Pelihara & jagalah kesihatan mata anda
Walaupun ini adalah perkara biasa dalam penuaan, masih terdapat antara kita yang kurang prihatin dalam penjagaan mata, terutamanya mereka yang berumur 40 tahun ke atas.
Terdapat beberapa penyakit dan gangguan mata yang dikaitkan dengan proses penuaan. Dengan adanya teknologi yang sering berkembang hari demi hari, penglihatan yang sempurna dan terang dapat dinikmati oleh semua golongan di hari tua.
Sayangnya, banyak yang berpendapat bahawa tiada bantuan dapat diberikan kepada masalah mata berkaitan dengan penuaan.
Salah satu gangguan mata yang sering berlaku ketika penuaan ialah presbiopia, yang bermula di kalangan mereka dalam lingkungan 40 ke 50 tahun.
Hasil dari penuaan, kanta mula hilang keanjalannya, menyukarkan untuk memfokus jarak dekat seperti aktiviti membaca.
Tetapi presbiopia boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata untuk membaca atau cermin mata dengan bifocal, trifocal atau kanta (tanpa garis) progresif.
Penuaan mata juga menyebabkan kanta mata menjadi lebih tebal dan kuning iaitu pembentukan katarak awal.
Perubahan ini mungkin akan memberi kesan kepada persepsi warna dan ketajaman penglihatan.
Apabila mata melalui proses penuaan, anak mata menjadi semakin kecil, menyebabkan keperluan kepada lebih cahaya untuk melihat dengan jelas.
Terdapat juga beberapa situasi lain yang membolehkan kehilangan penglihatan, antaranya degenerasi makula, glaukoma, katarak dan retinopati diabetis.
Perkara yang paling penting di dalam penuaan mata adalah untuk menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk memastikan kesihatan mata dan pengesanan awal sebarang penyakit mata.
Berikut merupakan beberapa persoalan yang sering menjadi persoalan di kalangan pesakit:
1. Apakah faktor yang mempengaruhi kesihatan mata seseorang?
- Terdapat dua faktor utama iaitu faktor genetik dan faktor alam sekitar di samping tabiat pemakanan dan tabiat merokok seseorang.
Faktor genetik menentukan sama ada seseorang itu mengalami rabun, katarak pada umur awal, degenerasi makula dan penyakit mata lain manakala tabiat merokok pula amat mempengaruhi kesihatan mata.
2. Bagaimanakah cara terbaik untuk menjaga kesihatan mata dan mencegah kebutaan ketika umur meningkat?
- Cara terbaik adalah dengan menjaga pemakanan dengan banyak memakan ikan dan sayuran serta makanan kesihatan dan mengelakkan merokok sejak usia muda.
Seperkara lagi bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas, harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan penyakit mata berbahaya yang mungkin tidak mempunyai gejala, seperti kekaburan.
3. Apakah peringkat umur yang harus menjalani pemeriksaan secara berkala oleh pakar mata?
- Mereka yang sihat tubuh badan dan berumur kurang daripada 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata setiap dua tahun dan setelah berumur 40 tahun, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun.
Jika seseorang mengidap kencing manis atau darah tinggi, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun walaupun berumur kurang daripada 40 tahun.
4. Kenapa mereka yang berumur 40 tahun ke atas harus menjalani pemeriksaan mata setiap tahun?
- Apabila anda berumur 40 tahun, risiko untuk mendapat penyakit mata meningkat. Penyakit mata yang berbahaya mungkin menyebabkan kebutaan termasuklah glaukoma, degenerasi makula dan katarak.
Semua penyakit ini tidak mempunyai gejala pada peringkat awal dan hanya dapat dikesan oleh pakar mata.
Pemeriksaan mata juga mungkin mengesan penyakit kencing manis dan darah tinggi melalui perubahan pada salur darah mata dalam keadaan berkenaan.
5. Apakah risiko untuk seseorang berumur lebih 40 tahun mengalami masalah gangguan penglihatan?
- Statistik menunjukkan sebanyak satu pertiga daripada mereka yang berumur 40 tahun ke atas mengalami masalah mata.
Pakar mata harus mengesan penyakit mata sebelum berlaku kebutaan yang kekal. Adalah tidak bijak untuk menunggu sehingga ada masalah sebelum menjalani pemeriksaan mata.
6. Apakah yang dilakukan ketika pemeriksaan mata oleh pakar mata?
- Pemeriksaan mata sepenuhnya mengambil masa 30 minit di mana sejarah kesihatan anda dan keluarga anda diteliti terlebih dahulu.
Pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan menggunakan berbagai alat untuk menentukan struktur mata anda sihat.
Tekanan mata juga diperiksa untuk menentukan anda tidak mengidap glaukoma. Gambar retina anda akan diambil untuk dokumentasi dan sebagai rekod status saraf mata dan retina anda.
Otot mata anda juga diperiksa untuk menentukan otot bergerak dengan sempurna. Refraksi dilakukan untuk menentukan keperluan anda untuk memakai cermin mata dan adakah cermin mata yang digunakan sesuai.
Setelah pemeriksaan dilakukan, pakar mata akan menerangkan kepada anda status mata dan memberi nasihat yang perlu untuk menjaga kesihatan mata anda.
7. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang merokok dan kesihatan mata?
- Saya sering berjumpa pesakit, selalunya lelaki, yang berumur kurang dari 40 tahun yang merupakan perokok tegar dan mengidap katarak pada kedua belah mata.
Terdapat juga di kalangan perokok yang mengalami degenerasi makula yang menyebabkan kebutaan kedua belah mata pada peringkat umur melebihi 65 tahun.
Mereka selalunya menyesal tetapi keadaan mata telah teruk dan mereka menjadi buta untuk selamanya dan rawatan yang mahal hanya dapat memulihkan sedikit sahaja penglihatan mereka.
8. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang lambat berjumpa pakar mata?
- Terdapat pesakit yang datang lewat hanya setelah mereka benar-benar tidak dapat melihat lagi.
Ini sering berlaku kepada pesakit kencing manis. Mereka menjadi buta dengan cepat dan walaupun dirawat, penglihatan hanya dapat dipulihkan dengan sedikit sahaja.
Semua warga Malaysia melebihi 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan sebarang masalah yang wujud dari peringkat awal dan mencegah kebutaan.
Jika keluarga anda mengalami masalah mata, kencing manis, penyakit serius atau pun memakan ubat yang mungkin mempunyai kesan ke atas mata, mereka seharusnya menjalani pemeriksaan mata yang sepenuhnya.
betul tu!! mata memang organ yg amat2 berharga.. maka hendaklah kita menjaganya dengan sebaik mungkin