Top Ad 728x90

, ,

Kadar pengangguran meningkat

Pasaran pekerjaan dijangka terus merosot di Malaysia dengan kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus pada tahun ini berbanding 3.7 peratus pada tahun lalu.

Faktor itu adalah kesan langsung daripada kelembapan aktiviti ekonomi yang menyebabkan permintaan daripada luar negara terus susut sejak akhir 2008.

Berikutan itu, sektor-sektor yang terdedah kepada perdagangan luar akan melaksanakan inisiatif pengurangan kos termasuk memendekkan masa kerja, melaksanakan skim pemberhentian pekerja secara sukarela dan sementara serta memberhentikan pekerja.

Kaji selidik yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) 2008 mendapati 24 peratus guna tenaga dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan akan mengurangkan bilangan pekerja mereka pada tahun ini.

Bagaimanapun, sektor awam dijangka meningkatkan guna tenaga dengan sasaran pengambilan 63,000 orang antara tahun 2009 hingga 2010.

Kerajaan juga melaksanakan beberapa langkah untuk mewujudkan peluang latihan bagi rakyat Malaysia yang terjejas akibat kelembapan ekonomi dan memberi insentif kepada majikan yang mengambil semula pekerja yang diberhentikan.

Dijangka sebanyak 10,000 peluang latihan diwujudkan menerusi insentif itu tetapi ia masih belum mampu mengimbangi sepenuhnya prospek keseluruhan pasaran pekerja yang lemah.

Sementara itu, purata peningkatan gaji sektor swasta dijangka sederhana kepada 2.7 peratus pada 2009 berbanding 5.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Trend penurunan bagi pasaran kerja di negara ini bermula pada separuh pertama tahun 2008 dan sepanjang tahun lalu kadar pengangguran meningkat kepada 3.7 peratus.

Pada tempoh itu, jumlah pemberhentian pekerja hanya sebanyak 5,218 orang tetapi ketika itu permintaan luar negeri begitu kukuh.

Bagaimanapun, jumlah itu meningkat kepada 112,511 orang pada separuh tahun kedua, mengakibatkan jumlah pemberhentian pekerja pada tahun 2008 meningkat kepada 16,469 orang pekerja.

Kebanyakan pemberhentian pekerja membabitkan sektor perkilangan sebanyak 67 peratus, terutamanya pekerja dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) iaitu 29 peratus manakala sub sektor perdagangan edaran, hotel dan restoran mencakupi 12 peratus lagi.

Jumlah pertumbuhan pekerja asing juga perlahan dengan kadar 0.9 peratus kepada 2.06 juta pekerja menjelang akhir tahun tetapi jumlah ekspatriat naik sebanyak 0.7 peratus kepada 36,794 orang pekerja pada 2008.

Produktiviti pekerja pula mencatat pertumbuhan pada kadar yang perlahan sebanyak 3.5 peratus, disebabkan kemerosotan dalam pertumbuhan produktiviti perkilangan sebanyak -7.8 peratus.

Kaji selidik oleh Persatuan Majikan-Majikan Malaysia mendapati purata gaji dalam sektor swasta meningkat 5.9 peratus pada tahun 2008 dengan eksekutif menerima kenaikan purata 6.1 peratus , manakala bukan eksekutif menerima kenaikan sebanyak 5.7 peratus.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90