Jenayah rogol kanak-kanak serius

Setiap kali menyebut tentang jenayah kanak-kanak, tentu semua masih ingat Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin dan Sharlinie Mohd. Nashar.

Ketika menatap kisah penemuan mayat Nurin Jazlin pada tahun 2007 lalu, adakah kita sedar bahawa jenayah tragis terhadap kanak-kanak itu sudah hampir dua tahun berlalu.

Begitu juga kehilangan Sharlinie yang sehingga kini belum diketahui nasibnya, walaupun pihak polis masih berusaha mengesan penjenayah yang terlibat.

Selepas pemergian Allahyarham Nurin Jazlin dan kehilangan Sharlinie, adakah masyarakat sedar bahawa jenayah seperti itu mungkin akan berulang kembali?

Penjenayah tidak akan berhenti melakukan kegiatan mereka, cuma kita sebagai orang awam yang kadangkala terlupa dengan jenayah membabitkan kanak-kanak ini kerana ia tidak mustahil akan berulang, jika tiada langkah khusus diambil segera.

Jenayah rogol membabitkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di negara ini perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan apabila seramai 55 kanak-kanak di peringkat usia itu menjadi mangsa dalam tempoh empat bulan pertama tahun lalu.

Angka itu disifatkan amat serius kerana mangsa berusia bawah enam hingga 12 tahun itu menyumbang sebanyak lima peratus daripada keseluruhan 1,060 kes rogol di seluruh negara yang dilaporkan sepanjang Januari hingga April 2008.

Penganalisis jenayah tanah air, Kamal Affandi Hashim ketika mendedahkan perkara itu berkata, angka itu tidak termasuk mangsa yang berusia antara 12 hingga 15 tahun iaitu sebanyak 531 orang sepanjang empat bulan pertama tahun lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan mangsa bawah umur 15 tahun yang menjadi mangsa rogol di kalangan kanak-kanak atau fidofilia sepanjang tempoh itu ialah 586 orang.

Menurut beliau, langkah segera perlu diambil termasuk menggubal satu undang-undang baru yang dapat menghalang pesalah laku seks yang dibebaskan dari penjara agar tidak mendekati kanak-kanak.

"Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001 perlu dipinda bagi mewajibkan pesalah yang mempunyai rekod jenayah salah laku seks supaya tidak mendekati kanak-kanak.

"Selama ini, fidofilia iaitu pesalah laku seks yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa tidak disekat sebaik sahaja keluar daripada menjalani hukuman.

"Mereka ini bebas untuk bekerja di mana-mana dan mudah mendekati mangsa seterusnya mengulangi perilaku ganas merogol mangsa kanak-kanak," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Kamal Affandi, masyarakat di negara ini begitu mudah melupakan tragedi menyayat hati yang menimpa Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin walaupun peristiwa itu pernah menggemparkan negara pada tahun 2007 lalu.

Katanya, kehilangan Sharlinie Mohd. Nashar, 5, sejak awal tahun lalu yang ketika ini masih menjadi tanda tanya semakin hilang dari ingatan rakyat selain beberapa kes membabitkan mangsa kanak-kanak antaranya, Nurul Huda Ghani, awal tahun 2004 kerana dirogol dan diliwat.

Sepuluh hari sebelumnya, mangsa rogol Harirawati Saridi, juga berusia 10 tahun ditemui mati dibunuh dengan kainnya tersingkap, di kawasan semak semasa dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

"Mereka semua ini menjadi mangsa nafsu serakah penjenayah fidofilia. Sewaktu kes Nurin heboh diperkatakan, semua rakyat Malaysia melahirkan rasa sedih dengan kehilangannya itu yang begitu tragis.

"Tetapi cuba anda namakan kepada saya satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilakukan oleh syarikat swasta berkaitan dengan pencegahan jenayah, khususnya bagi membendung jenayah rogol di kalangan fidofilia, ia tidak ada.

"Ketika Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelesaikan sejumlah 993 daripada 1,060 kes rogol yang dilaporkan iaitu kadar penyelesaian sebanyak 93.68 peratus, di sinilah perlunya peranan kita sebagai masyarakat dan agensi badan korporat untuk membantu membendung jenayah rogol di kalangan kanak-kanak ini," jelasnya.

Kata beliau, tanpa kerjasama semua pihak, usaha mencegah jenayah seksual ini tidak akan berjaya, malah apa yang dikesalkan ialah pihak swasta perlu memperbanyakkan program kesedaran termasuk ceramah dan bengkel kesedaran tentang bahaya jenayah ini di sekolah, taman perumahan dan kawasan pedalaman.

Kamal Affandi berkata, usaha ini perlu kerana ia adalah satu-satunya langkah terbaik bagi menangani jenayah rogol di kalangan pesakit fidofilia yang tidak mempunyai penawar.

Gubal undang-undang antipornografi

Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan menggubal undang-undang tertentu bagi melindungi kanak-kanak daripada kegiatan pornografi sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara itu perlu dibincangkan oleh semua pihak kerana masalah sedemikian yang melibatkan kanak-kanak semakin berleluasa.

Katanya, tambahan pula kepesatan teknologi maklumat boleh mengakibatkan ramai kanak-kanak terdedah dengan pornografi sama ada melalui Internet, video lucah atau telefon bimbit.

Tambahnya, selain itu, kebebasan dunia tanpa sempadan dan globalisasi sedikit sebanyak boleh mempengaruhi kanak-kanak yang masih mentah dan belum berfikiran matang.

"Kita mahu semua pihak memikirkan perkara ini (pornografi kanak-kanak) kerana tidak ingin masalah tersebut terus meningkat dan anak-anak kita menjadi mangsa.

"Sudah sampai masanya semua pakar undang-undang dan kekeluargaan duduk berbincang bagi mencari kaedah serta jalan terbaik mengatasinya," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau menambah, perbincangan itu juga harus merangkumi perkara-perkara berkaitan takrifan kanak-kanak, definasi pornografi dan sebagainya yang diterima di peringkat antarabangsa.

Difahamkan undang-undang mengenai pornografi kanak-kanak telah diwujudkan di beberapa negara lain seperti Australia dan New Zealand bagi melindungi golongan terbabit.

Pada masa ini, Indonesia sedang menggubal undang-undang tersebut bagaimanapun mendapat tentangan beberapa pihak yang khuatir akan menyekat kebebasan berpakaian generasi muda.

Menurut Lam Thye, bagi membendung masalah melibatkan kanak-kanak, institusi kekeluargaan harus berperanan memberi pendidikan dan pendedahan mengenai bahaya kegiatan pornografi.

Katanya, ini kerana perkara itu sedikit sebanyak menyentuh budaya dan agama rakyat di negara ini yang kaya dengan nilai-nilai ketimuran dan adat resam pelbagai kaum dan bangsa.

Punca sebenar fidofilia masih belum diketahui

Punca sebenar fidofilia masih belum diketahui walau pelbagai kajian telah dilakukan.

Bermacam-macam pandangan diberi kepada punca berlakunya fidofilia atau salah laku seks terhadap kanak-kanak ini.

Ia termasuk kajian psikologi yang mendapati pengalaman penganiayaan seks masa lampau seseorang itu yang mendorongnya menganiaya kanak-kanak lain pula setelah dirinya dewasa.

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Sapora Sipon, apa yang dimaksudkan ialah kanak-kanak yang dianiaya semasa kecil akan membesar dengan menganiaya kanakkanak lain pula.

"Kajian mendapati, profil penjenayah biasanya berkait rapat dengan pengalamannya semasa kecil. Dalam erti kata lain, penjenayah pernah menjadi mangsa jenayah.

"Bagaimanapun, mangsa fidofilia yang tidak dibantu atau dirawat dari segi mental, emosi dan fizikal akan mendorongnya untuk 'membalas dendam' terhadap orang lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Jelasnya, pesalah fidofilia memiliki emosi dan mental yang 'sakit' dan mahu mangsanya berkongsi merasai kesakitan dan penderitaan yang dialaminya.

Bagaimanapun, kata Dr. Sapora, ada juga pengkaji yang mengaitkan fidofilia dengan struktur dan fungsi otak.

"Contohnya, ahli seksologi Kanada, James Cantor, Ray Blanchard dan rakan-rakan pada 2004 mendapati lelaki fidofilia mempunyai daya kecergasan fikiran yang lebih rendah.

"Kajian mendapati, lelaki fidofilia sering mendapat markah yang rendah dalam ujian menguji ingatan. Keadaan ini berlaku akibat kecederaan di bahagian kepala semasa kecil yang menyebabkan dirinya hilang ingatan pada waktu tertentu," katanya.

Beliau berkata, selain itu, ada juga yang mengaitkannya dengan genetik, kecelaruan personaliti dan masalah penyalahgunaan dadah.

Dr. Sapora menambah, terdapat kes pelaku fidofilia merasa dirinya tidak berkemampuan untuk melakukan hubungan seks secara normal. Disebabkan itu, jalan yang terbaik bagi dirinya ialah melakukan hubungan seksual dengan kanak-kanak.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url