Tahun Melawat Zoo Negara
Pertunjukan itu diusahakan oleh Ahli Jawatankuasa MAHA, V.M Hutson (kemudian bergelar Tan Sri) yang juga merupakan penjaga kepada haiwan itu yang ditempatkan oleh beliau di sebuah kawasan seluas seluas lima ekar di Estet Bangsar.
Antara haiwan dalam koleksi Hutson ialah harimau, orang utan dan buaya.
Berikutan minat orang ramai itu, Persatuan Zoologikal Malaya kemudian ditubuhkan yang dipertanggungjawabkan bukan sahaja untuk mewujudkan Zoo Negara tetapi juga menguruskannya.
Akhirnya, pada 14 November 1963, Zoo Negara dirasmikan oleh Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.
Dalam masa tiga tahun sahaja, zoo itu dikunjungi lebih satu juta pelawat walaupun pada peringkat awalnya ada yang menyifatkan lokasinya di Hulu Klang sebagai terlalu jauh.
Tahun ini, Zoo Negara akan menyambut ulang tahun ke-46 penubuhannya. Pada masa ini, Zoo Negara mempunyai lebih daripada 5,130 ekor haiwan daripada 459 spesies mamalia, reptilia, burung, amfibia dan ikan.
Walaupun Zoo Negara tidak pernah terjejas dari segi daya tarikannya tetapi usaha terus dilakukan untuk meningkatkan lagi jumlah pengunjung dan yang terbaru ialah pelancaran Tahun Melawat Zoo Negara 2009 dan Zoom! Zoo Negara.
Kedua-dua program itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said di Kompleks Beruang, Zoo Negara, baru-baru ini.
Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia (MZS), Datuk Ismail Hutson berkata, pelbagai aktiviti menarik disusun terutama Program 100 Hari yang menjadi sebahagian daripada acara Tahun Melawat Zoo Negara 2009.
Salah satu acara yang bakal menjadi kebanggaan kepada Zoo Negara ialah pelantikan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Duta Hidupan Liar Diraja Zoo Negara.
Turut akan diadakan ialah pertunjukan fesyen yang diinspirasikan melalui corak, reka bentuk dan warna hidupan liar.
Zoo Negara juga membuka peluang bagi jurufoto dan pelukis untuk menyertai siri pertama acara tahunan Zoo Negara iaitu Jurugambar Hidupan Liar Terbaik Tahunan dan Lelongan Seni Zoo Negara.
Bagi peminat-peminat burung pula, Pertandingan Meninjau Burung yang menawarkan hadiah-hadiah menarik juga tersenarai sebagai antara aktiviti Tahun Melawat Zoo Negara.
Ratusan spesies burung di Rumah Burung dan lebih dari 90 spesies burung di sekitar kawasan Zoo Negara pasti akan membuatkan pemerhati burung teruja semasa menyertai pertandingan tersebut.
Ismail menambah, selaras dengan hasrat Zoo Negara untuk menggunakan sumber tenaga yang mesra alam dan boleh dikitar semula, pihaknya akan memperkenalkan Sistem Penakungan Air Hujan semasa perasmian Akuarium Tunku Abdul Rahman tidak lama lagi.
Kehadiran
Hari Bumi pula, katanya, akan disambut pada 22 April akan datang dan bakal diserikan dengan acara Asian Wildlife and Video Festival dengan kehadiran peserta dari dalam dan luar negara.
Zoo Negara juga akan menganjurkan program World Wetland Day dan World Water Day yang memaparkan program pendidikan dan pameran saintifik yang bertemakan air.
Pengunjung dijanjikan keseronokan yang berterusan jika mengunjungi Zoo Negara semasa kedua-dua acara itu diadakan.
Porgram Zoom! Zoo Negara pula adalah pelengkap kepada Tahun Melawat Zoo Negara 2009 kerana ia diwujudkan untuk menggalakkan rakyat Malaysia melawat zoo sebagai salah satu bentuk pelancongan domestik.
Zoo Negara juga kini dalam proses penjenamaan semula secara berperingkat-peringkat dalam usaha menjadikan ia salah satu lokasi utama pelancong dan warisan penting negara.
Ismail berkata, pameran koleksi haiwan seperti binatang eksotik daripada spesies-spesies unik bagi menarik lebih sejuta pelawat dan pelancong asing pada tahun ini juga akan dilaksanakan.
"Penambahan koleksi haiwan ini termasuk program pertukaran haiwan dengan negara China iaitu pihak kami akan membawa antara lain beruang panda dari China untuk tatapan umum pengunjung ke Zoo Negara," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang dalam proses rundingan bersama dua taman negara di Shanghai iaitu Shanghai Safari Park dan Ningbo Youngor Zoo bagi membawa beruang panda untuk ditukar dengan orang utan di negara ini.
Selain itu, katanya, langkah lain yang telah diambil ialah memperbaharui logo Zoo Negara dan mencetak buku profil korporat yang bertujuan mendedahkan kepada rakyat mengenai visi, misi dan memberi maklumat umum mengenai zoo.
Katanya, Zoo Negara juga sudah tampil dengan slogan baru iaitu Fun with Nature serta memperkenalkan Zoo Negara Loyalty Card bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Satu keistimewaan Zoo Negara yang tidak terdapat di zoo lain ialah pameran tujuh kumpulan haiwan di satu lokasi yang digelar Seven Wonders of Zoo Negara.
Ismail yakin dengan segala usaha yang dilakukan itu, hasrat MZS untuk mencapai visi sebagai zoo bertaraf dunia akan menjadi realiti pada tahun 2015.
- Utusan