Top Ad 728x90

Bank Negara akui cabaran tahun ini paling getir

Tahun 2009 merupakan tahun yang mencabar, yang menuntut kesediaan, kapasiti dan keupayaan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memelihara kebajikan negara dalam menghadapi situasi sukar ini.

Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam perutusan Laporan Tahunan 2008 berkata, 2009 adalah tahun yang amat mencabar bagi ekonomi Malaysia memandangkan dunia juga mengalami kemelesetan.

Walaupun ekonomi domestik terjejas akibat perkembangan ekonomi global yang teruk sejak separuh kedua tahun 2008, ekonomi negara dijangka mengalami impak kemelesetan global sepenuhnya pada tahun ini.

''Jika diambil kira semua langkah yang dilaksanakan bagi menyokong permintaan dalam negeri, pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) benar diunjurkan antara -1 peratus hingga 1 peratus,'' katanya

Tambah Zeti, unjuran itu juga tertakluk kepada syarat bahawa ekonomi yang dilanda krisis akan menjadi stabil pada separuh kedua tahun ini.

Katanya, ia memerlukan langkah penyelesaian dan rangsangan yang berkesan. Sekiranya masalah kewangan global masih gagal diatasi, keadaan dijangka menjadi bertambah buruk.

''Dalam persekitaran tidak menentu ini, tindak balas dasar monetari adalah bersifat pandang ke hadapan. Persekitaran monetari yang menyokong pertumbuhan telah dikekalkan pada separuh pertama tahun 2008 meskipun wujudnya peningkatan tekanan inflasi berasaskan penawaran.

''Imbangan risiko terhadap pertumbuhan dan inflasi menjadi genting dan ketara apabila inflasi melonjak disebabkan oleh pelarasan besar terhadap harga bahan api pada bulan Jun 2008, mengakibatkan kejutan deflasi kepada ekonomi negara,'' jelasnya.

Zeti berkata, penilaian yang dibuat, bagaimanapun, menunjukkan bahawa imbangan risiko beralih daripada inflasi yang lebih tinggi kepada pertumbuhan lebih perlahan pada penghujung tahun 2008.

Katanya, inflasi keseluruhan ternyata terus menyederhana, kepada kurang empat peratus daripada paras 8.5 peratus pada Julai 2008 dan trend menurun ini dijangka berlanjutan, dengan unjuran inflasi keseluruhan kini menurun dengan nyata kepada purata kurang daripada dua peratus pada tahun ini.

''Dengan mengambil kira risiko bahawa pertumbuhan merosot dengan lebih teruk seiring dengan kemerosotan persekitaran global, maka tindakan dasar monetari telah dilaksanakan lebih awal.

''Sejak bulan November 2008, Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah dikurangkan sebanyak 150 mata asas kepada 2 peratus dan Keperluan Rizab Berkanun dikurangkan sebanyak 3 mata peratusan bagi mengurangkan lagi kos pengantaraan,'' katanya.

Tahun ini merupakan ulang tahun BNM ke-50 dan bank pusat itu boleh menoleh ke belakang dan berbangga dengan sumbangan memelihara kestabilan monetari dan kewangan serta membangunkan sistem kewangan yang komprehensif di dalam negara, katanya.

Antara usaha itu, termasuk pemodenan bank bagi memastikan terus efektif dalam persekitaran yang pesat berubah.

''Pada tahun 2008, usaha berterusan telah ditumpukan ke arah menjadikan BNM sebuah organisasi yang lebih berasaskan strategi dan prestasi.

''Dan pada tahun ini, penghasilan Pelan Bisnes tiga tahun akan menumpukan hasil strategik yang ingin dicapai dan penjajaran sumber dalaman BNM yang berkesan untuk merealisasikan pelan ini,'' katanya.

Sementara itu, tumpuan diberi dalam pengurusan tenaga mahir bagi memastikan ia tidak ketandusan kepemimpinan.

Katanya, sebagai sebahagian daripada pemodenan bank, Akta Bank Negara Malaysia yang baru akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

Akta yang dicadangkan itu melibatkan kajian semula terhadap mandat bank dan rangka kerja tadbir urus, akauntabiliti dan perundangan bank.

Akta itu bertujuan memberi penjelasan mengenai peranan dan fungsi bank serta memberi kuasa dan instrumen yang diperlukannya bagi beroperasi dengan lebih berkesan.

Di samping itu, rangka kerja tadbir urus bank akan diperkukuh melalui akta yang dicadangkan itu untuk mempertingkatkan akauntabiliti, profesionalisme dan ketelusan.

Pengalaman selama 50 tahun dalam memelihara kestabilan monetari dan kewangan serta menyokong kemampanan pembangunan ekonomi telah memperlihatkan banyak cabaran yang memberikan pengajaran yang berguna, katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90