ketenteraan, lawan berbilion-bilion ringgit untuk pengeluaran senjata, tentera dan perang, akan membuat dunia lebih aman dan damai.
Kepercayaan berbuat baik jauh lebih baik daripada memikirkan kepentingan diri.
Zakat untuk masyarakat miskin harus menjadi keutamaan untuk kebebasan dan keamanan.
Menolak keserakahan dan individualistik.
Amalan kehidupan ekonomi yang mengampuni dan mengejar kebaikan diri.
Prinsip ekonomi Islam terbaik diamalkan dalam pasaran antarabangsa.
- Berita Harian
Who knows where to download XRumer 5.0 Palladium?
Help, please. All recommend this program to effectively advertise on the Internet, this is the best program!