Buli dan masalah komunikasi

Oleh WAHID HASHIM

"Ayah ada pelajar senior ugut nak pukul saya."
"Siapa? Biar ayah report polis."

"Takut ayah! Janganlah report polis... nanti lagi teruk saya kena belasah."

Si ayah menggaru kepala - ditelan mati ayah, dibuang mati emak, tersilap langkah mati si anak. Hendak mengadu takut anak dipukul, tidak mengadu anak mungkin dipukul tanpa pembelaan.

Bagi si ibu dan ayah, anak dihantar ke asrama bukan untuk dipukul.

Dialog di atas ialah senario biasa dalam menangani masalah buli di asrama. Menonton klip video seorang pelajar dipukul secara 'bergotong-royong' cukup memilukan. Menimbulkan perasaan geram, marah dan terkejut dengan kezaliman yang dilakukan oleh abang senior terhadap adik junior mereka.

Banyak jenis buli, banyak pula sebab dan akibatnya. Pilu hati si ibu memikirkan anak terpaksa mencuci berbaldi-baldi seluar, baju, kain, stoking, seluar dalam dan seribu satu macam keperluan seharian.

Pilu juga hati si junior yang tidak pernah pun mencuci baju sendiri semasa di rumah, terpaksa melakukan tugas paksa dalam rela begitu.

Apakah terjadi kalau anak anda enggan mematuhi arahan senior? Maka akan berlakulah kejadian mencekak baju, menujah kepala, membentes kaki, ludah meludah, menyepak, menerajang, tendang terbang ala tomoi siam atau Bruce Lee, malah menghentak kepala ke dinding konkrit ala filem Hindustan.

Malah, si junior diperlakukan seperti lembu - dipukul dengan kayu di mana-mana bahagian badan ikut suka hati.

Tindakan refleks ini adalah tindak balas spontan apabila si senior mengetahui perlakuan mereka diadukan kepada guru, warden atau ibu bapa. Panas hati dan sikap 'kewilayahan' yang melampau menyebabkan mereka tidak berfikir panjang untuk terus menutup mulut atau membalas dendam kepada si junior yang dikatakan tidak menghormati ketua tidak bertauliah itu.

Jadi, kepada siapakah si ayah, ibu, penjaga, pengadu awam atau si mangsa hendak mengadu hal atau meminta pandangan jika mengetahui kejadian buli berpotensi untuk berlaku, akan berlaku, sedang berlaku atau telah berlaku?

Di sinilah perlu difikirkan satu mekanisme yang boleh digunakan secara yang cukup serius, berhemat dan mesra pelanggan. Mungkin mekanisme Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dapat membantu menyelesaikan sebahagian masalah tersebut.

Satu nombor khas tiga angka dapat didedikasikan kepada kes buli, mungkin 111, 112, atau 222 bagi memudahkan pengingatan berbanding tujuh atau lapan angka yang sukar diingat.

Sebenarnya, SMS ialah bentuk komunikasi yang paling mudah, paling popular dan paling bersifat individualistik dan peribadi berbanding e-mel, bercakap atau mengutus surat. Sistem SMS yang lengkap perlu mendasari Pelan Pengurusan Krisis.

Melalui teks bertaip secara SMS, satu dokumen rasmi disediakan mengikut kandungan, konteks dan struktur. Bagi ibu bapa yang menghadapi suasana serba salah dengan dilema yang menimpa anak mereka, SMS boleh membantu, jika ia disalurkan kepada agensi atau kaunselor yang betul.

Seseorang ibu bapa yang bekerja mungkin tidak mempunyai masa untuk berbual atau menghabiskan masa dengan kaunselor untuk menceritakan masalah mereka.

Mungkin satu SMS pemberitahuan bahawa anak mereka berpotensi dibuli sudah memadai untuk seorang pegawai atau kaunselor mengambil peranan menyelesaikan masalah di peringkat individu, asrama sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) malah di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Tindakan berangkai boleh berlaku dengan lebih berkesan apabila semua pihak mendapat maklumat yang sama melalui penyebaran maklumat asal atau aduan oleh pengadu asal dengan sekali hantar.

Hal ini penting untuk mengelak kemungkinan berlaku manipulasi versi aduan seperti mana jika laporan ditaip atau diceritakan semula oleh pihak kedua dan ketiga.

Penyediaan satu kaedah atau saluran komunikasi bagi tujuan pengaduan, pelaporan atau hak mendapat nasihat merupakan hak pelanggan ke atas mana-mana institusi atau agensi di bawah kerajaan.

Pada masa yang sama, warga sekolah, keluarga dan komuniti perlu memainkan peranan bagi merealisasikan Polisi Sekolah Selamat.

Dengan SMS, hak seseorang warga Malaysia dapat dipraktikkan. Maklumat dapat disalurkan kepada pihak yang betul. Tindakan yang mengikut lunas undang-undang dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pihak sekolah bertanggungjawab menyediakan prasarana yang selamat dan kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Di beberapa buah sekolah, kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang, dan setiap pergerakan dan aktiviti dipantau.

Bagi program pencegahan, CCTV mungkin kurang sesuai dalam suasana di sekolah atau asrama, kecuali kalau niat pentadbiran sesebuah sekolah semata-mata untuk merekod data.

Jika hal itu berlaku, maka hak pelajar untuk bersuara atau haknya untuk dibantu tidak begitu jelas dalam pemasangan CCTV.

Sesebuah sekolah sepatutnya memastikan semua warga sekolah - guru, murid dan staf sokongan - sentiasa selamat semasa pergi dan balik sekolah, termasuk selamat semasa menjalankan aktiviti kokurikulum dan lain-lain aktiviti di luar bilik darjah. Hal ini perlu diberi perhatian kerana kejadian buli juga boleh berlaku semasa di luar asrama.

Selain itu, SMS merupakan pendekatan yang paling sesuai bagi mewujudkan sistem pelaporan bagi sebarang kes yang melibatkan isu keselamatan murid dan pelajar.

Hal ini selaras dengan tata cara pengurusan polisi sekolah selamat, yang menyebut setiap aduan hendaklah diambil perhatian serius dan terperinci.

Dengan arahan supaya semua pentadbir perlu melaporkan kejadian buli di sekolah masing-masing, maka peranan SMS semakin penting sebagai salah satu komponen dalam sistem pengurusan sekolah yang diintegrasikan.

Keluar masuk fail sulit boleh didahului dengan ringkasan melalui SMS supaya pihak berkuasa boleh memilih terlebih dahulu mana-mana dokumen yang diperlukan bagi sesuatu tujuan.

Sebagai ibu bapa, mereka jangan menggunakan SMS untuk tujuan tohmah atau menyebarkan khabar angin sahaja. Bagi guru pula mereka harus menerima SMS ibu bapa dengan serius, bukan menerimanya dengan prasangka buruk.

Setiap SMS daripada ibu bapa perlu direkod sebagai dokumen rasmi untuk rujukan jika berlaku hal yang lebih serius.

Sesungguhnya salah satu punca masalah buli ialah masalah komunikasi. Masalah komunikasi antara pelbagai pihak perlu dilaksanakan dengan cepat, pantas, berkesan dan mudah - SMS ialah cara yang mudah.

Di televisyen, selepas pukul 11 malam, kita akan melihat iklan ON SMS Cinta, ON SMS Lagu Hits, malah ON SMS Mencari Pasangan. Tidak ada satu pun On Aduan Masalah Buli Di Sekolah. Mungkin KPM boleh mempopularkan pendekatan ini selepas ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url