Wanita paling berkuasa di dunia



Senarai wanita paling berpengaruh di dunia menyaksikan kelompok wanita paling berkuasa didominasi warga AS.

Sewaktu bermulanya demokrasi yang sering dirujuk berpaksi dari Yunani Kuno di Athens pada abad kelima Sebelum Masehi, sejarah yang tidak dapat dinafikan ialah wanita diletakkan pada darjat yang paling rendah.

Jauh sekali untuk memegang tampuk pemerintahan, wanita juga dinafikan hak mereka untuk bersuara apabila tidak dibenarkan membuang undi seperti kaum lelaki.

Namun, seiring masa demokrasi menyaksikan wanita akhirnya bukan sahaja diberikan hak untuk memilih dan bertanding, tetapi kini antara golongan penting yang menggerakkan dunia.

Bahkan, golongan yang dulunya hanya layak di dapur, telah keluar daripada kepompong stereotaip itu.

Jadi bukanlah menghairankan, apabila semakin ramai wanita hari ini dilihat semakin berkuasa bukan sahaja dari sudut politik, bahkan pembuat keputusan dalam bidang ekonomi dan sosial.

Kuasa hakikatnya bukan diukur daripada sudut populariti dan glamor, tetapi bagaimana keputusan daripada individu bergelar kaum Hawa itu memberi kesan kepada orang di sekitarnya, negara dan dunia.

Merujuk kepada penyelidikan yang telah dilakukan oleh Forbes. Com, ramai kaum wanita berpotensi untuk menandingi kebijaksanaan kaum lelaki.

Lewat beberapa bulan lalu antara wanita yang dilihat muncul dan semakin berpengaruh termasuklah Hillary Clinton yang kini bergelar Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) dan Michelle Obama, wanita pertama negara Uncle Sam itu.

Malah, walaupun kedudukan Hillary hanya di tempat ke-28 sebagai wanita paling berkuasa seperti dikeluarkan Forbes, namun isteri kepada Bill Clinton itu diiktiraf sebagai wanita yang berprofil tinggi.

Dalam bidang ekonomi pula pelantikan Lynn Laverty Elsenhans sebagai Ketua Syarikat Petroleum terkemuka, Sunoco dan Gail Kelly mengetuai Australian Bank Westpac mengukuhkan kedudukan wanita dalam empayar bisnes.

Turut tidak ketinggalan membina nama sebagai wanita berkuasa dalam bidang masing-masing termasuklah Cristina Fernandez (Presiden Argentina) dan Yulia Tymoshenko (Perdana Menteri Ukraine) dalam bidang politik, selain Oprah Winfrey (pengacaraan) dan Aung San Suu Kyi (pemenang Anugerah Nobel).

Kehebatan wanita-wanita ini diiktiraf oleh pelbagai pihak daripada Forbes hinggalah Fortune.

Malah, lebih penting Angela Merkel wanita yang sentiasa murah dengan kuntuman senyuman itu bukan sahaja mengepalai takhta wanita nombor satu dunia untuk kali pertama bahkan untuk kali ketiga berturut-turut.

Canselor Jerman itu dinamakan sebagai wanita paling berkuasa untuk tiga tahun berturut-turut iaitu dari tahun 2006, 2007 dan 2008.

Senarai wanita paling berpengaruh di dunia menyaksikan kelompok wanita paling berkuasa didominasi warga AS.

Ini termasuklah Sheila C. Bair, Pengerusi Federal Deposit Insurance Corporation; Indra K. Nooyi, Pengerusi dan Ketua Eksekutif PepsiCo; Angela Braly, Ketua Eksekutif serta Presiden WellPoint AS dan Cynthia Carroll, Ketua Eksekutif Anglo American.

Sempena Hari Wanita Dunia 8 Mac lalu, Kosmo! menyorot kisah lima ikon wanita berkuasa dunia itu.

- Angela Merkel, Canselor Jerman

Nama yang layak berada di tempat pertama sebagai wanita berkuasa di dunia iaitu Canselor Jerman, Angela Merkel.

Kelayakan itu berjaya berada dalam genggamannya setelah dia diiktiraf sebagai wanita pertama memegang jawatan tersebut sekali gus telah mengalahkan Condoleezza Rice yang turut dicalonkan dalam senarai 100 Wanita Berkuasa.

Dilahirkan pada 17 Julai 1954, sejak kecil lagi Merkel mempunyai bakat yang menonjol dalam bidang fizik, matematik, dan bahasa.

Kerjayanya menjawat jawatan Menteri Wanita dan Pemuda pada tahun 1991 sehingga 1994. Selepas itu, meletakkan dirinya sebagai Menteri Alam Sekitar dan Keselamatan Reaktor Nuklear dalam kabinet Canselor Helmut Kohl.

Kemudian beliau menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung Parti Demokratik Kristian Bersepadu (CDU) kemudian disusuli sebagai ketua parti tersebut.

Beliau telah mencatatkan beberapa rekod, seperti wanita pertama yang memimpin CDU dan penganut fahaman Protestan di tengah-tengah majoriti anggota parti Katolik.

Kejayaannya lebih berkembang lagi apabila pada pilihan raya umum itu, CDU meraih 226 kerusi parlimen dan sebanyak 222 kerusi diraih oleh SPD.

Setelah memenangi undian di Bundestag (Parlimen Jerman) pada 22 November 2005, Merkel secara rasmi menjawat jawatan sebagai Canselor Jerman.

"Setiap individu yang melayakkan diri mereka di dalam arena politik bukannya meletakkan faktor kewangan di tempat teratas sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab dan bersikap rendah diri," katanya kepada laman web Woopidoo.

Daripada 614 suara, Merkel meraih 397 suara menyokong berbanding 202 suara menolak dan 12 tidak mengundi. Kemenangan tersebut, tercatat sebagai pemimpin kerajaan Jerman yang kelapan sejak berakhirnya Perang Dunia II.

Merkel menggantikan Gerhard Schroeder yang tujuh tahun berkuasa di dalam kekalahan Parti Demokratik Sosial (SPD) dan Parti Hijau (Greens).

- Sheila C. Bair, Pengerusi Federal Deposit Insurance Corporation AS (FDIC)

Kekuatan yang ada pada wanita ini tidak mampu dipertikaikan lagi apabila dia berjaya mengendalikan keruntuhan ekonomi AS beberapa tahun lalu.

Laporan dari Los Angeles Times menyatakan, Bair merupakan pegawai kerajaan yang pertama menyelesaikan masalah-masalah pinjaman bank.

"Banyak perkara yang perlu diselesaikan secepat mungkin sebelum ia terlambat," katanya kepada para pelabur pada sidang media Oktober 2007 berhubung masalah yang menimpa pembeli rumah.

- Indra K. Nooyi, Pengerusi dan Ketua Eksekutif PepsiCo

Jenama Pepsi begitu dikenali seluruh dunia sebagai pembekal minuman bikarbonat dan ia juga diletakkan sebagai tempat keempat di dunia sebagai pengeluar produk makanan.

Kehebatan wanita yang berasal dari Chennai, India itu telah mengukuhkan lagi kedudukan apabila kuasanya telah berkembang setelah Nooyi, 54, dengan rasminya memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo pada 1 Oktober 2006.

Nooyi turut dipilih sebagai Pengerusi US-India Business Council (USIBC) iaitu satu sokongan perniagaan yang bukan untuk keuntungan organisasi.

Bagaimanapun, pada tahun 2005 tercetus beberapa kontroversi dan Nooyi membuat kemaafan terbuka apabila kata-katanya telah mengguris perasaan rakyat Amerika.

Lebih membanggakan lagi nama Nooyi kini disenaraikan oleh Komuniti Rasmi Hooker sebagai salah seorang ahli berpotensi besar dalam pentadbiran Obama dalam menjawat jawatan sebagai setiausaha perdagangan.

- Angela Braly, Ketua Eksekutif dan Presiden WellPoint AS

Jawatan yang disandang oleh Braly itu membuatkan dirinya turut digeruni ketika sesi debat berhubung tahap penjagaan kesihatan.

Ibu kepada tiga orang anak itu memberitahu, dia percaya pengguna akan serius mengenai insurans kesihatan. Manakala di California WellPoint merupakan beberapa syarikat insurans utama yang menerima semua pemohon.

Semangatnya lebih membara untuk berjaya dalam bidang yang dilaluinya itu apabila salah seorang ahli politik pernah menasihati untuk sentiasa menambah ilmu di dada berhubung kerjayanya itu.

"Setiap apa yang dilakukan haruslah diusahakan dengan bersungguh-sungguh malah kamu perlu tahu objektif syarikat sekali gus ia akan mengembangkan lagi perniagaan yang dijalani," kata wanita 47 tahun itu menerusi laman web The Wall Street Journal.

- Cynthia Carroll, Ketua Eksekutif Anglo American

Walaupun usianya kini sudah mencecah 61 tahun, Ketua Eksekutif Anglo American, Cynthia Carroll tidak terlepas untuk turut disenaraikan di samping wanita-wanita berkuasa yang lain.

Dia memulakan kerjayanya sebagai pakar geologi di Amaco iaitu sebuah syarikat petroleum selama lapan tahun dan seterusnya beralih kepada syarikat Montreal bertapak di Alcan pada tahun 1988.

Dengan jawatan yang disandang di syarikat Anglo American iaitu sebuah pengeluar platinum terbesar di dunia, kini dia telah menerima pendapatan sejumlah RM4 juta sebulan.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url