RazakSAT pemantau garisan khatulistiwa


RAZAKSAT, pastinya satelit ini tidak asing lagi dikalangan rakyat Malaysia. Ia dibangunkan untuk menghasilkan imej beresolusi tinggi dari angkasa kepada Malaysia dalam usaha meningkatkan keupayaan negara menguasai teknologi angkasa.

Dilengkapi sistem muatan imej beresolusi tinggi yang dibangunkan khusus untuk kegunaan satelit kecil seberat 180 kilogram, ia amat bersesuaian dengan misi pemantauan keadaan bentuk muka bumi sepanjang laluan orbitnya di garisan Khatulistiwa.

Kamera Aperture Bersaiz Sederhana (MAC) yang menjadi muatannya mampu memberikan imej 2.5 meter (m) resolusi bagi hitam-putih (pankromatik) dan 5.0m resolusi untuk imej berwarna (multi-spektral). Saiznya hampir menepati kejelasan sebesar lori kontena dengan jarak penglihatan dari angkasa.

Imej ini sekali gus dapat digunakan bagi pengurusan tanah, pemantauan galian dan penyimpanan, perhutanan, pemantauan teluk dan perairan, pertanian dan juga bidang lain yang akan memberikan faedah kepada negara.

Uniknya, RazakSAT mempunyai platform terbaik bagi satelit bersaiz kecil, antaranya pengesan kedudukan ketinggian, sistem “Onboard Computer Data Handling” dan sistem kuasa elektrik yang dibangunkan dengan kepakaran jurutera Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB).

Orbitnya yang hampir pada garisan Khatulistiwa adalah lintasan terbaik dengan kecondongan sembilan darjah kerana berupaya memberikan peluang imbasan sebanyak enam kali dengan imej terbaik serta liputan pada kekerapan yang tinggi untuk Malaysia dan negara di sepanjang garisan Khatulistiwa.

Selepas dilancar dari pelancar Falcon-1 milik SpaceX, satelit berkenaan akan memasuki Fasa Pelancaran dan Operasi Awalan RazakSAT (LEOP) iaitu fasa pengurusan satelit untuk diteliti dan dikaji bagi operasi nominalnya atau operasi mengekalkan RazakSAT dalam orbit.

Ia termasuk aktiviti memastikan satelit beroperasi sepenuhnya seperti hubungan pertama dengan satelit bumi, satelit “commissioning” dan analisis imbasan pertama bagi memastikannya menepati piawaian operasi satelit yang ditetapkan.

Aktiviti ini dilaksanakan pakar misi tempatan yang dianggotai jurutera ATSB untuk berkomunikasi dan mengawal RazakSAT 24 jam setiap setiap hari dari bilik operasi yang terletak di Pusat Angkasa Negara (PAN), Sungai Lang, Banting, Selangor.

Operasinya disokong tiga kumpulan yang setiap satunya diwakili enam pakar dan diketuai Penyelia Misi Operasi bagi merancang Operasi Pelancaran, lanjutan misi turutan, mengeluarkan arahan dan sebagai pengurusan kumpulan kerja.

Kumpulan ini meliputi Operator Tenaga Elektrik Subsistem bagi pengawasan kuasa dan komunikasi subsistem, Operator Muatan mengawasi Kamera MAC dan hasil imej serta imbasan akan diproses Operator Sistem Penerima Imej manakala Operator Stesen Bumi mengawal sistem antena.

Pelbagai persiapan rapi menjelang pelancarannya pada 21 atau 22 April 2009, kini sedang giat dilaksanakan seperti memastikan penyambungan mekanikal dan elektrikal satelit RazakSAT sepadan dengan Falcon 1, pemeriksaan pemasangan sambungan 'Lightband' iaitu alat pemisah semasa pelancaran serta pemantauan persediaan tapak pelancar di Omelek Island, Republik Kepulauan Marshall Islands, Lautan Pasifik.

Kempen pelancaran satelit RazakSAT yang bermula minggu depan akan mengambil masa selama sebulan dengan fasa pertamanya adalah misi penghantaran satelit RazakSAT serta peralatan sokongan mekanikal dan elektrikal.

Melalui kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), satelit berkenaan akan diangkut menggunakan pesawat penerbangan C-130 diiringi enam kakitangan ATSB dari Subang ke Bucholz Army Airfield, Kwajalein Island sebelum dihantar terus ke Omelek Island menggunakan barge.

Sewaktu di Omelek Island, seramai lapan jurutera ATSB akan melakukan pemasangan teknikal dan pengujian akhir sebelum ia dilancarkan, khususnya membabitkan aktiviti pemasangan RazakSAT® ke Falcon 1 dengan kerjasama SpaceX.

- BERITA HARIAN
www.bharian.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url