Top Ad 728x90

, ,

Teks ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Perhimpunan Agung UMNO 2008

TEKS ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-59 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Alhamdulillah, diangkatkan pujian setinggi-tingginya ke hadrat Allah SWT, kerana dengan rahmat-Nya juga, Perhimpunan Agung UMNO kali ke-59 dapat berlangsung. UMNO insya-Allah akan mencapai usia 63 tahun pada bulan Mei 2009. Jika Allah juga terus meminjamkan usia kepada Abdullah Ahmad Badawi, insya-Allah saya juga akan mencapai usia 70 tahun pada 26 November nanti.

Ketika UMNO ditubuhkan saya adalah seorang anak di sekolah rendah. Keluarga saya, terutama nenda saya, Haji Abdullah Fahim (Allahyarham), ayahanda saya Haji Ahmad Badawi (Allahyarham) dan bonda saya Hajah Khailan binti Hassan (Allahyarhamah) dan ramai lagi ahli keluarga saya terlibat aktif dalam gerakan menubuhkan UMNO.

Saya berpeluang menyaksikan pelbagai pertemuan dan rundingan diadakan, meskipun ketika itu, biji butir perkara yang dibincangkan kurang saya fahami. Begitu banyak sekali pertemuan dan perjumpaan diadakan di rumah nenda saya dan juga di Madrasah Daeratul Maarif al-Wataniah, Kepala Batas.

Saya mewarisi darah daging, barisan pelopor UMNO. Saya berpeluang terdedah dengan perjuangan UMNO sejak dari usia begitu muda, lalu jiwa saya ini diselimutkan dengan ketebalan semangat perjuangan UMNO. Selanjutnya saya memilih menyertai UMNO kerana yakin dengan gagasan suci dan matlamat murni perjuangannya.

Semangat kental yang tertanam di jiwa saya, menghindarkan saya daripada bersifat derhaka kepada UMNO. Menjauhkan saya dari bersifat gunting dalam lipatan kepada UMNO. UMNO tidak pernah saya hina. UMNO tidak pernah saya cerca; jauh sekali daripada meninggalkannya meskipun saya tidak sepi melalui pengalaman pahit, pernah dihina oleh segelintir ahli-ahli UMNO. Bahawa ujian kesetiaan adalah ketika kita menghadapi dugaan, ketika kita melalui era yang payah dan laluan yang susah, ketika kita tidak berjawatan, ketika kita tiada kedudukan.

Saya menyaksikan perjuangan nenda saya, perjuangan ayahanda saya, penglibatan dan pengorbanan bonda saya, serta perjuangan, penglibatan dan pengorbanan barisan seangkatan dengan mereka. Saya menyaksikan ribuan pejuang yang membina ribuan saf perjuangan di dalam UMNO.

Sepanjang penyaksian tersebut, saya dapati kekuatan UMNO itu didukung dan dijulang oleh wira-wira yang tidak bernama dan tidak berjawatan. Mereka yang tulus – mereka yang ikhlas dalam perjuangan. Mereka yang tidak pernah berpeluang sampai ke Dewan Merdeka ini. Mereka yang tidak pernah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Majlis Tertinggi parti.

Mereka yang tidak pernah meminta malah sebaliknya senantiasa memberi. Mereka yang tidak melihat UMNO sebagai saluran untuk memenuhi kepentingan diri dan keuntungan peribadi. Merekalah yang mendukung dan menyokong perjuangan suci. Perjuangan murni UMNO.

Mereka adalah wira-wira bangsa yang yakin akan ketulusan, keikhlasan, kesungguhan dan ketegasan UMNO membela nasib bangsa. Memperjuangkan kemerdekaan tanah air, mengimarahkan Islam, mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta memastikan martabat bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu. Itulah mereka, wira-wira pejuang UMNO. Merekalah yang terus menyalakan obor perjuangan UMNO, obor perjuangan bangsa.

UMNO telah saya kenali sejak berusia tujuh tahun sehingga saya menjadi seorang muda dan seorang dewasa. UMNO telah saya hayati dan saya pilih sebagai organisasi politik untuk saya sertai dengan sumpah setia, kekal taat kepada perjuangannya; kerana saya kekal dan cekal yakin bahawa UMNO adalah wadah perjuangan yang diasaskan dengan niat suci dan matlamat murni.

UMNO itu berpohonkan perjuangan yang murni, berakarkan perjuangan yang suci. Walau apa pun persepsi dan pendapat pelbagai pihak terhadap UMNO pada hari ini, tidak siapa dapat menafikan bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 1946, UMNO telah menabur jasa yang bukan sedikit terhadap negara dan warga Malaysia di pelbagai bidang, merangkumi agama Islam dan ketamadunan bangsa, politik dan keamanan, sosial dan ekonomi. Itulah UMNO parti kesayangan kita.

Dalam 63 tahun usianya, UMNO telah berjaya. UMNO telah berjasa menyatupadukan bangsa, menyalakan semangat nasionalisme Melayu. Mengimarahkan Islam, mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, menjalin persefahaman dan kerjasama antara kaum, merundingkan dan akhirnya mencapai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan mengembangkannya menjadi Persekutuan Malaysia.

Memelihara keamanan dan ketenteraman negara, menjayakan pembangunan sosial dan ekonomi negara, memakmurkan Malaysia, mewujudkan kelas menengah Melayu, membasmi kemiskinan, merintis pelbagai bentuk kerjasama dalam kalangan negara ASEAN dan memainkan peranan aktif dalam usaha mewujudkan persefahaman dan kesetiakawanan dalam kalangan negara-negara Islam di seluruh dunia.

Untuk sekian lama, jasa dan kejayaan UMNO itu, disedari dan diakui oleh warga di negara ini dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Untuk itu, setiap kali diadakan pilihan raya, sebahagian besar warga, tetap dan terus memberi kepercayaan kepada UMNO, begitu juga kepada parti-parti rakan dalam Barisan Nasional. Di peringkat antarabangsa, kisahkisah kejayaan kita sering dirujuk, dijadikan contoh, dijadikan teladan.

Dalam tempoh 50 tahun lalu, Malaysia telah berjaya berhijrah daripada antara negara termiskin di dunia kepada negara yang diiktiraf sebagai negara yang mencapai taraf pembangunan insan yang tinggi oleh UNDP.

Tenaga kerja asing turut melihat Malaysia sebagai (dengan izin) land of opportunity, tanah bertuah di mana peluang dan rezeki melimpah ruah.

Namun kita juga wajib menyedari bahawa kisah-kisah ceria tentang kejayaan, cerita kegemilangan UMNO, sejak akhir-akhir ini mulai muram. Keputusan pilihan raya umum ke-12 adalah satu peringatan cukup besar. Hari ini, apa yang UMNO lakukan mula dilihat tidak lagi betul. Apa yang UMNO perkatakan tidak lagi dianggap benar.

Malah UMNO, juga Barisan Nasional dijadikan tempat meletakkan kesalahan atau dipersalahkan. Dilabel sebagai punca kepada apa juga kepincangan dan kekecohan, serta sebagai pencetus kepada perbuatan salah moral dan salah laku meskipun berlaku di kalangan anggota parti-parti politik yang menentang UMNO.

Begitu mudah hidup menjadi anggota di dalam pakatan pembangkang. Bagaikan mempunyai lesen besar, bebas melakukan apa juga perbuatan. Bebas menggunakan lidah secara celupar, kerana setiap yang buruk dilonggokkan kesalahannya di atas bahu UMNO untuk memikul bebannya. Saya tidak mengatakan bahawa kesemua ahli UMNO adalah sejernih air di kolam syurga. Saya juga tidak riak untuk mendakwa bahawa setiap ahli UMNO adalah sebersih kain putih dan tidak mempunyai kelemahan.

Namun ahli UMNO juga bukan kotak sampah untuk dilemparkan segala fitnah yang berpunca daripada perbuatan tidak betul dan salah laku orang lain. Tidak munasabah bahawa ahli-ahli dan penyokong parti-parti politik yang menentang kita terdiri daripada orang-orang yang bersih daripada dosa, bebas daripada kesilapan. Tidak mungkin kesemua mereka berjiwa wali bersifat malaikat.

Namun UMNO kini menghadapi ujian kredibiliti yang cukup berat. Mengapakah kita dipersalahkan sampai ke tahap seburuk ini? Mengapakah kita dinilai bagaikan tidak langsung mempunyai kebaikan lagi? Kita menghadapi keadaan terhakis kepercayaan ini disebabkan antaranya oleh beberapa faktor dalaman:

Pertama: Setelah selesa kerana lama berada di tampuk kuasa, sebahagian pemimpin UMNO tidak seakrab dahulu dengan rakyat jelata yang selama hari ini menjadi akar kekuatan UMNO.

Kedua: Tumpuan yang kurang seimbang kepada masyarakat luar bandar dalam keghairahan dan hasrat untuk mencapai status negara maju di peringkat global.

Ketiga: Program-program politik UMNO yang kurang berkesan mendampingi generasi muda, selain daripada apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan.

Keempat: Perbalahan berpanjangan sesama sendiri terutama ketika berebut jawatan di dalam parti telah meruntuhkan semangat kekeluargaan di kalangan ahli.

Kelima: Sifat mengutamakan kebendaan hingga menjadikan sebahagian ahli bersifat tamak, bersifat haloba, lalu memberikan persepsi negatif bahawa UMNO adalah parti yang korup.

Faktor-faktor dalaman tersebut telah memberikan modal besar kepada musuh-musuh UMNO untuk memburukkan UMNO. Ditambah pula dengan sikap dan gelagat watak-watak Melayu tertentu yang mengangkat bola tanggung sehingga memberi ruang seluas-luasnya untuk orang-orang Melayu dan Bumiputera boleh dilibas atau dicerca sewenang-wenangnya.

Akhirnya susulan daripada gerakan tersusun menyerang dan mencalarkan UMNO secara berterusan, minda warga berjaya diracun. Hingga sampai ke tahap warga pada hari ini, tanpa penilaian rasional dan objektif begitu mudah mempercayai dan menerima setiap fitnah yang dilemparkan kepada UMNO.

Sesungguhnya kita wajib mengambil iktibar dari loceng amaran yang berdering kuat, yang menuntut kita untuk bertanya “apa yang tersilap?” atau “kenapa dan bagaimana kita tersilap?” Jawapan spontan saya terhadap persoalan tersebut ialah “Kita telah gagal mengurus kejayaan kita sendiri”. Bahawa, kita terlalu mabuk dilambung ombak kejayaan. Bahawa kita menjadi leka kerana diulit gurindam kejayaan. Bahawa kita merasakan diri kita sudah menjadi terlalu kuat. Bahawa kita lebih mementingkan kedudukan kita di dalam UMNO daripada memikirkan kedudukan UMNO di kalangan warga dan di dalam negara.

Keadaan ini memerlukan kita bermuhasabah. Melihat ke dalam diri, meninjau kembali sumber kekuatan kita selama ini dan memeriksa kelemahan dan kesilapan kita sejak akhir-akhir ini.

Dalam hubungan ini, eloklah kita mengimbas kembali sumber-sumber kekuatan UMNO sejak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946. Secara ringkas sumber-sumber kekuatan UMNO itu boleh kita rumuskan seperti berikut:

Pertama: Kepekaan UMNO memahami dan menangani masalah dan aspirasi bangsa Melayu.

Kedua: Keupayaan dan kejayaan UMNO menjalin kerjasama antara kaum serta keterbukaan UMNO mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka di negara ini.

Ketiga: Keupayaan UMNO menyelaraskan unsur-unsur tuntutan yang bercanggah.

Keempat: Keupayaan UMNO menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan sosial dan politik.

Kelima: Keupayaan UMNO menyerap tenaga-tenaga sosial dan politik yang baru muncul.

Keenam: Keupayaan UMNO mencari keseimbangan antara yang lama dengan yang baru, antara tradisi dan moderniti, antara lokal dan global. Pada pandangan saya, inilah kekuatan yang ada pada UMNO yang menjadikan parti ini kuat dan terus ada sehingga hari ini. Kita mesti menjadikan UMNO lebih kuat kerana apabila kita kuat, kita akan terus maju.

Bermula dengan slogan “Hidup Melayu”, berpindah kepada “Merdeka”, beralih kepada “Pembangunan” berkisar kepada “Perpaduan” melonjak untuk “Mencapai status negara maju” diperkukuhkan dengan “Misi Nasional”. Begitulah dinamiknya UMNO menyesuaikan perjuangan dengan tuntutan waktu, mengorientasikan haluan dengan peredaran masa.

Keistimewaan luar biasa kita yang menjadi tunjang kekuatan UMNO adalah kejayaan merintis dan mewujudkan formula kerjasama antara kaum yang benar-benar bermakna. Bermula dengan kerjasama UMNO-MCA, diikuti dengan MIC untuk menubuhkan Perikatan yang kemudiannya dikembangkan menjadi Barisan Nasional. Percubaan mewujudkan kerjasama antara kaum seperti yang diolah oleh UMNO turut cuba dilaksanakan melalui Independence of Malaysia Parti (IMP) tetapi gagal. Kemudiannya usaha Parti Negara juga menghadapi kegagalan; diusahakan oleh Malaysian Convention Party, turut menemui kegagalan. Demikian juga kegagalan usaha percantuman Parti Rakyat dan Parti Buruh dengan nama Front Sosialis.

Hari ini peniruan formula kerjasama hak cipta kejayaan UMNO atau salinan foto yang paling hampir adalah usaha yang sedang ditiru oleh pakatan pembangkang, yang masih dalam suasana berbulan madu. Tetapi jiran-jiran memberitahu, sudah pun terdengar bibit-bibit perselisihan.

Bolehlah disimpulkan bahawa rahsia kekuatan dan kejayaan UMNO selama ini adalah kepekaan terhadap perubahan zaman dan kepekaan melakukan adaptasi kepada tuntutan tenaga-tenaga sosial yang baru. Setiap satunya dihadapi dan ditangani oleh UMNO dengan sikap sederhana, melakukan perubahan tanpa melupakan kesinambungan.

Ini telah mewujudkan satu keadaan perseimbangan dinamik yang sekali gus mewujudkan suasana stabil lagi aman, membolehkan negara dan warga berkembang maju. Rahsia kejayaan inilah yang telah dijadikan sasaran serangan bertubi-tubi oleh pihak lawan. Rahsia kejayaan ini yang perlu kita gilap dan kita perbaharui; juga kita perlu bina dimensi baru lalu kita manfaatkan dengan penuh bijaksana.

Jika terlajak ke hilir berkayuh perahu,

Kembalilah kita mudik ke hulu.

Jika terbuntu di hujung jalan,

Kembalilah kita ke pangkal jalan.

Bahawa sebagai insan yang berpegang kepada kalimah tauhid, berpegang kepada Rukun Islam dan Rukun Iman, maka sewajarnyalah kita menghadapi setiap berita gembira, begitu juga ketika menghadapi setiap peristiwa hiba dengan penuh keredaan, dan mentafsirkannya sebagai satu ujian Ilahi untuk memberikan peringatan kepada umat-Nya agar mengambil pengajaran dan mencari kebenaran.

Bahawa terkandung di dalam kitab suci al-Quran, begitu banyak ayat yang mengandungi peringatan Ilahi kepada manusia untuk dijadikan pedoman.

Ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan mengapa mereka tidak melihat bahawa Allah meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga yang menyempitkannya. Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang membuktikan kekuasaan Allah bagi orang yang beriman.” Surah Ar-Ruum ayat 37.

UMNO itu lahir daripada gabungan badan-badan sukarela bukan kerajaan, (dengan izin, UMNO graduated from the NGOs). UMNO kuat, ketika UMNO mengekalkan hubungan akrab dengan masyarakat. Pemimpin UMNO dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa berdamping dan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

UMNO telah berjaya menggabungkan dan merangkaikan hubungan antara umat di desa dengan di kota. Antara petani dan nelayan, pekerja dan pegawai atasan, rakyat jelata dan kumpulan aristokrat. Dalam satu persaudaraan, mendukung satu perjuangan dengan mengutamakan kepentingan rakyat. UMNO yang satu masa dahulu dipimpin oleh ramai guru Melayu diakui benar-benar mewakili rakyat dan menjadi pemimpin rakyat dalam erti kata sebenar.

Hari ini kita bersyukur, hari ini kita berbangga kerana UMNO telah dipimpin dan diwakili oleh lebih ramai barisan profesional, oleh para teknokrat dan oleh tokoh korporat. Yang diperlukan adalah menghidupkan semangat berkhidmat, semangat mendampingi rakyat sebagai pelengkap kepada kelulusan profesional yang telah berjaya dimiliki, supaya UMNO terus seiring dengan kehendak dan aspirasi rakyat; supaya UMNO benar-benar memahami denyut hati dan denyut nadi rakyat; supaya ahli-ahli UMNO benar-benar memanifestasikan moto “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”.

Kita juga perlu mendalami formula yang telah diguna pakai buat sekian lamanya yang membolehkan kita berkongsi kuasa dengan jayanya mengurus negara bersama rakanrakan di dalam Barisan Nasional.

Kebelakangan ini, orang Melayu mula terasa terancam dengan apa yang dianggap sebagai permintaan melampau dan tidak munasabah dari orang-orang bukan Melayu yang mempelopori semangat “Malaysian-Malaysia” yang begitu lantang dijaguhkan oleh pakatan pembangkang.

Ada di kalangan pemimpin pakatan pembangkang yang secara tidak bersopan lagi biadab mempersendakan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Secara terbuka menghina orang Melayu, dan secara biadap mencerca pertubuhan Melayu dengan kata-kata paling kesat.

Pada masa yang sama, orang bukan Melayu, termasuk di kalangan rakan-rakan dalam Barisan Nasional terasa terpanggil untuk bersuara dengan lebih lantang. Lantaran merasakan diri mereka seakan dipinggirkan dan disisihkan kerana berlakunya kegelinciran pelaksanaan dasar-dasar tertentu kerajaan.

Kelihatan kedua-dua pihak bersuara dengan nada kebimbangan. Kedua-dua pihak mencerminkan terdapat perasaan syak wasangka.

Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan, pastinya akan menghakis semangat kerjasama dan meruntuhkan jambatan perpaduan yang telah berjaya kita bina selama lebih 50 tahun lalu. Prinsip asas yang menjadi tunjang kekuatan kerjasama kita, tidak boleh sama sekali kita izin untuk dilemahkan.

Kita harus dengan hati terbuka, secara ikhlas mencari kembali teras prinsip kerjasama serta gagasan persefahaman yang menjadi asas perpaduan warga, demi menyediakan masa hadapan negara yang aman, stabil dan makmur kepada generasi muka.

Masa hadapan negara tidak boleh digadaikan kepada kumpulan yang licik memasang pukat di pergentingan; menangguk di air keruh, golongan oportunis yang mendapat sokongan kerana kejayaan mereka mencetuskan kebencian warga kepada kita.

Saya ingin menyatakan UMNO menghargai semua sahabat dalam Barisan Nasional. Kita tidak pernah membelakangkan mereka.

Selepas lima bulan saya dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, ketika saya berdiri di pentas ini, pada 17 Jun 1999, untuk pertama kalinya saya diamanah menyampaikan ucapan perasmian di Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, saya telah memetik firman Allah yang terkandung dalam ayat 68 dari Surah Al-Qasas:

“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu daripada makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); Tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain daripada Allah), Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaannya daripada apa yang mereka sekutukannya.”

Demikianlah kuasa Allah SWT menentukan segala sesuatu hingga memungkinkan saya mendapat kepercayaan memimpin UMNO dan memimpin negara di peringkat tertinggi. Saya merupakan insan terakhir bagi generasi saya yang masih berkhidmat sebagai anggota Jemaah Menteri. Saya telah mengambil ketetapan memilih mengundur diri selepas Perhimpunan Agung ini dan pimpinan negara juga akan beralih kepada generasi selepas saya.

Ketika saya memilih menyertai UMNO 45 tahun lalu, saya mempunyai satu niat dan satu tekad, untuk menawarkan perkhidmatan kepada parti yang telah begitu berjasa kepada bangsa dan kepada negara saya. Saya melihat UMNO sebagai sebuah parti yang mendokong perjuangan yang suci serta memiliki idealisme yang murni.

Ketika mendaftar diri menjadi ahli UMNO, saya tidak terfikir untuk mendapat faedah kebendaan, tidak juga mengharapkan sebarang imbuhan. Semangat sedemikian bukan hanya terdapat pada diri saya, malah ia adalah satu norma di kalangan ribuan ahli yang seangkatan dengan saya yang menyertai UMNO ketika itu.

Kami semua bertekad untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan bangsa dan berkhidmat untuk negara Malaysia tercinta ini.

Ketika merasmikan perhimpunan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO pada tahun 1999, tajuk Meneruskan Perjuangan – Memartabatkan Bangsa telah saya jadikan tema ucapan sulung saya itu.

Hari ini generasi seangkatan dengan saya bukan sahaja sudah semakin kecil bilangannya, tetapi yang lebih membimbangkan semangat yang dimiliki oleh generasi seangkatan dengan saya, ketara semakin tipis di kalangan generasi semasa.

Semakin ramai yang menyertai UMNO bukan kerana apa yang dapat mereka sumbangkan kepada UMNO tetapi lebih mirip kepada apa yang bakal mereka harap untuk memperolehinya. Mereka mengharapkan jawatan, mereka mengharapkan projek.

Mereka mengharapkan gelaran dan mereka mengharapkan kepuasan duniawi. Semangat berkorban, semangat berjuang, semangat berkhidmat untuk bangsa dan negara semakin tipis dan semakin lemah.

Sedarilah! Di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika UMNO, dan jika Barisan Nasional tidak berubah, maka Pilihan Raya Ke-12 pada 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada Barisan Nasional menubuhkan kerajaan. Selepas ini, rakyat di luar Dewan ini, tidak akan mengundi kita lagi. Di peringkat negeri, Barisan Nasional turut menghadapi cabaran yang sama.

Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa “UMNO wajib melakukan perubahan”. Apa yang saya ingin dengar, adalah suara yang menyatakan “Aku akan berubah” lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri. Betapa malangnya UMNO jika ramai yang gagal memahami bahawa UMNO itu adalah kita, selagi kita tidak berubah, UMNO tidak mungkin dapat berubah.

UMNO kini berada di persimpangan jalan. Laluan yang kita pilih akan menentukan sama ada kita kekal relevan sepanjang masa atau akan hanya menjadi satu sejarah masa lalu. Ada juga yang masih berpendirian bahawa kita tidak perlu melakukan perubahan.

Mereka mempercayai bahawa UMNO akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama, kepada order lama, dengan menyekat kebebasan warga, dengan menghalang warga daripada menyuarakan kritikan. Mereka berpandangan bahawa UMNO itu boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu dan memenuhi tuntutantuntutan kumpulan tertentu.

Masih terdapat di kalangan kita yang lebih tertarik dengan cerita-cerita yang menyeronokkan hingga kita menjadi leka, lena dalam ulitan mimpi yang bahagia.

Jika laluan lama itu yang dipilih, saya berpandangan bahawa kita telah memilih laluan yang salah; laluan yang membawa kita ke belakang. Saya bimbang laluan tersebut akan lebih mempercepatkan berakhirnya talian hayat UMNO.

Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti UMNO yang kita kasihi ini.

Jika kita terus bertanding begitu hebat, bermati-matian untuk merebut jawatan, tetapi apakah ertinya jawatan tersebut kepada UMNO yang telah tinggal rangka yang terbujur di kuburan.

Barang dijauhkan Allah, UMNO ditimpa nasib hiba yang sedemikian. Atas kesedaran tersebut, atas rasa cinta kepada UMNO, atas rasa tanggungjawab terhadap UMNO dan bangsa Melayu, saya memilih untuk menunjukkan teladan, dengan tidak mempertahankan jawatan Presiden parti.

Ia bertujuan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda walaupun masih terdapat ramai daripada ahli-ahli parti dan rakanrakan baik di dalam ataupun di luar kerajaan meminta saya untuk terus mempertahankan jawatan.

Saya menghargai keputusan rakan-rakan yang turut memilih langkah yang sama. Baik di peringkat bahagian mahupun cawangan. Baik di peringkat Pemuda, Wanita dan Puteri. Bahawa jawatan dan kedudukan bukannya milik peribadi; sedangkan harta milik peribadi juga tidak akan dapat dibawa sampai ke mati.

Untuk terus relevan, UMNO perlu berusaha mencantumkan kekuatan lama yang kita telah hilang dengan elemen baru yang harus kita terokai. Kekuatan lama yang telah hilang adalah semangat asal dan komitmen asal kita kepada perjuangan bangsa dan perjuangan parti.

Hidupkanlah kembali semangat berkorban, semangat dedikasi, semangat kesederhanaan, semangat berkhidmat, semangat kemanusiaan dan pamerkanlah integriti yang tinggi lagi dihormati.

Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul, yang merasakan diri kita sahaja yang pandai. Jauhilah amalan rasuah, imbangkan perhatian di kalangan warga keseluruhannya baik yang Melayu dan bukan Melayu, demikian juga kepada ahli-ahli parti baik yang menyokong kita atau saingan kita.

Di peringkat kerajaan, saya telah berusaha memperkenalkan beberapa mekanisme dalam hasrat memperkukuhkan instrumen pentadbiran yang lebih telus, cekap, adil dan berintegriti, di samping dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Usaha-usaha mengembalikan integriti kehakiman telah dilaksanakan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah ditubuhkan, Institut Integriti Nasional diwujudkan, PEMUDAH telah diperkenalkan, dalam usaha berterusan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan modal insan diutamakan dan Islam dibangunkan secara progresif melalui pendekatan Islam Hadhari.

Menyedari sumber baru kekayaan negara perlu diterokai dan agihan peluang ekonomi berkualiti secara lebih seimbang dan saksama dapat dilaksanakan, program pembangunan ekonomi secara wilayah telah diperkenalkan.

Di peringkat UMNO, mungkin telah tiba masanya untuk parti diperkukuhkan dengan memperkenalkan peraturan dan tata cara yang membolehkan parti diurus tadbir dengan cara yang lebih berdisiplin dan terkawal.

Mungkin parti memerlukan mekanisme yang lebih memberikan kesaksamaan kepada ahli dan menggugurkan amalan-amalan yang tidak memberikan keadilan kepada majoriti ahli terutama di kalangan mereka yang tidak mempunyai jawatan dan tidak mempunyai kekayaan material.

Mungkin masanya telah sampai untuk UMNO juga meletakkan syarat tempoh maksimum memegang jawatan di dalam parti.

Mungkin UMNO juga wajar memberikan hak memilih ketua terutama bagi jawatan-jawatan utama di dalam parti kepada semua ahli untuk mengatasi amalan politik wang.

UMNO tidak harus lari daripada tanggungjawab membela nasib bangsa Melayu dan Bumiputera. Namun UMNO, jangan sekali-kali mengamalkan fahaman ekstremis kaum, ekstremis agama.

UMNO jangan sekali-kali mengamalkan diskriminasi hingga dianggap bersifat rasis kepada warga Malaysia yang bukan Melayu.

Hak semua warga negara hendaklah senantiasa diberikan jaminan dan dihormati, dilindungi dan dipelihara selaras dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara. Ketaatsetiaan setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum harus dihargai dalam semangat perkongsian kuasa dan setia kawan.

Bahawa kita telah pun lama dahulu bersetuju menyuburkan semangat yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Berusahalah! Berusahalah! Berusahalah! mencari titik pertemuan sesama kita, menyemarakkan nilai persamaan. Jauhilah! Jauhilah! Jauhilah! daripada mengungkit perbezaan dan membesarkan kelainan.

Saya amat menghargai peranan warga Malaysia membantu menjamin keamanan negara dan berusaha memakmurkan negara. Selama hampir 52 tahun kita merdeka, kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan kita cekal bersatu menghadapi setiap cabaran hingga menjadikan negara kita sebagai negara merdeka yang berdaulat dan makmur.

Negara kini sedang menghadapi ancaman ekonomi yang paling menakutkan sejak kita mencapai kemerdekaan. Dunia sedang dilanda kemelut ekonomi yang amat dahsyat dan kerajaan sedang menghadapi tanggungjawab sangat berat untuk meringankan rakyat daripada menghadapi kesusahan.

Selama lima tahun setengah menjadi Perdana Menteri, saya amat yakin akan potensi dan kekuatan yang kita miliki. Begitu juga rahmat yang telah dilimpahkan oleh Ilahi kepada negara ini. Kita mempunyai modal insan muda yang berpotensi besar untuk kita bangunkan menjadi produktif.

Kita mempunyai daya tahan. Kita memiliki daya kekuatan untuk menghadapi cabaran kegawatan ekonomi dunia yang sedang melanda asalkan kita terus bersatu dan memberi fokus menghadapi ancaman ekonomi ini.

Kita harus mengurangkan berpolitik, kita harus menghapuskan budaya suka bercakaran sesama sendiri. Sebaliknya kita perlu tekun bekerja, menjadi lebih produktif dan menggabungkan kekuatan.

Sama-samalah kita insafi bahawa persoalan yang UMNO hadapi kini ialah persoalan hidup mati, persoalan masa depan dan survival parti. Ia amat bergantung kepada sikap setiap ahli dan peranan barisan kepimpinan yang akan terus memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara.

Ahli-ahli UMNO dan barisan kepimpinan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan sama ada perkembangan di hari muka berupaya terus mencerminkan kebanggaan tradisi kita.

Setiap daripada kita sememangnya sedar bahawa pucuk kepimpinan UMNO menentukan pucuk kepimpinan tanah air tercinta. Inilah keistimewaan serta beban tanggung jawab parti keramat kita, dengan izin Allah SWT. Setiap daripada kita sememangnya arif tentang ciri-ciri serta sifat-sifat mulia seperti “siddiq, amanah, tabligh dan fatanah” yang wajib dipegang oleh para pemimpin kita.

Ingatlah! Bahawa undi seorang insan yang beriman dan bertakwa tidak boleh dijual beli. Semoga pemilihan barisan kepimpinan parti pada kali ini berjalan dengan lancar dan mencerminkan aspirasi mereka yang kita wakili.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” Surah As-Saff Ayat 2 dan 3.

Tanggungjawab saya sebagai Presiden parti akan berakhir pada penghujung perhimpunan ini. Seterusnya tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri kepada warga dan negara yang saya cintai ini juga akan berakhir.

Saya mengucapkan terima kasih atas dedikasi, pengorbanan, sokongan dan bantuan yang telah diberikan kepada saya oleh kawankawan yang telah sama-sama bekerja bersama saya sepanjang tempoh lebih 45 tahun saya diberikan peluang untuk berkhidmat dengan kerajaan.

Bermula dari seorang pegawai awam dan kemudiannya memberanikan diri mengambil tanggungjawab politik, sejak tahun 1978. Saya menghargai sokongan Datuk Seri Najib kepada saya atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri. Membawa ingatan nostalgia saya kepada bimbingan dan kepercayaan yang pernah diberikan kepada saya oleh ayahandanya, Tun Abdul Razak (Allahyarham) sejak 1969 apabila saya bertugas di urus setia Mageran.

Saya berterima kasih kepada Tun Hussein Onn (Allahyarham) kerana memberi peluang kepada saya untuk menjadi calon di kawasan Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan memberi jawatan kepada saya di dalam kerajaan.

Saya berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir kerana melantik saya menganggotai Jemaah Menteri, melantik saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya memberikan laluan kepada saya menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri. Terima kasih Tun.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-Ketua Perhubungan Negeri demikian juga Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan UMNO dan seluruh ahli-ahli UMNO di seluruh negara.

Saya amat percaya, saya menyerahkan tanggungjawab negara kepada nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudikan bahtera negara. Saya menyeru supaya beliau diberikan sokongan yang padu untuk membolehkan beliau membawa negara ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.

Saya sendiri berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Presiden UMNO yang baru, kepada Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Berasaskan pengalaman, sebagai Presiden parti dan sebagai Perdana Menteri, tugas dan amanah ini amatlah berat. Adakalanya keputusan yang dibuat boleh mencetuskan kontroversi. Ada keputusan yang tidak mendapat persetujuan 100 peratus.

Tanggungjawab utama seorang pemimpin adalah untuk menentukan sesuatu yang terbaik untuk warga, untuk negara meskipun ada keputusan yang tidak akan disenangi. Namun pemimpin itu perlu diberikan keyakinan dan kestabilan minda supaya terus bersikap rasional, bersifat objektif.

Jika kita tidak memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya, jika kita pula memilih untuk menyerang dan mempersendakan peribadinya, kita sebenarnya bertanggungjawab melemahkan parti kita.

Kita juga bertanggungjawab menjatuhkan pemimpin UMNO di kerusi Perdana Menteri. Kita sebenarnya menghakis sistem yang telah kita bina. Sistem yang telah memberi kekuatan kepada kita selama ini.

Betapa beratnya amanah yang wajib dipikul oleh Perdana Menteri negara ini, memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin parti, pemimpin bangsa, pemimpin negara. Di bahu beliaulah harapan semua, tanggungjawab menentu nasib kita bersama.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya mengakui bahawa saya tidak sepi daripada melakukan kesilapan. Saya juga mungkin tidak dapat memenuhi semua perkara yang pernah saya janjikan.

Walau apa pun kesilapan, walau apa pun kekurangan saya yang telah berlaku, adalah menjadi tekad saya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warga dan negara ini.

Apa juga usaha yang dilakukan untuk mengekalkan kejayaan yang telah dicapai oleh pemimpin terdahulu, di samping merintis usaha-usaha baru untuk meningkatkan kejayaan lebih gemilang, dapat saya laksanakan kerana adanya sokongan yang diberikan oleh saudara-saudari, sokongan daripada rakan-rakan pimpinan parti di dalam UMNO dan di dalam Barisan Nasional, daripada rakan-rakan pentadbiran dan kakitangan pentadbiran dan daripada setiap warga Malaysia termasuk rakyat biasa baik di desa mahupun di bandar. Siapalah saya ini tanpa sokongan semua.

Bahawa kesempurnaan itu hanyalah sifat milik Ilahi. Segala kekurangan adalah kelemahan saya sendiri sebagai insan yang tidak sempurna.

Saya memohon maaf atas kelemahan saya itu. Apa yang saya terus usahakan adalah amalan keikhlasan dan kejujuran.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah mengangkat saya berada di kedudukan semulia ini. Pada usia selanjutnya, saya memohon kepada Ilahi semoga mata hati saya senantiasa menemui kejernihan.

Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat, memberikan petunjuk kepada parti dan pimpinan parti, begitu juga kepada warga dan negara Malaysia. Barang dijauhkan Allah daripada kita dilanda bencana dan malapetaka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula diangkat-Nya naik.

Sebaliknya, orang yang merancang kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) akan beroleh azab yang berat. Rancangan jahat mereka akan rosak binasa.” Surah Al-Fatir ayat 10.

Semoga pimpinan dan masa hadapan UMNO, begitu juga warga dan negara Malaysia terus berada di tangan mereka yang berjiwa ikhlas. Barang dijauhkan UMNO dan negara daripada jatuh ke tangan orang-orang yang akan membawa kerosakan. Semoga usaha kita mendapat keredaan Ilahi.

Bersatu! Bersetia! Berkhidmat.

Hidup Melayu! Hidup Melayu!

Hidup Melayu!

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90