Bukit Selambau lebih menarik

UTARA tanah air kini menjadi tumpuan. Bukan kerana bahang panas akibat permulaan musim kemarau tetapi iklim politik yang menyaksikan 'perebutan' dua bukit, Bukit Gantang di Perak dan Bukit Selambau di Kedah.

Bezanya, Bukit Gantang kehilangan Ahli Parlimennya, Roslan Shaharum daripada Pas yang meninggal dunia akibat diserang sakit jantung manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Kedua-duanya iaitu kematian dan peletakan jawatan tersebut berlaku pada hari yang sama semalam.

Tentunya, Bukit Selambau mempunyai cerita paling 'luar biasa' berdasarkan suasana politik semasa yang dilihat lebih tertumpu atau menjurus kepada masa depan di Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Parlimen khususnya di negeri-negeri dikuasai pakatan pembangkang.

Ini kerana percaturan di DUN boleh membawa kepada 'tumbang' sebuah kerajaan sebagaimana berlaku di Perak apabila tiga ADUN pakatan pembangkang 'melompat' menjadi ahli Bebas.

Sebelum itu, seorang ADUN kembali ke pangkuan UMNO tidak lama selepas menyertai PKR.

Kini, selepas pergolakan di Perak itu, Bukit Selambau dikatakan menjadi titik tolak kepada permulaan lembaran baru politik di Kedah. Benarkah begitu?

Adakah 'tempias' di Perak akan menular di Kedah?

Persoalan sebegini bermain di fikiran pemerhati-pemerhati politik.

'Kehilangan' Arumugam sejak Khamis lalu yang sehingga kini tidak dapat dikesan ternyata mempunyai sedikit persamaan dengan senario di Perak.

Dua ADUN di Perak, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) sebelum itu pernah 'hilang' sebelum memberi tamparan hebat kepada pakatan pembangkang apabila mereka menjadi ahli Bebas yang menyokong BN.

Namun di Bukit Selambau, Arumugam memilih meletak jawatan menerusi surat yang dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk menyaksikan pilihan raya kecil bakal diadakan di DUN berkenaan.

Ia juga menyaksikan siapa lebih bersedia untuk merebut kerusi Bukit Selambau, apakah pakatan pembangkang menerusi kuota PKR atau BN?

Ramai melihat BN perlu bekerja lebih keras untuk merampas kembali kerusi Bukit Selambau sekiranya mahu mengubah senario politik di Kedah atau memulihkan kepercayaan rakyat selepas kehilangan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac tahun lalu.

Dalam sidang media ketika mengumumkan peletakan jawatan Arumugam sebagai ADUN Bukit Selambau dan Exco kerajaan negeri, Azizan menjelaskan antara alasan wakil rakyat tersebut berbuat demikian.

Antaranya ialah disebabkan tekanan termasuk daripada pihak tertentu yang mahukannya meninggalkan pakatan pembangkang.

Apa pun alasannya, isu Arumugam bukan persoalannya lagi.

Biarlah bekas ADUN itu mengambil apa sahaja keputusan kerana ia adalah haknya berbuat demikian tetapi apa yang lebih menarik ialah mengenai keupayaan pakatan pembangkang atau BN dalam mengharungi pilihan raya kecil di DUN berkenaan.

Pelbagai spekulasi timbul selepas peletakan jawatan Arumugam, ada pihak menimbulkan kembali desas-desus mengenai isu lompat parti yang sebelum ini tersebar luas di kalangan ADUN pakatan pembangkang di Kedah.

Dari segi matematik, satu kerusi tidak menjejaskan pemerintahan kerajaan negeri sekiranya BN menang.

Di Kedah, pakatan pembangkang membentuk kerajaan selepas memenangi 22 kerusi iaitu 16 Pas, empat PKR, satu bebas (Arumugam kemudian menyertai PKR) dan satu DAP berbanding 14 kerusi BN selepas pilihan raya umum yang lalu.

Bagaimanapun, tidak mustahil kerajaan negeri bertukar sekiranya ada ADUN-ADUN dalam pakatan berkenaan melompat ke BN yang memperoleh majoriti mudah seperti Perak.

Jadi, ramai melihat pilihan raya kecil Bukit Selambau menjadi permulaan terbaik bagi BN untuk menguasai kerusi DUN secara berperingkat-peringkat.

Tetapi apakah kesan jika keputusan menjadi sebaliknya, pakatan pembangkang mengekalkan penguasaan?

Jika dilihat wajah Azizan ketika sidang media mengumumkan peletakan jawatan Arumugam, riaknya ceria.

Tidak nampak tanda-tanda kebimbangan menghadapi Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau. Apakah keputusan Arumugam sudah memberikan kemenangan moral buat mereka kerana ADUN mereka tidak lompat parti yang sekiranya berlaku memberi kemenangan mudah kepada BN.

BN pula telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil di DUN tersebut selepas pelbagai spekulasi timbul sebelum Arumugam meletakkan jawatan lagi.

Pasti, pilihan raya pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 mahu dihadapi oleh BN dengan usaha bersungguh-sungguh bagi menawan kembali hati rakyat. Ia menjadi ujian buat BN sebelum mencongak sesuatu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sama ada BN atau pakatan pembangkang, gelanggang kini sudah terbuka luas, cuma menunggu siapa yang bakal bertanding.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url