Top Ad 728x90

,

Penting UMNO kembali 'dirakyatkan'

Oleh AZMAN ANUAR

Sejauh mana UMNO mengambil iktibar yang betul daripada mesej yang disampaikan oleh orang Melayu? Bagaimana formula pembaharuan yang diucapkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri kelmarin dapat diterjemahkan pada pilihan raya akan datang khususnya Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak pada 7 April ini.

Kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, Allah telah menurunkan 'hero Melayu baru'. Ucapannya datang dari lubuk hati dan adalah suara UMNO yang sebenar serta mewakili aspirasi majoriti Melayu.

"UMNO perlu perubahan drastik dan holistik. Beliau tegas dalam hal ini. Beliau jelas dengan kaedah pembaharuan UMNO iaitu melalui perkaderan," kata Saifudin.

Bagi Datuk Hashim Suboh pula, bakal Presiden UMNO itu bersikap amat realistik dalam melakarkan hala tuju dan transformasi perjuangan UMNO dengan mengakui kelemahan-kelemahan UMNO. Beliau juga dapat menghidu kelemahan UMNO di semua peringkat yang kerap kali menjadi asas kepada penilaian rakyat terhadap parti selama ini.

Sudah tentu UMNO tidak boleh saban masa menagih sokongan rakyat semata-mata dengan membangkitkan jasa-jasa parti di dalam proses pembinaan negara bangsa Malaysia. UMNO sebaliknya perlu sentiasa ke depan dalam menampilkan agenda-agenda baru supaya ia sentiasa segar, relevan dan seiring dengan tuntutan zaman.

Menurut Hashim, masalah besar UMNO adalah kerana parti ini terlalu lama menjadi parti pemerintah dan parti kerajaan. Tempoh masa ini telah memerangkap pemimpin dan ahli UMNO dalam zon selesa sebagai 'kerajaan'. Akhirnya kedudukan UMNO dikelirukan dengan tanggapan UMNO itu kerajaan dan sebaliknya.

"Akibatnya parti tidak kelihatan berfungsi sepanjang masa kerana wujud tanggapan bahawa apa jua yang dibuat oleh kerajaan adalah juga merupakan aktiviti atau program parti," kata Ketua Penerangan UMNO Perlis itu.

Tidak hairanlah setiap kali pilihan raya, UMNO tidak turun sebagai sebuah parti tetapi menyerahkan sebahagian besar tanggungjawab kepada jabatan seperti Kemas, Jabatan Penerangan dan sebagainya.

Kegagalan meletakkan garis pemisah di antara parti pemerintah dan kerajaan pula telah menyuburkan sindrom membisu yang cukup ketara dalam memperjuangkan isu-isu rakyat.

"Barangkali kerana tidak mahu berbeza pandangan dengan kerajaan, UMNO tidak lagi bercakap tentang isu rakyat di peringkat akar umbi sekali gus membuka ruang yang luas kepada pembangkang untuk muncul dalam menjuarai isu-isu rakyat," jelasnya.

Dengan pendekatan demikian maka terpancarlah imej bahawa pemimpin pembangkang itu lebih berani, komited dan dekat dengan rakyat walaupun hakikatnya yang saban masa bekerja keras adalah pemimpin-pemimpin UMNO.

Desakan Najib supaya pemimpin UMNO lebih memberikan perhatian kepada perkhidmatan dan berdampingan dengan rakyat sememangnya bertepatan dengan hasrat rakyat di peringkat akar umbi.

Hashim yang juga Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia mengajak para pemimpin di semua peringkat mengikis 'Sindrom Jentuai Padi' yang hanya muncul ketika musim pemilihan serta ketika pilihan raya umum hampir tiba.

"Justeru, amatlah penting untuk UMNO kembali 'dirakyatkan.' Agenda merakyatkan UMNO menjadi begitu penting kerana pemimpin-pemimpin parti dikatakan sombong, angkuh dan tidak mesra rakyat," kata beliau.

Pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang tebal dengan imej 'orang besar' sering tidak pandai menyesuaikan diri dengan rakyat kerana biasanya mereka hanya hadir ke majlis rasmi yang sarat dengan formaliti dan mengganggu interaksi pemimpin dengan rakyat.

"Lihat sahajalah betapa di setiap pilihan raya kecil, Pak-Pak Menteri hanya turun untuk berucap dan merasmikan program sedangkan pada masa yang sama pemimpin pembangkang tanpa perlu menjanjikan apa-apa sentiasa berada bersama pengundi untuk mendengar masalah dan rintihan rakyat.

"UMNO sebagai parti pemerintah perlu kembali memberikan tumpuan kepada agenda untuk memperkasakan rakyat di peringkat akar umbi. Bajet dan projek-projek ekonomi yang wajib diutamakan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO mestilah sentiasa mengutamakan projek yang berimpak dan berskala besar serta bersifat people centric.

"Alangkah besarnya harapan rakyat untuk melihat gagasan-gagasan besar yang melahirkan Felda, Felcra, Tabung Haji, PNB, ASN dan sebagainya dapat diketengahkan di sebalik keghairahan untuk mengetengahkan projekprojek bertaraf dunia yang jauh daripada mendekati keperluan sebenar rakyat," kata Hashim.

Beliau berpendapat, rakyat akan lebih menghargai UMNO sekiranya peruntukan berbilion ringgit untuk Value Cap diberikan sebagai dana untuk menampung kerugian petani dan pekebun kecil yang terjejas akibat penurunan harga getah dan kelapa sawit.

Bagi menjayakan agenda transformasi perjuangan ini, sudah tentu UMNO perlu memiliki barisan kepimpinan yang bukan sahaja berwawasan besar tetapi lebih penting, mereka yang sentiasa bersama dengan rakyat.

"Tiada guna kita memiliki pemimpin yang hanya berwawasan besar tetapi amat tipis perkhidmatan dan pendampingannya dengan rakyat," jelas Hashim lagi.

Pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO perlu lebih agresif dan kembali ke alam "Pemuda tahan lasak dan kumpulan pendesak" kerana inilah yang sebenarnya menjadi imaginasi anak-anak muda apabila mereka terlibat dengan politik.

"Pemimpin generasi baru UMNO juga tidak boleh terus tenggelam dengan imej korporat dan keghairahan yang melampau untuk memburu gelaran 'Datuk' yang sebenarnya hanya mewujudkan jurang antara mereka dengan anak-anak muda yang mahu dipujuk untuk menyertai UMNO itu," kata beliau.

Menurut Hashim, gaya dan pendekatan elitis tidak lagi boleh menjadikan UMNO hebat kerana akhirnya yang akan menentukan kejayaan parti adalah pengundi muda dan rakyat yang sudah jengkil dan muak melihat pemimpin-pemimpin muda UMNO yang ranggi itu.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90