Utamakan barangan tempatan - PM
Perdana Menteri berkata, walaupun banyak barangan buatan negara yang bermutu tinggi diterima baik di luar negara, tetapi masih ada rakyat tidak berminat dengan barangan tempatan.
Beliau berkata, rakyat perlu menjadikan barangan tempatan sebagai pilihan utama kerana ia membantu memastikan pertumbuhan berterusan ekonomi negara tahun ini.
"Beli dan cuba dulu. Kalau kita tidak cuba kita tidak tahu. Apabila mencubanya, kita akan lebih sayang dan menjadi pengguna setia kepada produk yang dihasilkan oleh pengusaha tanah air kita," katanya ketika berucap melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia di Mydin Mall USJ di sini hari ini.
Kempen anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu turut dilancarkan serentak di Boulevard Mall Kuching, Sarawak dan 1Borneo Hypermall Kota Kinabalu, Sabah.
Pada majlis itu, Abdullah turut melancarkan logo baru Beli Barangan Malaysia.
Kempen itu merupakan kesinambungan kepada kempen yang mula diperkenalkan sejak 1984 dan dilancarkan semula pada 1998.
Abdullah menjelaskan, kempen tersebut memberi peluang kepada pengilang dan pengusaha tempatan bersaing mengeluarkan pelbagai jenis produk seperti makanan, solekan, perhiasan, ubat-ubatan, kraftangan dan pakaian.
Katanya, adalah penting bagi barangan tempatan mendapat permintaan lebih besar dalam negara lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa yang menyaksikan kelembapan ekonomi dunia yang mengakibatkan pasaran barangan Malaysia di luar negara semakin berkurangan.
Beliau berkata, kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini perlu diawasi dan antara langkah yang rakyat perlu lakukan adalah memberi sokongan kepada produk tempatan.
"Kita akui permintaan barangan tempatan untuk dieksport kini semakin berkurangan jadi kita tidak mahu berhadapan dengan masalah barang-barang kita tidak dapat dipasarkan sehebat dulu.
"Tetapi apabila rakyat Malaysia menggunakan barangan tempatan, sudah tentu masalah itu akan dapat diatasi sekali gus akan menjana ekonomi negara,'' katanya.
Abdullah berkata, sokongan rakyat kepada barangan buatan Malaysia akan memberi peluang kepada syarikat tempatan menggunakan lebih banyak bahan tempatan.
Katanya, penggunaan bahan tempatan yang belum dimanfaatkan sepenuhnya bakal membawa kepada penghasilan pelbagai jenis produk dan beliau berharap, penggunaan bahan itu boleh diperhebatkan.
Dalam hubungan ini Abdullah berkata, kerajaan akan terus memastikan ekonomi negara berada di landasan yang kukuh dan terus berkembang menerusi pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dari semasa ke semasa.
- Utusan