Standard markah SPM semakin tinggi

Kementerian Pelajaran menolak dakwaan pihak tertentu yang mempertikaikan sistem pemarkahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan peningkatan jumlah pelajar cemerlang pada setiap tahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, peningkatan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan sistem yang diwujudkan kerana standard pemarkahan setiap tahun adalah semakin tinggi.

''Saya yakin kecemerlangan pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu bukan disebabkan oleh sistem pemarkahan, ia tidak ada kaitan langsung.

''Selain sistem pemarkahan, standard pembelajaran dalam semua subjek juga semakin mencabar, saya rasa perkara seperti ini tidak sepatutnya sengaja ditimbulkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2008 Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi YPC, Senator Datuk Wira Syed Ali AlHabshee.

Menurut Alimuddin, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan para pelajar terbabit antaranya menerusi kemudahan pembelajaran yang semakin canggih seperti penggunaan Internet.

''Pelajar sekarang mempunyai banyak pilihan dan alternatif untuk melengkapkan diri dengan ilmu selain bahan seperti buku.

''Selain itu, pengalaman dan kreativiti guru-guru dalam pengajaran juga turut menyumbang kepada kejayaan ini diikuti peranan ibu bapa dan motivasi terhadap pelajar itu sendiri,'' ujarnya.

Terdahulu, seramai 79 pelajar daripada 12 buah sekolah angkat YPC yang berjaya meraih semua A dalam setiap mata pelajaran telah menerima anugerah pada majlis itu.

Selain itu, Anugerah Khas turut disampaikan kepada seorang pelajar kurang upaya (OKU), James Low Hung Ping dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara yang berjaya mendapat keputusan 10A.

Kesemua pelajar cemerlang terbabit menerima wang tunai RM300, dua buah buku motivasi dan sijil penghargaan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url