Sumai perkenal hotel apartmen di Kuala Terengganu

Kumpulan syarikat Sumai, sebuah syarikat kejuruteraan Bumiputera di Terengganu berhasrat menembusi bidang perhotelan di negeri ini dengan memperkenalkan konsep penginapan hotel apartmen yang merupakan pertama seumpamanya di bandar ini dengan pelaburan sebanyak RM35 juta.

Menerusi anak syarikatnya, Sumai Engineering Sdn. Bhd., kumpulan itu mengubah suai sebuah projek apartmen terbengkalai hampir 15 tahun yang terletak di kawasan strategik di Pantai Batu Buruk berhampiran Primula Beach Resort menjadi Sumai Suite Hotel.

Menurut Penolong Pengurus Besar Jualan Sumai Suite Hotel Daniel Dazril Md Darin, pengubahsuaian hotel itu telah dilakukan sejak bulan Disember dan berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu sebelum mula dibuka kepada orang ramai pada awal bulan ini disebabkan permintaan yang tinggi ekoran Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini.

"Perancangan awal hotel apartmen ini mula beroperasi pada bulan Mac ini, namun dengan permintaan penginapan yang tinggi, kita telah beroperasi lebih awal yang secara langsung turut memberi pendedahan awal kepada kakitangan seramai 78 orang yang kebanyakannya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan kolej dan bidang perhotelan," katanya di sini hari ini.

Daripada 78 orang kakitangan itu, katanya hampir 98 peratus merupakan anak tempatan.

Hotel apartmen bertaraf empat bintang itu, katanya, menyediakan 63 buah apartmen dengan jumlah keseluruhan 224 buah bilik dan 18 bilik standard hotel dengan kos serendah dari RM120 sehingga RM900 semalam.

"Sasaran utama kita adalah para pelancong yang datang secara berkumpulan dan berkeluarga di mana mereka boleh menikmati suasana seperti di rumah dengan menyewa apartmen hotel yang mempunyai dua hingga empat bilik di sini dengan kos yang berpatutan dari serendah RM300.

"Ini adalah konsep penginapan baru yang kita cuba perkenalkan di sini, namun dalam masa yang sama, kita tidak melupakan mereka yang datang ke negeri ini secara individu yang mana bilik standard turut disediakan," katanya.

Selain kemudahan asas seperti yang terdapat di hotel lain, apa yang menariknya Sumai Suite Hotel juga menyediakan aktiviti perjalanan bot dari pulau ke pulau, snorkeling, perjalanan memancing untuk pengunjung hotel itu selain mempunyai dua buah bas untuk tujuan lawatan bandar raya.

Sepanjang bulan Februari ini, katanya, hotel itu mengadakan promosi bufet makan tengah hari dan malam dengan konsep 'Sumai Mampir Indonesia' dengan hanya membayar RM9.90 seorang selain potongan 50 peratus untuk kadar penginapan promosi di unit-unit apartmen untuk malam kedua dan seterusnya.

Katanya, sebarang tempahan boleh dilakukan melalui talian telefon 09-6310099 ataupun pejabat jualan di No 71, Jalan 3/10 B, Taman perindutrian Spring Crest, 68100, Batu Caves Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-61864480.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url