SPR: Jamaluddin, Mohd. Osman kekal ADUN

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang dan Changkat Jering.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, ini bermakna Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) kekal di kawasan masing-masing.

Katanya, keputusan tersebut dibuat berikutan wujudnya keraguan pada surat peletakan jawatan yang dikatakan dihantar kedua-dua ADUN itu kepada Speaker DUN Perak, V. Sivakumar Isnin lalu.

''SPR yang mengadakan mesyuarat khas pagi ini telah meneliti secara mendalam dan rapi dari pelbagai sudut perundangan.

''SPR memutuskan bagi kedudukan kerusi DUN N.14 Changkat Jering dan DUN.59 Behrang, SPR tidak dapat menggunakan kuasa di bawah Perkara 36(5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi-kerusi berkenaan. Ini bermakna status quo kekal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas tersebut yang berlangsung selama dua jam di Ibu Pejabat SPR di sini.

Kedudukan dua kerusi DUN itu menimbulkan tanda tanya sejak kelmarin apabila Sivakumar mengeluarkan kenyataan media bahawa Jamaluddin dan Mohd. Osman telah menghantar surat peletakan jawatan.

Bagaimanapun tidak sampai tiga jam selepas itu, Jamaluddin dan Mohd. Osman menafikan sekeras-kerasnya mereka berbuat demikian.

Abdul Aziz berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Sivakumar pada 2 Februari lalu yang memaklumkan wujudnya kekosongan kerusi di dua DUN berkenaan berikutan penyerahan surat peletakan jawatan kedua-dua penyandangnya.

Pada masa sama, kata beliau, SPR turut menerima surat-surat daripada Jamaluddin dan Mohd. Osman yang memaklumkan bahawa surat-surat peletakan jawatan itu tidak berkuat kuasa.

Menurut beliau, sememangnya kekosongan kerusi-kerusi DUN perlu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri tetapi dalam kes melibatkan Jamaluddin dan Mohd. Osman, SPR perlu memastikan sama ada terdapat keperluan kekosongan luar jangka.

''Ya, dalam kes-kes sebelum ini, Speaker dalam suratnya memaklumkan adanya kekosongan atas sebab kematian (penyandangnya) tetapi dalam kes ini, para penyandang kerusi telah mencabar kesahihan (berlaku kekosongan) itu.

Ditanya tentang isi kandungan surat-surat Jamaluddin dan Mohd. Osman, Abdul Aziz berkata:

''Mereka tidak nafikan ada menandatangani surat (aku janji kesetiaan Parti Keadilan Rakyat) tetapi mempertikaikan kenapa tarikh peletakan jawatan itu ditetapkan pada 2 Februari''.

Surat aku janji kesetiaan PKR itu menyatakan bahawa jika kedua-duanya keluar dari parti itu, mereka dengan sendirinya meletakkan jawatan sebagai ADUN.

Dalam hal ini, Mohd. Osman menegaskan, surat peletakan jawatan itu tidak sah kerana ditandatangani secara paksa dan dibuat pada Mac tahun lalu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url