Awas penyangak siber


Semakin maju tekonologi hari ini, semakin licik penjenayah. Yang pasti, mereka juga tidak ketinggalan melakukan jenayah siber.

Tanpa diragui, Internet semakin penting dalam kehidupan hari ini. Ramai yang menggunakan Internet bukan sahaja untuk mencari maklumat tetapi juga untuk membeli-belah dan membuat transaksi perniagaan termasuk perbankan online.

"Penggunaan Internet yang berleluasa dengan bilangan pengguna yang semakin ramai memberikan kesempatan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menipu pengguna. Oleh itu, wujudlah pelbagai penipuan untuk memerangkap pengguna."

Demikian komen Mohd. Yusof Abdul Rahman, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca).

"Banyak penipuan yang dirujuk untuk perhatian kami. Ia termasuk penipuan menang loteri dan cabutan bertuah, membantu memindahkan wang yang dimiliki oleh waris hartawan, meminta bantuan kerana terkandas atau kecurian, e-mel membeli perisian komputer, produk makanan yang sebenarnya berkualiti rendah dan bermacam-macam lagi," katanya.

Mohd. Yusof menggesa orang ramai khususnya pengguna e-mel supaya sentiasa berhati-hati apabila menerima e-mel seperti yang dinyatakan.

Pihak yang melakukan penipuan itu juga, katanya, kini menjadi semakin berani dan sofistikated dalam melakukan jenayah siber.

"Jangan mudah terpengaruh dan cuba melayan e-mel yang tidak diketahui kebenarannya.

"Apatah lagi, sekiranya terpedaya dengan e-mel penipuan. Sukar untuk mendakwa mereka yang terlibat khususnya jika pihak yang menghantar e-mel tipu ini beroperasi di luar negara," kata Mohd. Yusof.

Phishing

Dalam teknologi komunikasi maklumat, perkataan phishing digunakan berhubung fraud dan penipuan siber.

Menurut ensiklopedia Wikipedia, phishing boleh didefinisikan sebagai proses fraud jenayah dalam cubaan untuk memperoleh maklumat sensitif seperti nama pengguna, kata laluan serta butiran kad kredit dengan menyamar sebagai entiti yang boleh dipercayai menerusi komunikasi elektronik.

Komunikasi berkenaan dikatakan datang dari laman web sosial popular seperti You Tube dan Facebook, laman lelongan (e-Bay), perbankan online atau pentadbir IT seperti Yahoo yang biasa digunakan untuk memancing mereka yang tidak mengesyaki.

Menurut ensiklopedia itu lagi, phishing secara lazimnya dilakukan melalui e-mel atau mesej segera (instant messaging) dan sering kali ia akan mengarahkan pengguna untuk memasukkan butiran di laman web palsu yang paparannya seakan-akan sama dengan yang sah.

Sebutan pertama dicatat mengenai istilah phishing dilaporkan pada 1996.

Penipuan satu kesalahan

Di dalam negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima laporan berhubung phishing sejak tahun 2004. Pada 2008, SKMM menerima sebanyak 86 aduan mengenai phishing.

Menurut Suruhanjaya itu, e-mel yang berasaskan penipuan yang mengandungi unsur penipuan seperti mengutip wang daripada orang ramai adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara mandatori minimum setahun hingga 10 tahun serta mandatori sebat, dan mahkamah juga mempunyai kuasa mengikut budi bicara untuk seterusnya mengenakan denda.

Menurut SKMM, siasatan terhadap kes penipuan berasaskan e-mel berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bukannya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau SKMM.

Bagaimanapun, kata suruhanjaya itu, ia boleh mengambil tindakan serta-merta dengan menyekat akses ke laman phishing di bawah Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Berhati-hati

"Yang paling penting ialah pengguna perlu ingat bahawa jangan sekali-kali mendedahkan sebarang maklumat peribadi dan lebih berhati-hati apabila menerima e-mel yang menyatakan penerima e-mel memenangi loteri atau pertandingan, menerima wang daripada cabutan bertuah atau menyatakan akaun bank anda perlu dikemaskini sistem keselamatannya kerana ia boleh dipecah masuk.

"Seseorang harus bersikap berhati-hati apabila menerima e-mel daripada orang yang tidak dikenali. Di samping penipuan, e-mel juga mungkin boleh mengandungi virus atau malware (perisian berniat jahat)," kata SKMM.

Katanya, pengguna juga boleh memasang penapis anti-phishing yang boleh memberi mereka amaran terhadap laman phishing.

Menurut SKMM, sesiapa yang menerima e-mel yang meragukan dan dipercayai satu penipuan, mereka dinasihat merujuk perkara itu kepada polis atau sebagai pilihan mengemukakan aduan atau merujuk laman Internet yang diragui itu kepada Biro Aduan SKMM secara online di http://aduan.skmm.gov.my atau telefon 1-800-888-030.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url