Universiti Al-Madinah tawar pengajian secara maya

Universiti Antarabangsa Al-Madinah menjadi universiti Islam pertama di dunia yang menawarkan pengajian secara maya bagi memberi kemudahan kepada pelajar tanpa perlu menghadiri kelas.

Timbalan Rektor Akademik universiti itu, Dr. Ashraf Md. Hashim berkata, konsep pengajian seperti itu membolehkan pelajarnya mengikuti kuliah di luar kampus menggunakan persidangan video bersama pensyarah.

''Menerusi pengajian maya ini, walaupun pelajar tidak berada dalam kuliah, pensyarah dapat memantau pelajar mereka apabila pelajar dikehendaki mencatat kehadiran secara digital.

''Para pelajar juga boleh berurusan dengan perpustakaan universiti seperti meminjam buku secara dalam talian," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Penasihat kepada Raja Arab Saudi, Putera Bandar Salman Al-Saud merangkap Presiden universiti itu melawat tapak pembinaan kampus utama di Cyberjaya yang berkeluasan 100 hektar di sini hari ini.

Universiti Antarabangsa Al-Madinah yang kini beroperasi di Plaza Marsalam, Shah Alam sejak tahun 2006 akan dipindahkan ke kampus baru itu yang akan bertindak sebagai ibu pejabat utama universiti itu berdasarkan kecanggihan teknologi di negara ini.

Sehingga kini, universiti itu mempunyai 10 cawangan di seluruh dunia termasuk England, Indonesia, Thailand dan Kuwait

Kampus baru universiti itu yang mengambil masa empat tahun pembinaannya bakal memuatkan seramai 5,000 pelajar dari 39 buah negara seluruh dunia untuk setiap pengambilan.

Dalam pada itu, Ashraf berkata, kursus pengajian universiti itu adalah berasaskan Sains Islam sepenuhnya selaras dengan tujuan penubuhannya untuk memartabatkan Islam sebagai asas pendidikan utama.

''Para pelajar di sini berpeluang menuntut ilmu daripada pensyarah yang didatangkan khas dari Madinah untuk memberi pendedahan ilmu agama dari tanah suci itu," katanya.

Menurut Ashraf, universiti itu kini mempunyai seramai 40 pensyarah dari Madinah serta 50 pensyarah dari negara lain termasuk Malaysia dan Indonesia.

''Pada tahun depan kita menyasarkan untuk mengambil pensyarah terbaik dari United Kingdom khusus untuk pengajian teknologi maklumat," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url