'Tawaran RM50j adalah palsu' - Zainal Abidin Zain

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin menolak dakwaan kononnya Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ipoh Barat, Fauzi Muda ditawarkan RM50 juta untuk membolehkan beliau menarik wakil rakyat parti itu menyertai Barisan Nasional (BN).

Zainal berkata, pertemuan Fauzi dengan seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) itu memang berlaku pada 11 Mac tahun lalu tetapi ia diadakan secara terbuka ketika itu dan melibatkan ramai orang lain lagi yang hadir atas tujuan-tujuan tersendiri di Putrajaya.

Beliau juga berkata, sebelum pertemuan itu, Fauzi memaklumkan mahu berjumpa dengan pemimpin tersebut kerana ingin memohon bantuan peribadi.

"Saya pun bukan mengenali sangat Fauzi, dia rakan kepada rakan baik saya iaitu Sulaiman Mansor dan mahu bertemu kononnya ingin meminta bantuan atas urusan peribadi.

"Bila dia cakap peribadi dan saya pun bukan kenal mesra dengan dia, saya pun malas bertanya lanjut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bersumpah yang dibuat Fauzi mendakwa beliau ditawarkan RM50 juta dalam pertemuan 11 Mac tahun lalu untuk membolehkan Fauzi, membawa masuk wakil rakyat PKR ke dalam BN.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, beliau bersama rakannya Sulaiman mengambil Fauzi di Tol Jalan Duta lebih kurang pukul 10 malam pada hari pertemuan itu dan kemudiannya ke Putrajaya dalam kereta yang sama.

Katanya, beliau ketika itu tidak tahu pun Fauzi adalah seorang pemimpin PKR.

Jelas beliau, dalam pertemuan terbuka itu, banyak pihak yang mendekati pemimpin tersebut untuk berborak dan bertanya mengenai isu-isu tersendiri dan pertemuan itu adalah pertemuan biasa yang kadang-kala memang sengaja dianjurkan.

Katanya, kehadiran Fauzi itu bukannya secara eksklusif atau diadakan khas sebaliknya sama seperti ramai tetamu-tetamu lain pada malam itu.

Beliau berkata, Fauzi kelihatan sedih selepas pertemuan itu dan beliau tidak bertanya lanjut tentang butiran perbualan mereka.

Jelas beliau, beliau dan Fauzi ketika itu berada dalam kumpulan hampir 10 orang dan berada di situ selama sejam sebelum beredar meninggalkan majlis itu selepas tengah malam.

Beliau amat yakin majlis terbuka seumpama itu bukan satu tempat untuk perbincangan melibatkan sejumlah wang yang mencecah amaun RM50 juta akan dibincangkan.

"Lagipun, siapa Fauzi itu dalam PKR yang layak ditawarkan sehingga RM50 juta untuk menarik para ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) parti berkenan ke BN," katanya.

Ditanya apakah beliau akan mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas Fauzi, Zainal berkata, beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk berbuat demikian.

"Rasanya saya tidak ingin jumpa dia pun, nanti orang kata saya hendak memujuk dia sedangkan memang tidak ada apa-apa yang dia dakwa itu betul pun," katanya.

Beliau bagaimanapun bersedia untuk memberikan kerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika diminta berbuat demikian.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url