Pengguna hadkan panggilan telefon


Operator mudah alih di negara ini dijangka kehilangan segmen enterpris dan pengguna perniagaan mereka tahun ini apabila majikan mengurangkan tenaga kerja selain mengurangkan faedah pekerja.

Aliran yang rancak dilihat di beberapa negara rantau ini termasuk China mendapat tempias masalah ekonomi merudum mengakibatkan beberapa bajet syarikat perlu dikurangkan.


Organisasi penyelidik, IDC Asia Pasifik, mengingatkan industri telekomunikasi kini mengalami penurunan segmen perniagaan mereka berikutan langkah syarikat mengurangkan kos operasi.

Pengarah Perkhidmatan Telekomunikasinya, William Rojas, berkata kebanyakan syarikat mula mengambil langkah penjimatan dengan tidak menyediakan faedah telefon.

"Seperti yang dapat disaksikan di China, kebanyakan pekerja terpaksa membayar dulu untuk bil telefon mereka sebelum syarikat menebusnya kembali.

"Saya menjangkakan banyak syarikat akan menimbang semula kemudahan terbabit kepada pekerja mereka," jelas Rojas.

Katanya, hanya pengurus, pengurus kanan atau jurujual penting saja akan mendapat kemudahan bil telefon sementara pekerja lain tidak akan diberikan faedah sama.

"Syarikat yang pada dahulunya bersetuju untuk memberikan 100 talian kepada pekerja mereka tidak mustahil akan mengurangkannya kepada 80 talian saja selepas semakan perbelanjaan ketika ekonomi sekarang," ujar Rojas.

Selain itu, Rojas turut berpendapat syarikat akan mengurangkan jumlah panggilan mereka bagi menjimatkan kos operasi selain masalah kekurangan bisnes yang pastinya memeningkan kepala walaupun terpaksa menerima hakikat terbabit.

"Kita tidak menafikan masalah telekomunikasi ini bukan menular secara keseluruhan malah ia membabitkan pengguna di luar tapi kumpulan yang menerima lebih kesannya ialah segmen enterpris," tegasnya.

Juruanalisa tempatan menganggarkan segmen perniagaan menyumbang 10 hingga 20 peratus kepada pendapatan operator telekomunikasi di negara ini.

Rojas mengatakan, salah satu faktor mungkin mengurangkan lagi impak membuat panggilan melalui segmen enterpris ialah demam 'Blackberry' yang kian menyerap di kalangan golongan profesional, usahawan dan sebagainya.

"Pengguna dari kalangan ini yang menguasai segmen enterpris mula mendapatkan perkhidmatan peranti pintar Blackberry dengan menyertai pakej disediakan selain khidmat e-mel tolakan disediakan.

"Perkhidmatan yang memudahkan urusan komunikasi terbabit semakin digilai dan ia akan terus digunakan," kata Rojas.

Katanya, agak sukar bagi industri melepaskan peluang terbaik mendapatkan Blackberry bagi tujuan menghantar e-mel dan urusan perniagaan.

Menurut Rojas lagi, operator mudah alih perlu menawarkan pakej yang lebih inovatif selain menyediakan produk serta perkhidmatan menjimatkan kos.

"Siapa yang berjaya melakukannya mampu mengakibatkan lawan masing-masing berputih mata," katanya.

Sementara itu, IDC menjangkakan industri telekomunikasi seluruh rantau Asia (APEJ) tidak termasuk Jepun memfokuskan pelaburan dalam projek dan teknologi yang lebih strategik bagi menangani masalah cuaca mendung ekonomi dengan membawa masuk serta membina perkhidmatan inovasi tambahan.

Pengurus Penyelidikan Kumpulan Pengurusan Perkhidmatan dan Rangkaian Enterpris, IDC Asia Pasifik, Adrian Ho, berkata langkah terbabit akan meningkatkan usaha mendapatkan pendapatan tambahan serta memastikan perjalanan bisnes yang lebih kukuh dan berjalan lancar.

"Industri akan memanfaatkan semua pelaburan sedia ada dan mengurangkan perbelanjaan teknologi maklumat (IT) secara keseluruhan," katanya.

Menurut Adrian, prospek ekonomi jangka panjang di rantau ini kekal dengan janji pembangunan mampan dan selari perkembangan terbabit tidak mahu enterpris mengosongkan poket serta menukar pelaburan mereka.

"Ekonomi sebegini memperlihatkan industri telekomunikasi melabur dalam peranti mudah alih generasi seterusnya dan membangunkan prasarana protokol Internet (IP) berasaskan perkara terbabit.

"Manakala enterpris mengalih pandangan mereka menjurus ke arah teknologi yang membenarkan mereka memacu IT dan mendapatkan kos efektif dalam operasi mereka," kata Adrian.

Katanya, ia merangkumi pelbagai sumber termasuk perkakasan, perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) sehinggalah teknologi rangkaian pusat data.

IDC menjangkakan perkhidmatan telekomunikasi APEJ mencecah sehingga RM860 juta pada tahun ini mewakili peningkatan 8.9 peratus dengan rangkaian enterpris dijangka bertambah sehingga sembilan peratus dengan jumlah RM350 juta.

Jangkaan peningkatan terbabit didorong perbelanjaan industri dalam rangkaian pusat data serta migrasi kepada platform IP.

"Ketua dalam industri perlu berhati-hati dalam perancangan mereka sepanjang 2009 ini. Kita masih menjangkakan pertumbuhan dalam prasarana dan perkhidmatan," tambah Adrian.



10 jangkaan IDC mengenai industri telekomunikasi APEJ

1. Pemikiran semula strategi operator dan perancangan masa depan.

Ekonomi perlahan memberi kesan pembekal perkhidmatan telekomunikasi dari pelbagai sudut bergantung kedudukan mereka di pasaran serta kekukuhan kewangan semasa.

Analisis IDC mendapati kesan ke atas pembekal perkhidmatan telekomunikasi, Pembekal Perkakasan Rangkaian (NEP) dan pergantungan teknologi mempengaruhi pasaran kewangan kredit mereka.

Ketika ekonomi merudum, pengguna dijangka lebih berhati-hati ketika menandatangani perkhidmatan baru mereka sementara industri kecil sederhana (SME) dan enterpris besar akan mengehadkan perbelanjaan dalam perkhidmatan jalur lebar serta prasarana rangkaian.

Selain itu, ia turut dipengaruhi faktor muflis di kalangan SME dan enterpris serta pemberhentian pekerja di sektor masing-masing.

2. Peningkatan kerjasama maya.

Perbelanjaan terhad untuk kos perjalanan perniagaan dan pembekuan bajet dalam menambah pekerja memberi kesan kepada proses keseluruhan perniagaan yang mengakibatkan hubungan bisnes berkurangan.

Situasi ini memaksa enterpris bergantung kepada teknologi untuk menambah hubungan perniagaan melalui komunikasi bersepadu (unified communication) seperti disaksikan melalui kajian dijalankan oleh Kajian IDC Mengenai Komunikasi Bersepadu dan Enterpris x.0 pada tahun lalu.

3. Teknologi maya dan pengurusan pusat data generasi masa depan lebih optimum.

Kebanyakan enterpris mengatakan pengurusan pusat data dan perjalanan operasinya mengganggu kos dan menambah bajet IT mereka terutama ketika keadaan ekonomi merosot.

Pengurus IT bakal menghadapi cabaran untuk mengimbangi keperluan kos operasi tapi pada masa sama mahu memberikan prestasi ke atas aplikasi syarikat.

IDC percaya organisasi yang sudah biasa dengan perkakasan pelayan dan storan maya akan mula beralih kepada sistem rangkaian untuk menjimatkan kos memandangkan sistem rangkaian lebih maju dalam pusat data maya.

4. Trafik rangkaian lebih sibuk dan kebangkitan Sel 'Femto'.

Dunia kini menuju zaman sambungan 'di mana saja, pada bila-bila masa' dengan pengguna bergantung kepada gajet mudah alih untuk melakukan aktiviti harian.

Operator yang menyedari aliran ini akan cuba menawarkan perkhidmatan terbaik mereka bagi menarik perhatian pengguna dengan memperbaharui liputan jalur lebar.

Jika operator terbabit memiliki lesen untuk talian tetap dan perkhidmatan mudah alih selain sumber kewangan kukuh bagi membangunkan prasarana mereka, Sel Femto adalah penyelesaian bagi tujuan terbabit.

Femto adalah sel radio berkuasa rendah menghubungkannya melalui akses jalur lebar residen sedia ada kepada perkhidmatan rangkaian yang lebih baik.

5. Konfigurasi semula stesen berasaskan radio (Radio Berdasarkan Perisian).

Salah satu cabaran syarikat telekomunikasi adalah melebarkan perkhidmatan mereka dengan menguruskan pelbagai perkakasan stesen dasar (BTS) yang membangkitkan kos tidak efisyen.

Adaptasi Radio Berdasarkan Perisian (SDR) iaitu modul perisian membekalkan syarikat telekomunikasi ini teknologi lebih fleksibel yang membantu menguruskan BTS dengan lebih mudah.

6. Jalur lebar alternatif untuk perniagaan kecil: WiMAX dan HSPA

Kebanyakan perniagaan kecil masih bergantung kepada rangkaian 3G menggunakan kemudahan Keupayaan Akses Berkelajuan Tinggi (HSPA) yang dikatakan lebih murah berbanding akses jalur lebar talian tetap.

Walaupun peranan WiMAX mula mencuri perhatian namun teknologi terbabit akan diperhatikan terlebih dulu sehingga kawasan liputannya ditambah.

7. Memindahkan tulang belakang tanpa wayar ke IP.

Operator mudah alih moden keadaan yang memaksa mereka menggunakan perkakasan Rangkaian Generasi Masa Depan (NGN) yang menawarkan lebar jalur lebih fleksibel termasuk memindahkan operasi tulang belakang perkhidmatan itu kepada sistem IP.

8. Pembaharuan Pusat Operasi Rangkaian (NOC).

Tidak dinafikan, setiap operator mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka maklumat diperoleh melalui pusat data mereka.

Oleh itu, peranan NOC akan diperkemas bagi memperoleh data tepat bagi membolehkan syarikat telekomunikasi memberikan pengalaman telekomunikasi lebih baik kepada pelanggan.

9. Pembaharuan SaaS.

Konsep yang dipopularkan Salesforces.com ini membantu telekomunikasi dalam beberapa isu termasuk keselamatan data dan keupayaan lebar jalur untuk aplikasi enterpris.

10. Permulaan Reconfigurable Optical Add-Drop Multiplexer (ROADM).

Permintaan tinggi yang datang kawasan perumahan dan sektor perniagaan memaksa operator mencari lebar jalur lebih tinggi terutama ketika televisyen definisi tinggi (HDTV) serta video-atas-permintaan (VOD) semakin mendapat perhatian.

Permintaan tinggi mungkin mengundang mimpi ngeri kepada pengurusan rangkaian yang memerlukan penyelesaian seperti ROADM bagi membantu menangani masalah itu.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url