Integriti pemulihan ekonomi
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Pembentangan Pakej Rangsangan Kedua berjumlah RM60 bilion kelmarin memberikan persepsi berbeza di kalangan masyarakat. Ada yang menyokong dan ada juga yang mempersoalkannya. Mungkin atas sebab persepsi dan perspektif berbeza maka wujudlah golongan yang menyokong dan mempersoalkannya. Tetapi rata-rata rakyat mahu negara keluar segera dari kemelut ekonomi ini.
Pakej ini bertujuan menggalakkan perkembangan aktiviti ekonomi, bukannya menguncup. Golongan sasar adalah semua rakyat. Tanpa membezakan kaum, agama, budaya, bandar dan luar bandar, kaya dan miskin, tua atau muda. Mewujudkan projek-projek dan bantuan modal, perkara yang menjadi keutamaan adalah memastikan semua ahli masyarakat bergiat aktif dalam bidang ekonomi.
Apabila semua bergiat aktif, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak, lalu menjadikan permintaan domestik meningkat. Permintaan tinggi akan merangsang aktiviti ekonomi yang bakal menguntungkan kembali setiap lapisan masyarakat.
Selain itu, penyaluran bantuan kepada golongan yang diberhentikan kerja melalui latihan dan kemahiran akan dapat meredakan kebimbangan pendapatan sebelum kesan pakej ini dapat dirasai. Apabila permintaan meningkat setelah perlaksanaan pakej dilakukan, pastinya peluang pekerjaan juga akan meningkat lalu membuatkan masyarakat keluar dari kebimbangan itu.
Pakej ini mengambil kira prestasi ekonomi domestik, bahkan fokusnya adalah untuk meningkatkan permintaan domestik. Menyedari permintaan eksport yang semakin menurun, tindakan ini adalah langkah baik bagi mengurangkan kebergantungan kepada eksport di dalam ekonomi negara.
Selain itu, pakej ini juga melibatkan soal persepsi, kerana persepsi ini penting untuk membina keyakinan terhadap perlaksanaannya. Ia perlu disambut dengan positif oleh semua masyarakat. Tanpa keyakinan, ia akan menjadikan ekonomi lebih buruk. Kesannya, defisit yang meningkat sehingga 7.6 peratus melalui pakej ini akan terus meningkat sekiranya pakej ini gagal mencapai objektif.
Ekonomi negara perlu diselamatkan. Elemen penting di dalam ekonomi adalah masyarakat. Tanpa masyarakat bersama membangunkan ekonomi, maka mana-mana pakej pun akan gagal. Persepsi yang baik secara psikologinya akan memberikan kesan yang baik.
Secara teorinya pakej ini mampu mengembalikan ekonomi negara ke arah yang positif. Begitu juga ia sangat realistik untuk dilaksanakan. Namun, perlaksanaan pakej ini memerlukan integriti yang tinggi agar ia benar-benar dirasai oleh seluruh rakyat. Pelaksana pakej ini bukannya robot atau komputer, tetapi bergantung penuh kepada tindakan manusia.
Justeru, adalah menjadi keutamaan kepada setiap pelaksana agar mempamerkan integriti yang tinggi kepada rakyat. Ketelusan dan kejujuran tanpa mengira perbezaan politik, sosial dan agama amat diperlukan agar ia sampai kepada semua rakyat. Kini rakyat mula peka kepada kebajikan dan hak mereka. Bukan sekadar itu, mereka juga mengharapkan ketelusan sesuatu pelaksanaan agar mereka berasa tidak dipermainkan.
Benar, dahulu rakyat hanya mementingkan satu projek pembangunan kepada mereka seperti jalan raya, jambatan, sekolah dan sebagainya. Namun kini jelas rakyat ingin melihat sejauh mana sesuatu pembangunan itu berlaku dengan telus dan cekap. Sejauh mana sesuatu projek itu memberi penjimatan kepada wang negara tanpa mengabaikan kualiti projek.
Ini adalah satu perkembangan yang positif bagi negara. Kesedaran itu sangat tinggi sehingga integriti itu mula menebal dan terlaksana secara tidak sedar. Mungkin bagi yang bersikap sambil lewa, mereka semakin takut untuk melakukan perkara negatif kerana ia bakal berdepan dengan masyarakat yang mempunyai kesedaran tinggi.
Elok kita mempertingkatkan usaha untuk membantu menyelamatkan ekonomi negara. Kita bimbang sekiranya ini gagal, penjajahan bentuk baru terhadap ekonomi akan menyebabkan kita akan lebih tertekan. Krisis 1997 menyelamatkan ekonomi daripada campur tangan luar. Kini tugas yang sama perlu digalas agar kita keluar daripada kemelut ini ebagaimana kita berjaya melakukannya lebih sedekad lalu.
- UTUSAN
