UTeM lancar laman web Sistem Pengurusan e-Pembelajaran

UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melangkah setapak lagi dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai antara universiti teknikal terbaik di negara ini dengan melancarkan laman web Sistem Pengurusan e-Pembelajaran (SPeL) bagi meningkatkan mutu dan tahap pembelajaran pelajar serta kakitangan di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof Dr Ahmad Yusoff Hassan, berkata sistem pengurusan berkenaan terbukti berjaya kerana banyak digunakan institut pengajian tinggi di dalam dan luar negara bagi mempermudah serta mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, perkhidmatan berkenaan adalah satu medium pembelajaran secara media elektronik yang berkembang pantas dalam bidang ilmu pengetahuan dan universiti itu menjadikan kaedah terbabit sebagai satu keutamaan dan akan menjadikannya teras dalam pelan strategik universiti.

"Pembudayaan SPeL di peringkat universiti adalah asas kepada pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat yang menjadi agenda kritikal keempat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui 2020," katanya pada majlis pelancaran sistem itu oleh Pro Canselor UTeM, Tan Sri Datuk Johari Mat di UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.

Projek SPeL bermula sejak Disember 2007 apabila UTeM memberi tanggungjawab melaksanakannya kepada anak syarikatnya, UTeM Holdings Sdn Bhd menerusi satu perjanjian kerjasama dengan Syarikat In-Fusion Solutions Sdn Bhd.

Projek ini dilaksanakan menerusi mod 'blended learning' iaitu kaedah pengajaran konvensional digabungkan dengan penggunaan persekitaran pengajaran maya, kandungan untuk kursus atas talian sentiasa dipertingkatkan dan diperkayakan dari semasa ke semasa.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Dr Mohd Taib Hashim dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Dr Mohd Nor Husain.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, selain memperoleh pengetahuan daripada menghadiri kelas ataupun tutorial, pelajar dan pensyarah juga boleh mendapatkan kemudahan maklumat melalui online.

Ini, katanya adalah satu kaedah yang sangat mudah dan akan menyenangkan pelajar serta pensyarah untuk mengakses maklumat.

"Kaedah ini akan meningkatkan tanggungjawab pelajar secara kendiri, iaitu tidak hanya bergantung kepada pensyarah untuk mendapatkan maklumat," katanya.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url