Wanita dan kerapuhan tulang

TULANG manusia berada dalam keseimbangan dinamik di mana berlakunya keadaan sel-sel membaiki dan memulihkan struktur tulang.

Kerapuhan tulang (osteoporosis) akan berlaku sekiranya kerosakan dan kehilangan tulang berlaku lebih cepat daripada pemulihannya.

Akibatnya tulang menjadi mudah patah, rosak dan lebih sensitif.

* Rapuh

Bahan asas tulang adalah kalsium dan protein. Ada dua jenis tulang di dalam badan kita, satu jenis padat dan satu lagi jenis berspan. Yang jenis berspan sering kali dikesan mengalami kerapuhan seperti di tulang belakang, pinggul dan juga pergelangan tangan.

Sebelum puan berumur 30 tahun, pembentukan dan penggantian struktur tulang banyak berlaku dan lebih pantas dari kerosakan yang berlaku. Tetapi selepas umur puan menjangkau 30-an, proses dinamik tulang berubah di mana kerosakan serta pelarutan tulang lebih pantas berbanding pemulihannya.

Walaupun begitu, tidak banyak permasalahan yang timbul melainkan kehilangan dan pelarutan tulang menjadi terlampau teruk sehingga membawa kepada osteoporosis. Walaupun saiz tulang berspan sama sahaja sebelum dan selepas umur yang dinyatakan, ketumpatannya akan berbeza dengan peningkatan usia.

Paling jelas sekali pada bahagian dinding tulang yang menipis dan lubang-lubang pada tulang bersepan menjadi lebih besar dan melemahkan struktur tulang. Hormon estrogen banyak memberikan implikasi pada sifat tulang. Hormon ini memperlahankan kejadian kerapuhan tulang dan seterusnya mengurangkan kejadian patah tulang pinggul dan kecacatan tulang belakang.

Lazimnya dalam praktis perubatan, hormon estrogen digunakan hanya untuk meredakan gejala-gejala kepanasan badan akibat dari menopaus. Sebagaimana yang dinyatakan tadi, kerapuhan tulang berlaku sebelum puan mengalami menopaus.

Kerapuhan tulang biasanya memberikan kesakitan pada tulang belakang serta sakit bila disentuh. Ketinggian puan akan menurun dan mungkin menyebabkan pembengkokkan pada tulang belakang akibat dari kerapuhan dan tulang pecah yang boleh membawa kepada pembongkokan badan seperti cerita melayu lama, nenek kebayan bertongkat. Pada umur yang lanjut, kepatahan tulang boleh mencacatkan serta merosakkan kehidupan harian dan juga boleh memberikan kesan negatif dalam jangka masa panjang.

* Pencegahan

Sukar untuk membentuk tulang baru setelah tulang tersebut mengalami proses kerapuhan, jadi mencegah dari kerapuhan adalah langkah utama yang perlu puan tekankan. Bersenamlah dengan senaman beban yang menggunakan keseluruhan berat badan dititik beratkan seperti berjalan, joging, menggunakan pemberat dan sebagainya. Makanan seimbang yang mempunyai cukup kalsium dan vitamin D juga membantu. Selain itu, terdapat juga ubat yang boleh membantu melindungi tulang dari kerapuhan.

- Bersenam

Bersenam menambahkan ketumpatan tulang sebelum menopaus dan mengurangkan kadar kerapuhan selepas menopaus berlaku. Tulang dikuatkan lagi oleh otot-otot yang melindungi tulang tersebut. Jika otot-otot dan tulang berkaitan tidak digunakan seperti mana mereka yang hanya berbaring di katil sepanjang masa (seperti mereka yang terkena strok), tulang serta otot-otot tersebut akan melarut dan menjadi rosak serta rapuh. Mereka yang aktif mempunyai rangka tulang yang lebih kuat serta padat. Kebanyakan senaman aerobik juga bagus untuk jantung serta tulang.

- Pemakanan

Ramai wanita tidak mempunyai pemakanan yang seimbang dalam zat kalsium. Kebanyakan punca kalsium datang dari makanan berteraskan tenusu, seperti susu. Makanan lain yang mempunyai kalsium seperti sayur-sayuran hijau, kekacang, makanan laut dan mana-mana makanan yang diperkayakan dengan zat kalsium.

Sekiranya pemakanan puan kurang kalsium, keperluan kalsium badan akan diperolehi dari pelarutan tulang dan lama kelamaan ini akan merapuhkan tulang puan. Keperluan harian kalsium adalah sekitar 1,500 miligram ( g) sehari. Dengan peningkatan usia, penyerapan zat kalsium dari usus berbeza dan ini memerlukan pengambilan zat kalsium harian secara berkala dalam jumlah yang diperlukan.

Kalsium tidak dapat diserap sepenuhnya tanpa bantuan Vitamin D. Susu yang diperkayakan dengan vitamin D boleh membantu seperti susu bebas laktosa. Sinaran matahari selama 15 minit sehari juga dapat membantu kulit dalam pembentukkan vitamin D serta mengaktifkan vitamin D yang tersimpan di dalam badan. Dengan peningkatan usia, keperluan Vitamin D juga meningkat. Sebagai contoh, mereka yang berumur di antara 51 dan 70 tahun memerlukan Vitamin D sebanyak 10 mikrogram dan mereka yang berumur melebihi 70, memerlukan Vitamin D sebanyak 15 g.

* Mengelakkan kecederaan akibat terjatuh

Puan memerlukan cara-cara pengendalian badan dengan kedudukan postur yang betul. Elakkan kedudukan yang membuatkan badan puan memulas dari paksi, membongkok serta mengangkat objek berat tanpa bantuan. Di rumah, elakkan meletakkan barang di tempat laluan yang boleh menyebabkan puan terjatuh seperti tikar yang licin. Pastikan juga rumah terang supaya perjalanan serta pergerakan menjadi selesa serta jelas. Jika rumah bertingkat-tingkat, perlu ada tempat memegang semasa naik atau turun dari rumah.

Jalani pemeriksaan kesihatan mata dan menilai penglihatan sekiranya puan menggunakan bantuan penglihatan seperti cermin mata. Tanyalah doktor sama ada ubat-ubatan yang puan ambil boleh menyebabkan ketidakseimbangan postur dan secara langsung mengakibatkan kejatuhan yang boleh mematahkan tulang.

* Mengesan kerapuhan tulang

Puan sepatutnya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali dan pada setiap lawatan tersebut, ketinggian puan perlu diukur. Ketumpatan tulang diuji untuk mereka yang berumur melebihi 65 tahun ataupun pada usia yang masih muda sekiranya mempunyai sejarah patah tulang.

Bahagian tulang yang lazim diukur ketumpatannya adalah pergelangan tangan, tulang belakang, paha, pinggul dan juga pergelangan tangan. Ujian-ujian yang dijalankan memberi maklumat kesihatan tulang puan, khasnya sama ada puan mempunyai tulang yang rapuh, kadar kerapuhan tulang dan juga risiko kemungkinan patah tulang di masa hadapan.

Kebanyakan ujian kerapuhan tulang tidak menyakitkan serta selamat. Di Hospital Universiti Sains Malaysia, pengukuran kerapuhan dilakukan dengan menggunakan mesin DEXA (Dual energy X-Ray absorpitometry), dan mesin ini mampu memberikan bacaan yang paling tepat terhadap kerapuhan tulang dan disyorkan oleh badan kesihatan sedunia.

Jumlah sinaran-X yang diterima juga adalah kecil, lebih kecil dari sinaran-X yang digunakan untuk mengambil imbasan dada. Kaedah lain yang ada di hospital-hospital atau klinik-klinik lain seperti;

- Tomografi berkomputer secara kuantitatif. Kaedah ini menggunakan kaedah imbasan tomografi berkomputer dan memberikan bacaan imbasan tiga dimensi dan hanya sedikit sahaja jumlah sinaran diterima berbanding dengan mesin DEXA.

- Imbasan kuantitatif menggunakan mesin ultrasound. Mesin ini menggunakan gelombang bunyi dan bukannya sinaran-X. Ujian ini tidak berapa tepat berbanding dengan ujian-ujian dinyatakan sebelum ini.

* Rawatan

Puan mempunyai banyak pilihan ubat-

ubatan yang boleh digunakan. Penggunaannya juga pelbagai, ada yang perlu dimakan setiap hari, seminggu sekali atau sebulan sekali. Ada juga yang diberikan secara suntikan. Apa juga ubat serta kaedah pemberian, lagi awal rawatan dimulakan, lebih mujarab keberkesanannya. Contoh ubat-ubatan yang digunakan adalah seperti;

- Bisfonat – ubat ini boleh memperlahankan kerapuhan dan juga merawat tulang yang sudahpun rapuh dengan meningkatkan ketumpatan tulang. Lazimnya ubat ini tidak mempunyai kesan-kesan yang tidak diingini, ada pun bisfonat yang mula-mula dipasarkan memberikan kesan samping seperti loya-loya, sakit perut dan juga masalah penghadaman.

- Selective Estrogen Receptor Modulator (SERM) – contoh di pasaran adalah Raloxifene, ianya menguatkan tisu-tisu tulang. Ubat SERM ini bagus untuk mereka yang perlukan kaedah merawat tulang tetapi tidak mahu menggunakan kaedah perawatan hormon, contohnya seperti wanita-wanita yang berisiko tinggi terhadap kanser payudara, wanita yang tidak dapat bertoleransi dengan kesan samping perawatan hormon gantian dan juga untuk wanita yang tidak mengalami gejala rungutan keputusan hormon (menopaus).

- Perawatan hormon gantian – Penggunaan hormon gantian dapat memperlahankan kerapuhan tulang dan bagus sekali untuk wanita yang juga pada masa yang sama mempunyai rungutan serta gejala keputusan hormon wanita. Selagi hormon ini diambil, selagi itulah perlindungan dari kerapuhan tulang dijanakan.

- Pilihan-pilihan lain seperti kalsitonin, ianya boleh diberikan secara suntikan dan juga secara semburan melalui hidung. Hormon paratiroid juga kadangkala digunakan untuk meningkatkan ketumpatan tulang serta mengelakkan insiden tulang patah.

Berbincanglah dahulu dengan doktor puan sebelum mana-mana kaedah perawatan serta pencegahan digunakan. Untuk mengelakkan kadar kerapuhan mendadak, puan juga haruslah beriadah serta bersenam, paling bagus dengan cara berjalan-jalan sekeliling kampung ataupun rumah. Pemakanan seimbang juga penting, pastikan zat kalsium ada dalam menu makanan harian puan.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url