Komentar - Antara kemelut ekonomi dan gawat politik

Seperti dijangka, kesan krisis ekonomi dunia bermula di Amerika Syarikat dan Eropah sejak tahun lalu mulai dirasai di negara ini. Kesan itu dijangka semakin dirasai oleh kita menjelang pertengahan dan akhir tahun ini. Saban hari kini, walaupun dikelabui dengan berita kekalutan politik wang dan pemilihan Umno Mac ini, ada saja laporan mengenai kilang ditutup dan ramai pekerja diberhentikan. Syarikat dan firma swasta tempatan dalam perancangan perniagaan mereka untuk tahun ini sudah meramalkan keuntungan yang rendah atau mencatat kerugian. Sebagai langkah menyelamat, pelbagai usaha menjimatkan kos akan diambil dan antara yang pertama, tentunya mengurangkan kakitangan.

Berdasarkan perangkaan Bank Negara Malaysia, seramai 16,800 pekerja diberhentikan tahun lalu, sebahagian besarnya sejak Oktober terutama dari sektor perkilangan. Statistik Kementerian Sumber Manusia melaporkan 7,500 pekerja diberhentikan sejak Oktober hingga pertengahan bulan lalu, manakala Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, lebih 10,000 pekerja kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini. Walaupun angka berbeza, hakikatnya beribu-ribu orang sudah kehilangan sumber pendapatan bagi menampung hidup keluarga mereka. Malah, ada ramalan yang menyebut kadar pengangguran di negara ini berada pada tahap enam peratus tahun ini – tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Setakat ini, kebanyakan kilang yang ditutup atau mengalihkan operasi mereka ialah dari sektor elektronik di Pulau Pinang, Selangor dan Johor berikutan kekurangan permintaan dari pasaran luar negara terutama Amerika dan Eropah yang terjejas teruk dengan krisis ekonomi. Terbaru, Panasonic Malaysia akan menutup kilangnya di Sungai Way, Selangor serta memindahkan operasi dan pekerja ke kilangnya di Shah Alam. Walaupun langkah itu tidak membabitkan pemberhentian pekerja, satu lagi kilang Panasonic di Melaka yang mempunyai 490 pekerja akan ditutup terus pada akhir bulan ini.

Dua lagi gergasi elektronik Jepun, NEC Corp dan Hitachi Ltd, yang turut beroperasi di Malaysia, dilaporkan akan memberhentikan 27,000 pekerja mereka di negara matahari terbit itu.

Kalau itu tidak cukup untuk mengalihkan perhatian kita daripada terlalu asyik dengan kemelut politik tempatan sekarang, laporan mengenai Royal Dutch Shell, syarikat minyak antarabangsa yang tertua dan terbesar di negara ini, mencatatkan kerugian AS$2.8 bilion bagi tempoh suku terakhir tahun lalu walaupun masih mencatatkan keuntungan bagi keseluruhan 2008, mungkin perlu dibimbangi. Sumber utama negara sejak beberapa tahun lalu adalah daripada hasil petroleum melalui cukai keuntungan dan dividen pelaburan kerajaan dalam Petronas. Daripada hasil itulah kerajaan dapat menyalurkan pelbagai bentuk pembangunan untuk negara dan rakyat.

Justeru, jika Shell yang berusia beratus tahun dan menjadi peneroka industri petroleum di kebanyakan negara, mula mencatat kerugian ekoran kejatuhan harga minyak dunia sehingga AS$40 setong sekarang, tidak mustahil Petronas juga mungkin mengalami nasib serupa kalau krisis harga minyak berterusan. Walaupun dari satu segi, kita mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak, untuk jangka panjang, negara dan rakyat akan merasai kesan sebaliknya apabila keuntungan Petronas berkurangan atau ia langsung mencatat kerugian.

Senario ini seharusnya menyedarkan semua pihak, daripada rakyat biasa, pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan pemimpin kerajaan serta parti politik untuk memberi perhatian lebih serius dengan mula mengambil langkah perlu. Walaupun dunia termasuk Malaysia setiap dekad dalam tempoh 30 tahun lalu pernah menghadapi kelembapan ekonomi, ramai pakar meramalkan krisis kali ini lebih buruk dan mungkin mengambil masa lebih lama untuk dipulihkan.

Pengalaman lalu di negara ini menunjukkan kita mampu menghadapi kegawatan ekonomi jika semua pihak memainkan peranan masing-masing apabila kerajaan memperkenalkan langkah khusus menangani masalah ini. Kerjasama pekerja dan kesatuan sekerja terhadap langkah penjimatan yang diperkenalkan majikan juga turut memainkan peranan penting.

Malangnya ketika kesan kelembapan ekonomi dunia mulai dirasai di negara ini, kita belum kebah daripada kegawatan politik walaupun pilihan raya umum sudah hampir setahun berlalu. Malah, pemilihan kepemimpinan Umno pada Mac ini dilihat memburukkan lagi kegawatan itu kerana kebanyakan pemimpin memberi perhatian kepada pertandingan termasuk berleluasanya politik wang, daripada mencari kaedah menangani kemelut ekonomi. Kerana itu, ramai rakyat mengharapkan agar kegawatan politik ini cepat diselesaikan supaya perhatian boleh diberikan kepada langkah merangsang semula ekonomi negara.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url