Pengundi Bota rayu Nasaruddin kembali ke pangkuan UMNO


Lebih 200 pengundi dari Kampung Ekor Bota hari ini berhimpun di dewan orang ramai kampung itu bagi merayu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim kembali ke pangkuan UMNO.

Kumpulan itu yang terdiri daripada ahli UMNO Cawangan Ekor Bota mula berkumpul dari pukul 10.30 pagi sambil membawa sepanduk serta kain rentang yang antaranya tertera 'Kembalilah Datuk Nasa', 'UMNO Masih Sayang Datuk Nasa' dan 'Jangan Kecewakan Pengundi'.

Perhimpunan itu berakhir kira-kira pukul 12 tengah hari selepas kumpulan berkenaan menyerahkan memorandum kepada pegawai peribadi ADUN Bota, Syed Muhammed Syed Ramli untuk diserahkan kepada Nasaruddin.

Penganjur program itu, Kapten (B) Suhaimi Yahya berkata, perhimpunan itu diadakan dengan tujuan meminta Nasaruddin mempertimbangkan semula keputusan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi perpaduan orang Melayu dan UMNO.

''Saya dan Datuk Nasa sudah berkawan rapat sejak dari kecil lagi dan saya sungguh terkejut dengan keputusan beliau keluar dari UMNO kerana menganggap beliau sebagai pejuang UMNO yang sejati," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Syed Muhammed yang juga Timbalan Ketua UMNO Cawangan Ekor Bota berkata, penghijrahan Nasaruddin kepada PKR benar-benar melukakan hati pengundi terutamanya ahli UMNO cawangan itu.

''Saya juga rasa sedih kerana beliau adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan sebab itu saya sanggup memberikan laluan kepada Nasaruddin untuk memimpin UMNO Cawangan Ekor Bota pada 2004 walaupun saya merupakan Ketua Cawangan sejak tahun 1992.

''Kali ini, saya akan menjadi wakil ahli UMNO Cawangan Ekor Bota menyerahkan memorandum bagi merayu Datuk Nasaruddin kembali ke pangkuan UMNO," katanya.

Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Parit, Khairuddin Kadri menyifatkan Nasaruddin sebagai seorang pemimpin yang disegani rakyat dan tindakan beliau keluar dari UMNO boleh membawa perpecahan serius di kalangan orang Melayu di Bota.

''Datuk Nasa dikenali sebagai seorang pemimpin yang mesra rakyat dan selalu menyelesaikan masalah rakyat. Malah, pintu pejabat beliau juga sentiasa terbuka untuk semua penduduk Bota tanpa mengira fahaman politik.

''Jadi, bagi mengelak berlaku perpecahan di kalangan orang Melayu, saya merayu beliau memikirkan semula keputusannya dan kembali kepada UMNO," katanya yang pernah menjadi pegawai khas Nasaruddin ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Parit.

Ketua Wanita UMNO cawangan itu, Saadah Saari pula berkata, dia merasa sedih selepas mendapat tahu bekas Pengerusi Felcra itu bertindak keluar dari UMNO dan menyertai PKR pada 25 Januari lepas.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url