Mengharap sinar perpaduan kaum pulih
Felo Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial,
Institut Kefahaman Islam Malaysia
MALAYSIA, Truly Asia. Itulah ungkapan Tourism Malaysia untuk menggambarkan keistimewaan negara ini. Keistimewaan yang dimaksudkan itu ialah kemampuan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India hidup harmoni bersama kaum lain.
Keharmonian hidup masyarakat majmuk - yang menjadi ciri penting industri pelancongan negara - berpunca daripada sikap tolak ansur semua kaum. Sekiranya dibandingkan dengan negara-negara di Afrika atau Amerika Latin, kita jauh lebih baik.
Persoalannya sejauh mana sikap tolak ansur ini dapat bertahan? Ini kerana tolak ansur itu sendiri mencerminkan kewujudan 'unsur tidak rela tetapi terpaksa' bagi mewujudkan suasana 'menang-menang.' Dalam soal ini, ada kalanya satu pihak perlu berkorban untuk pihak lain.
Justeru perpaduan antara kaum ketika ini bukanlah satu bentuk perpaduan yang kukuh. Ia bukan terbina hasil keluhuran hati dan sikap saling mempercayai.
Buktinya apabila disebut berkenaan hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera atau Dasar Ekonomi Baru, mahupun cadangan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan, maka ada pihak tertentu yang tidak senang duduk. Hatta perkara-perkara yang hanya menyentuh sesuatu kaum atau penganut agama tertentu sahaja, ada kaum atau penganut agama lain yang dilihat melatah tanpa sebab munasabah.
Jadi kita perlu mengakui dan menerima kenyataan bahawa perpaduan kaum di Malaysia ini tegak di atas asas yang tidak begitu mantap. Semuanya berpunca daripada kegagalan kita memahami dan menghormati hak, budaya dan adat resam antara satu sama lain.
Ia diburukkan lagi oleh kewujudan kumpulan-kumpulan siasah yang bersifat perkauman. Dalam banyak keadaan, para pemimpin siasah sebenarnya lebih banyak merosakkan perpaduan sedia ada dengan menimbulkan pelbagai persoalan yang mencetuskan keresahan kaum.
Selain itu sistem pendidikan kita yang sering bertukar hala tuju dan pelbagai aliran merumitkan usaha membentuk perpaduan kaum. Kita boleh berbangga dengan sistem pendidikan yang kononnya antara terbaik di kalangan negara membangun. Tetapi adakah sistem pendidikan kita telah melahirkan satu kelompok pelajar yang mempunyai asas perpaduan kaum yang kukuh?
Jawapannya tentulah tidak. Daripada peringkat rendah hingga ke institusi pengajian tinggi, unsur perpaduan bukanlah agenda utama. Pendidikan di Malaysia lebih tertumpu kepada kecemerlangan menjawab soalan peperiksaan.
Keadaan yang ada sekarang juga sebenarnya tidak selari dengan matlamat utama Penyata Razak yang mahu sistem pendidikan negara menjurus ke arah perpaduan nasional. Sebaliknya sekolah hanya mengejar kejayaan akademik dan mengenepikan unsur perpaduan.
Jadi untuk mengatasi masalah kerapuhan perpaduan ini, pencetus-pencetus kepada masalah tadi perlu dilenyapkan atau diperbaiki agar ia tidak berterusan menjadi asas kepada ketidakstabilan.
Pertama, perlu ada persefahaman antara satu sama lain. Memang tidak dapat dinafikan, sukar untuk membentuk persefahaman yang jitu kerana ada ketikanya satu kaum terpaksa berkorban. Namun hakikatnya, dalam satu-satu etnik itu sendiri, masalah perpaduan kadang-kadang sukar dibentuk. Apatah lagi dalam negara seperti Malaysia ini.
Di sini ahli-ahli siasah tidak seharusnya melihat permasalahan tertentu sebagai peluang meraih kepentingan siasah masing-masing. Sebaliknya mereka perlu mengutamakan kebajikan umum berbanding peribadi. Malah ini sebenarnya yang disyariatkan oleh Islam. Mereka perlu sedar, kerjaya siasah mereka tidak akan ke mana jika berteraskan kepada pemahaman perkauman yang sempit.
Lihat apa yang terjadi kepada Pauline Hanson yang memperjuangkan hak kaum kulit putih Australia. Atau P. W. Bortha yang mengamalkan sistem aparteid di Afrika Selatan. Kerjaya siasah mereka berakhir dengan penuh kehinaan.
Begitu juga dengan sistem pendidikan negara. Di Malaysia kita ada pelbagai jenis sekolah. Ada sekolah kebangsaan, ada jenis kebangsaan, ada aliran agama mahupun sekolah antarabangsa. Tidak salah untuk mempunyai pelbagai jenis sekolah dan tidak salah juga untuk menghantar anak-anak kita bersekolah di mana-mana.
Namun penulis menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan. Ini kerana pelajar pelbagai kaum perlu didedahkan dengan kepelbagaian kaum dan agama di peringkat rendah lagi. Usaha membentuk masyarakat berbilang kaum yang bersatu dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Malah unsur ini perlu disemai seawal mungkin kerana jika benih-benih perpaduan menjadi agak terlambat jika disemai bila sudah tiba usia dewasa.
Perpaduan adalah pemangkin kepada kemajuan negara. Tanpa unsur perpaduan, keharmonian bermasyarakat tidak dapat dinikmati.
Janganlah terjadi 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.' Sekurang-kurangnya jika kita tidak berjaya mencari rumusan berkesan kepada masalah ini, memadailah jika kita berusaha memperkukuhkan tahap perpaduan sedia ada. Kita tidak mahu ia terus lemah dan terhakis.