Taman Botani Kepong


Siapa kata Kuala Lumpur hanya dipenuhi dengan hutan batu yang kaku dan membosankan.

Siapa kata warga kota perlu pergi jauh untuk keluar daripada hiruk-pikuk kota bagi menenangkan diri, minda dan jiwa.

Sebenarnya, di Kuala Lumpur masih banyak lokasi yang menawarkan kehijauan alam semula jadi dan kesegaran suasana hutan.

Terima kasih atas usaha kerajaan memastikan ibu negara terus hijau walaupun dalam masa yang sama terpaksa berusaha keras memastikan pembangunan tidak terhenti.

Salah satu daripada lokasi yang patut menjadi destinasi warga kota khususnya pada hujung minggu adalah Taman Botani Kepong.

Terletak di dalam kawasan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), kawasan itu juga bersempadan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong.

Taman yang menyimpan ribuan khazanah rimba itu mudah dikunjungi, malah berada tidak jauh dari kawasan membeli-belah di kawasan Selayang.

Pengunjung yang melawati taman ini akan disambut dengan kicauan unggas, bukan deruman bunyi kenderaan, sebaik sahaja menjejakkan kaki ke taman itu.

Kawasan yang ditumbuhi dengan pokok-pokok berusia ratusan tahun itu pastinya akan memberikan kedamaian dan ketenangan pada pengunjung.

Rumput yang menghijau di sekitar tasik dan kolam menjanjikan satu panorama indah yang menarik yang membawa kepada ketenangan minda.

Taman botani ini dilengkapi dengan pusat informasi bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat lanjut sebelum meneroka ke taman itu.

Koordinator Taman Botani Kepong, Adnan Mohamad berkata, setakat ini, taman botani itu masih dalam proses untuk dilengkapkan dengan beberapa peringkat sedang dalam pelaksanaan.

Katanya, apabila siap kelak, taman itu akan mempunyai pelbagai spesies tumbuhan hutan iaitu dari hutan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Antaranya ialah koleksi spesies buluh dan koleksi pokok buah-buahan hutan, selain itu, taman ini juga bakal menempatkan koleksi batu kapur yang terdapat di Malaysia," katanya.

Adnan memberitahu, kewujudan taman botani itu amat penting bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan supaya semua spesies hutan dapat didokumentasikan untuk generasi akan datang.

Perlu juga diingat, katanya, hutan adalah antara elemen penting dalam mengimbangi ekosistem alam dan setiap pokok dan tumbuhan memainkan peranan yang penting.

Katanya, pokok berfungsi mengimbangi kandungan gas karbon dioksida dengan membebaskan oksigen bagi menjadikan bumi ini selesa dihuni.

"Tidak banyak taman botani di Malaysia yang mempunyai fungsi yang seperti kita cuba wujudkan sekarang di sini.

"Kita mahu mewujudkan satu taman botani yang benar-benar berfungsi khusus untuk penyelidikan dan pendedahan maklumat, bukan sekadar untuk menjadi tempat rekreasi sahaja," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, jika warga kota berkunjung ke taman botani itu, penerokaan mereka tidak akan lengkap sekiranya tidak melalui Denai Razak.

Menurutnya, Denai Razak adalah antara tarikan utama yang bakal menggamit hati pengunjung.

"Ini kerana laluan ini akan membawa anda melihat bagaimana persekitaran ekosistem hutan semula jadi.

"Apabila anda menjejakkan kaki ke dalam kawasan ini, anda seolah-olah berada dalam hutan hujan khatulistiwa yang sebenar.

"Pokok-pokok menjulang tinggi sehinggalah tumbuhan lantai hutan terdapat di sini," katanya sambil memberitahu itu adalah gambaran sebenar hutan khatulistiwa.

Adnan memberitahu, walaupun penyusunan taman hutan itu adalah buatan manusia tetapi pihaknya memastikan ia menjadi begitu mirip sekali dengan ekosistem hutan semula jadi.

Katanya, penyelidikan yang mendalam, perancangan yang teliti dan sistematik telah dijalankan oleh pihak FRIM bagi memastikan matlamat kewujudan taman itu benar-benar tercapai.

"Ini termasuklah menyusuri hutan-hutan bagi melihat 'susun aturnya' dan mengenal pasti beberapa spesies tumbuhan untuk dibawa ke sini," jelasnya lagi.

Apa yang menarik, katanya, ialah pengunjung juga akan berpeluang untuk mengenali beberapa tumbuhan herba di taman itu.

Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia tahu tentang khasiat herba seperti kacip fatimah dan tongkat ali tetapi tidak ramai yang tahu bagaimana rupa fizikal tumbuhan herba tersebut.

Di taman botani ini, katanya, pengunjung akan dapat melihat sendiri tumbuhan herba tersebut tanpa perlu meredah hutan untuk mencari dan mengenalinya.

Adnan berkata, bagi kemudahan pengunjung, papan petunjuk dan label nama saintifik disediakan pada pokok dan tumbuhan di situ untuk pengetahuan para pengunjung.

"Sempena Hari Hutan Sedunia yang akan disambut pada 21 Mac ini, orang ramai perlu disedarkan tentang kepentingan hutan.

"FRIM berharap usaha yang dilakukan itu bukan sahaja akan menyelamatkan hutan negara ini tetapi juga mewujudkan rasa sayang generasi muda kepada hutan," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url