Sukarnya mencari kesepakatan bernegara

Masyarakat majmuk banyak karenah
Masing-masing nak menang sendiri
Amalkan demokrasi dengan bijaksana
Daulatkan Raja Payung Negeri.

Seorang pakar sains politik, Raj K. Vasil, dalam sebuah bukunya yang pernah diharamkan kira-kira 40 tahun lalu merujuk kepada Malaysia sebagai Plural society par excellence (Satu masyarakat majmuk yang paling unggul. Judul lengkap buku itu ialah Politics in a Plural Society: A Study of non-Communal Political Parties in West Malaysia.

Saya teringat kembali buku tersebut sewaktu cuba memahami dan mencari iktibar daripada kemelut politik dan proses peralihan kuasa di Perak yang diselubungi kontroversi dan sekali gus menggambarkan kemajmukkan masyarakat Malaysia.

Sekarang kedudukan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar yang baru dan barisan exconya sudah mulai stabil.

Sanggahan daripada bekas Menteri Besar Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pas dan bekas-bekas ahli Exco Kerajaan Negeri dari DAP yang mengelilinginya, sudah semakin kehabisan tenaga. Namun kontroversi mengenai episod peralihan kuasa itu, nampaknya masih berterusan terutama melalui blog-blog dan akhbar-akhbar pembangkang.

Sebagai gambaran lanjut daripada kemajmukan masyarakat Malaysia itu, semenjak awal episod itu lagi kita perhatikan kontroversi dan pertelingkahan berlaku bukan sahaja antara pihak pemerintah dan pembangkang, malah juga di kalangan parti-parti pakatan pembangkang sendiri.

Begitu juga di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO terdapat perbezaan pendapat bagaimana sepatutnya kemelut itu dielakkan sebelum terjadi, dan bagaimana cara penyelesaiannya bila sudah terlanjur.

Di kalangan ahli-ahli akademik dan pemerhati-pemerhati yang non-partisan pun terdapat pandangan berlainan. Tiga pakar undang-undang yang juga ahli akademik, Prof. Shad Saleem Faruqi, Prof. Aziz Bari dan Prof. Salleh Buang secara tidak langsung masing-masing melahirkan rasa kekeliruan dan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai tindakan Sultan Perak.

Jadi jelas bahawa terdapat perbezaan persepsi dan pelbagai reaksi yang tidak sama mengenai kemelut politik di Perak itu. Tentu kita boleh mengambil kesimpulan bahawa perbezaan pendapat itu berpunca daripada hakikat bahawa "berlainan tempat tegak, maka berlainan pula benda yang nampak."

Sikap dan persepsi pihak-pihak berkenaan dipengaruhi oleh kepentingan dan latar belakang masing-masing yang berbeza-beza.

Semua itu mengingatkan kita betapa sukarnya mencari kesepakatan akibat kemajmukan tersebut dan betapa sukarnya mengatur dan mentadbir serta "mentertibkan" berbagai golongan yang mempunyai pandangan dan keinginan beragam-ragam itu.

Maka muncullah berbagai-bagai gagasan dan teori serta konsep dan falsafah tentang bagaimana cara untuk memerintah.

Sistem atau konsep "demokrasi" muncul sebagai satu gagasan yang paling popular, seakan-akan semua masalah akan dapat diselesaikan oleh demokrasi. Entah disedari atau tidak, demokrasi" dijadikan penanda aras untuk mengukur pemerintahan yang "adil dan saksama." Demokrasi dianggap (dituntut?) menjanjikan bahawa setiap warga semestinya mempunyai hak yang sama untuk menentukan "arah tuju" dan "tata tadbir" pemerintahan sesebuah negara.

Malangnya, "demokrasi" sebagai satu konsep yang sangat popular itu pun tidak terlepas daripada menjadi mangsa kepelbagaian persepsi dan interpretasi manusia yang majmuk itu. Interpretasi yang berbeza mengakibatkan amalan yang berbeza pula. Kesepakatan yang mutlak tentang takrif "demokrasi" dan tatacara pelaksanaannya tidak pernah tercapai. Barangkali kerana itulah maka Perdana Menteri British Sir Winston Churchill yang terkenal itu pernah berkata bahawa "demokrasi adalah satu cara pemerintahan yang paling buruk, tetapi tidak ada satu cara pemerintahan lain yang lebih baik dari itu."

Churchill mengingatkan kita tentang dilema yang dihadapi oleh demokrasi dengan segala "harapan yang ideal" bertembung dengan "realiti sosial dan persekitaran" yang sukar diatur dan dikawal. Namun manusia terus mencuba mengamalkan demokrasi dengan berbagai-bagai variasi dan memberikan berbagai-bagai nama tambahan untuk disesuaikan dengan masa, tempat dan keadaan.

Kira-kira 50 tahun lalu, Presiden Sukarno di Indonesia memperkenalkan konsep Demokrasi Terpimpin. Hampir pada masa yang sama Presiden Ayub Khan di Pakistan memperkenalkan Demokrasi Dasar (Basic Democracy). Demokrasi Terpimpin di Indonesia kemudian diganti dengan Demokrasi Pancasila.

Selain itu, menurut Profesor Miriam Budiardjo dalam bukunya "Dasar-dasar Ilmu Politik", terdapat pula istilah-istilah seperti demokrasi konstitusional, demokrasi parlimenter, demokrasi rakyat, demokrasi nasional, Demokrasi Soviet, dan sebagainya.

Di negara ini kita mengemukakan konsep "Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan."

Dalam konteks sejarah budaya dan persekitaran sosial politik Malaysia konsep itu adalah penyelesaian yang bijak terhadap "dilema demokrasi".

Gagasan ini adalah satu "formula" atau resipi yang sangat sesuai untuk mengamalkan demokrasi. Ini adalah gagasan yang menggabungkan unsur tradisi dan unsur moden yang dapat mewujudkan "kestabilan yang dinamis" (dynamic equilibrium) dalam kita mengatur kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Rahsia kejayaan Malaysia di pelbagai bidang sejak bernama Persekutuan Tanah Melayu, sangat bergantung kepada keupayaannya mewujudkan keseimbangan antara unsur tradisi dan moden itu, mempertahankan yang asal dan asas sambil menyerap yang baharu dan luaran secara terpilih. Dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini, formula tersebut diterjemahkan pula dalam bentuk pengiktirafan terhadap hak sejarah dan tradisi kepemimpinan bumiputera yang digabungkan dengan pengiktirafan terhadap hak asasi dan kemanusiaan masyarakat bukan bumiputera. Kedua-dua hak tersebut mestilah diseimbangkan dan jangan sampai diubah secara radikal demi melanjutkan kestabilan.

Semangat demokrasi berparlimen yang pada teorinya memberi hak sama rata kepada setiap warga negara, perlu dikawal dan diseimbangkan dengan kedaulatan raja berperlembagaan yang menjadi sauh kepada kestabilan yang berurat tunjang pada tradisi.

Seterusnya saya ingin berhujah bahawa kebijaksanaan yang dilaksanakan oleh Istana Perak dalam mencari penyelesaian kemelut politik tersebut adalah berpandukan falsafah "Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan" tersebut yang mengambil kira keseimbangan dan keamanan negara (negeri) tanpa mengabaikan kemajuan dan hak asasi rakyat.

Kesimpulannya, tuntutan untuk mengamalkan doktrin-doktrin demokrasi secara mutlak hendaknya jangan sampai mengabaikan hakikat bahawa untuk demokrasi berfungsi dengan berkesan demi mencapai manfaat yang optimum, masa dan tempat (ruang dan waktu) mestilah diserasikan (diselaraskan) dengan persekitaran sosial dan emosi.

Dalam falsafah adat Minangkabau, ini dirujuk dengan ungkapan Raso dibawo nayiak, pareso dibawo turun (Perasaan atau emosi hendaklah dibawa naik ke kepala untuk dinilai dengan otak dan akal yang rasional, manakala fikiran yang rasional (pareso) hendaklah dibawa turun ke dada atau ke dalam hati untuk diimbangi dengan perasaan dan emosi.) Kita mestilah bijak mencari keseimbangan antara "idealisme" dan "pragmatisme."
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url