Hapuskan sengketa - Amanat Presiden UMNO

Pilih yang terbaik untuk parti dan diterima rakyat!

Itu pesanan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada seluruh perwakilan yang akan menunaikan tanggungjawab bagi memilih barisan kepimpinan baru parti mulai esok.

Perdana Menteri mengingatkan para perwakilan bahawa mereka perlu bertanggungjawab terhadap undi masing-masing kerana ia bukan sahaja akan menentukan barisan kepimpinan parti bahkan negara.

Beliau berharap mereka benar-benar memahami tugas yang telah diamanahkan oleh ahli parti untuk memilih pemimpin yang bukan sahaja dihormati tetapi diyakini.

“Saya juga nyatakan bahawa kepimpinan yang dipilih itu bukannya untuk disukai ahli parti sahaja tetapi kita mesti fikir juga yang UMNO ada peranan besar dalam kepimpinan kerajaan dengan menjadi pemimpin negara.

“Ini mereka kena faham betul-betul,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Menurut Perdana Menteri, perkara yang berkaitan pemilihan telah menjadi satu-satunya intipati dalam ucapannya pada taklimat terakhirnya sebagai Presiden UMNO petang ini.

Beliau memilih untuk berbuat demikian supaya fokus para perwakilan tidak akan terganggu dengan hal-hal lain memandangkan perhimpunan kali ini sangat penting kerana ia tahun pemilihan.

“Saya juga minta mereka hapuskan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa akibat yang tak diingini kerana ia akhirnya akan merugikan semua pihak dan ahli parti.

“Itu mesej pendek, kira-kira setengah jam. Antara paling pendek sebab saya mahu mereka tak ingat perkara lain lagi tapi mengingati tanggungjawab yang diamanahkan ahli UMNO,” jelasnya.

Mengenai proses peralihan kuasa, Abdullah berkata, hal itu tidak disentuhnya kerana perkara tersebut sudah diketahui dan ia adalah sesuatu yang pasti akan menyusul selepas Najib disahkan sebagai Presiden UMNO.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan usaha-usaha pihak tertentu yang mahu menggagalkan peralihan kuasa antara beliau dengan Najib juga tidak akan sesekali menghalangnya daripada menyerahkan kuasa kepada timbalannya itu.

Ditanya sama ada gesaan sesetengah pihak supaya beliau mengumumkan dengan segera tarikh peralihan kuasa telah menyebabkan beliau tersinggung, Abdullah berkata: “Buat apa nak kacau saya? Saya tahu apa patut nak dibuat. Tok sahlah ganggu saya.”

Berhubung usaha beberapa individu untuk menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO 2008 ini, beliau berkata, ia sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

“Ia tidak akan berlaku, mana boleh perhimpunan ini dihalang,” tegasnya.

Ditanya perasaannya apabila kali terakhir menyampaikan ucapan pada Majlis Taklimat Presiden, Abdullah berkata, beliau bukannya seorang yang sentimental.

“Saya gembira seperti mana sebelumnya. Saya bercakap dengan mereka, bukan ada masalah. Saya pun bukan jenis orang yang sentimental.”

“Saya tak fikir ada (rasa sedih). Saya gembira bila melihat orang UMNO gembira. Kalau mereka sedih, saya kena sedihlah (diikuti gelak kecil). Tapi tak ada hari ini,” ujarnya.

Pada perkembangan berasingan, Abdullah yang diminta mengulas mengenai penggantungan permit dua akhbar parti pembangkang berkata, tindakan tersebut dilakukan berasaskan sebab yang kuat dan wajar.

“Mesti ada sebab wajar untuk tindakan itu diambil. Jika tidak buat apa kita nak ambil tindakan itu,” katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url