Suara Blog

Polemik politik khususnya isu melibatkan ‘kehilangan’ dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak mewarnai tulisan dalam blog-blog mapan di hujung minggu ini, selepas isu lompat parti oleh ADUN Bota baru-baru ini.

Wong Chun Wai (chunwai08.blogspot. com) Sabtu lalu menulis bahawa dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mahu keluar dari Pakatan Rakyat dan menjadi wakil rakyat bebas dan hal itu telah dinafikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin

Tulis beliau, apa yang ganjil ialah kedua-dua Exco kerajaan negeri itu gagal dihubungi.

“Sepatutnya mereka keluar dan menafikan desas-desus tersebut daripada membiarkannya sehingga menjadi lebih tanda tanya,” tulis Chun Wai.

Di dalam blog Tunku Aisya (tunkuaisya. blogspot.com), beliau memetik kenyataan Ketua PKR Perak, Osman Abdul Rahman yang percaya kehilangan kedua-dua ADUN itu berkait rapat dengan dakwaan rasuah yang dihadapi mereka malah yakin siasatan ke atas mereka adalah permainan kotor UMNO dan Barisan Nasional.

Sehubungan dengan itu penulis blog ini mempersoalkan kenapa jika ada ahli UMNO atau BN yang berpaling tadah menyertai Pakatan Rakyat, mereka dianggap wajar tetapi apabila sebaliknya ia umpama tindakan syaitan (evil act).

“Apa semua ini? Inilah mengapa PKR patut memberitahu pemimpin de factonya supaya menghentikan tindakan syaitannya terlebih dahulu,” tulis beliau.

Penulis blog Zubli Zainordin (satublogtotal.blogspot.com) pula menulis supaya semua ADUN yang dipilih oleh rakyat perlu mengingati tanggungjawab mereka.

Katanya, ada dua perkara yang perlu diingat oleh semua pemimpin iaitu melaksanakan janji-janji mereka ketika pilihan raya lalu dan kejadian kehilangan ADUN seperti ini tidak patut berlaku.

“Satu, wa (saya) nak tahu lu (awak) orang sudah adun betoi-betoi (betul-betul) ke semua ADUN ini? Mana janji itu semasa pilihan raya?

Ewah! Siap lepas raya, you all (anda semua) raya sakan ke? Lupa niat. Lupa janji. Lupa semua. Mentang-mentang value (nilai) kamu sudah RM10 juta,” tulis beliau.

Mat Sirat (siratansuratan.blogspot.com) pula memetik laporan media berhubung gesaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya semua umat Islam di negara ini supaya bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang cabaran daripada pihak tertentu yang cuba mengelirukan dan memecah-belahkan umat Islam.

Penulis ini berpesan supaya kita tidak mudah melatah apabila ada pihak luaran yang sengaja menjadi arkitek kepada perpecahan umat Islam di negara ini.

“Angin yang membawa perubahan landskap politik tanah air sejak kebelakangan ini sememangnya dibenih dan dibajai oleh sentimen yang ingin menjana kehancuran Malaysia.

“Masih ingat lagi sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun 2007 dan apa pula yang menyusul tujuh bulan kemudian? Tepuk dada tanya selera,” tulis beliau.

Ucapan Ahmad Zahid dan berita utama muka depan Mingguan Malaysia semalam turut mendapat reaksi penulis Zabidi Saidi dalam blognya memobelakang.blogspot.com.

Zabidi menulis: “Ketegasan Dr. Zahid dalam isu ini akan melonjakkan namanya sebagai calon Naib Presiden UMNO yang popular.

“Satu lagi yang perlu disekat oleh KDN (Kementerian Dalam Negeri) ialah penyebaran kitab injil dalam bahasa Melayu. Kita faham ada orang Indonesia yang beragama Kristian di negara kita yang membaca kitab injil itu dalam bahasa Melayu. Sewajarnya kitab itu dilarang dijual di Malaysia kerana ia boleh mengelirukan umat Islam,” tulisnya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url