Wanita bukan milik lelaki
Rata-rata keganasan yang berlaku ke atas wanita adalah disebabkan oleh salah anggap hak lelaki terhadap isteri dan anak-anak. Mereka beranggapan apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak, golongan ini adalah miliknya 100 peratus.
Sedangkan suami dan bapa itu hanyalah sebagai pemegang amanah untuk menjaga dan memelihara dengan sebaik mungkin isteri dan anak. Ini kerana mereka saling lengkap-melengkapi dalam membina kehidupan sekeluarga.
Apabila konsep itu disalah anggap, maka lelaki menggunakan kuasa dan cuba mengawal atau mendominasikan pasangan dengan cara mengongkong, mencedera serta menganiayai wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara.
Perunding Prinsipal K&A Applied Psychology Consultancy, Khairol Anuar Masuan berkata, keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak kesemuanya berpunca daripada lelaki.
Lelaki gagal dalam tanggungjawabnya sebagai pelindung dan penyubur cinta dan sayang antara pasangan dan keluarga.
"Mereka masih menganggap wanita adalah miliknya yang boleh diperlakukan sesuka hatinya apabila telah berkahwin. Ini sebenarnya tidak benar. Apabila berkahwin, si suami mempunyai tanggungjawab untuk menjaga si isteri dengan sebaik mungkin tanpa mencederakannya.
Mesti berani bertindak
"Dalam membincangkan mengenai keganasan rumah tangga, ia bukan hanya berlaku dalam budaya kita, tetapi merata dunia dan pelbagai budaya, cuma yang menjadi masalah ialah sama ada diketahui iaitu dilaporkan atau sebaliknya.
"Ini kerana mangsa keganasan menganggap penderaan oleh pasangan masing- masing sebagai masalah peribadi dan patut diselesaikan dalam keluarga sendiri.
"Ditambah pula pandangan dan nasihat pihak luaran seperti jiran, pihak berkuasa dan ketua kampung yang menyatakan bahawa keganasan itu adalah disebabkan oleh kegagalan kemahiran isteri dalam menguruskan rumahtangga sedangkan ia boleh disabitkan kesalahan mengikut Akta Keganasan Rumahtangga 1994.
"Inilah yang berlaku sekarang mengapa banyak kes tidak dilaporkan kerana wanita tidak terdedah kepada haknya di sisi undang-undang.
"Wanita harus sedar, keganasan rumah tangga tidak sepatutnya berlaku dan mereka mesti berani bertindak dengan melaporkan kepada pihak berkuasa,'' katanya ketika ditemui di Batang Kali, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Khairol, terdapat dua faktor yang menyebabkan wanita tidak melaporkan kepada pihak berkuasa walaupun tahu haknya dalam perundangan.
Pertama, keadaan mengalah pasrah di mana isteri diugut sekiranya melaporkan kes penderaan pada dirinya sehingga mengalami tekanan dan kemurungan yang mendalam.
Dalam kes ini mangsa berasa ketakutan dan tidak mampu berbuat apa- apa, hidup dalam perhubungan yang menyeksakan, bahkan mangsa akan merasa kaku akibat perasaan takut akan berlaku lagi keganasan.
Ditambah pula survival ekonomi yang bergantung kepada suami, boleh atau tidak terpaksa mengharunginya.
Kedua, budaya dalam kebanyakan masyarakat Asia bahawa isteri mesti mentaati suami serta sikap terlalu menyayangi suami, tidak memungkinkan mereka melaporkan keganasan tersebut.
Sedangkan dalam agama Islam khususnya, membenarkan isteri memfailkan permohonan tuntutan cerai taklik dan fasakh terhadap suaminya. Sekiranya suami lazim menyakiti isterinya menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya, isteri tersebut boleh mendapatkan perintah pembubaran perkahwinan di mahkamah.
"Kini penderaan bukan sahaja sekadar merangkumi penderaan dari segi fizikal seperti memukul, menampar atau membaling sesuatu dengan niat mencederakan tetapi juga dari segi emosi, seksual dan ekonomi.
"Malah, yang terbaru ialah keganasan digital iaitu pencerobohan ruang peribadi membabitkan penyebaran gambar dan video lucah menerusi telefon bimbit.
"Kini, ramai pasangan yang membuat rakaman perlakuan seksual bagi tujuan kononnya untuk kenang-kenangan dan pengikat cinta, namun sebaliknya mempunyai niat buruk dalam mempertahankan atau menganiaya hubungan dengan pasangan.
"Apabila berlaku konflik atau keganasan dalam hubungan, maka rakaman ini menjadi senjata bagi memastikan keganasan tidak diketahui atau dilaporkan. Jika dilaporkan, rakaman itu akan didedahkan kepada umum dan mangsanya ialah wanita.
"Situasi ini adalah sama seperti yang berlaku dalam keganasan bersifat fizikal, jika melaporkan yang malu ialah wanita, begitu juga keganasan digital, situasinya sama,'' jelas Khairol sempena Hari Wanita Antarabangsa 2009 yang disambut semalam.
Kata bekas pensyarah psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, tema Hari Wanita Antarabangsa 2009 iaitu Wanita dan Lelaki Bersama Menentang Keganasan Keatas Wanita dan Kanak-kanak adalah bertepatan dengan situasi sekarang di mana peningkatan kes-kes keganasan rumah tangga dan kanak-kanak bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia.
Gabungan lelaki dan wanita bagi menentang keganasan ini pasti memberi impak yang terbaik ditambah pula dengan sokongan daripada media, pengendali perkahwinan, kaunselor, guru-guru bagi memberi kesedaran dua golongan ini juga adalah manusia biasa yang memerlukan kasih sayang dan bukannya mangsa kepada penderaan akibat panas baran atau cemburu buta lelaki.
Menurut Khairol, selalunya lelaki yang memukul, mendera atau melakukan keganasan ini mempunyai sifat yang romantik, terlalu penyayang, yang suka memujuk, sentiasa mengingati hari-hari yang penting, cemburu dan mengongkong pergerakan wanita.
Bersifat bermuka-muka
"Selalunya wanita menyukai lelaki sebegini semasa bercinta. Namun apabila telah berkahwin dan dia beranggapan pasangannya haknya, maka perwatakan itu akan berubah serta merta.
"Golongan ini akan menggunakan kelemahan wanita yang senang dipujuk, dirayu dan dibeli dengan pemberian serta bersifat bermuka-muka dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya lagi.
"Sedangkan ia akan berulang lagi kerana dalam fikiran, mereka mempunyai hak untuk bertindak demikian atau berfikir bahawa perasaan mereka lebih utama daripada wanita.
"Jika dilihat dalam personaliti dengan rakan-rakannya di luar, ciri-ciri keganasan pada seseorang lelaki itu tidak nampak, mereka cool, mesra dan menampilkan seorang lelaki yang mempunyai wawasan dan bertanggungjawab.
"Namun wanita perlu berhati-hati dengan lelaki sebegini kerana mereka sebenarnya mempunyai dua perwatakan yang berbeza,'' katanya.
Selain itu, kata Khairol, dalam keganasan rumah tangga, anak-anak turut menerima kesan kepada apa dilakukan oleh bapa mereka.
"Melihatkan perlakuan yang dilakukan oleh bapa ke atas ibu mereka, anak-anak ini turut menjadi mangsa. Jika tidak didera secara fizikal, jiwa mereka mengalami pergolakan tekanan.
"Anak-anak akan lebih mudah menjadi sugul atau berasa kurang berupaya, menyisihkan diri atau menjadi agresif seperti membuli kanak-kanak lain serta mengalami kepayahan untuk mempercayai orang lain.
"Apabila dewasa kelak, kanak-kanak ini turut akan menjadi pemukul atau pendera seperti yang dilakukan oleh bapanya.
"Inilah yang ditakuti oleh kita semua, budaya ini akan diwarisi selama-lamanya dan masalah keganasan ini semakin sukar dibendung,'' katanya.
Pemilik syarikat perunding dan motivasi ini memberitahu, terdapat tiga keganasan terhadap kanak-kanak iaitu fizikal, mental dan seksual.
Kesannya amat menyedihkan sekiranya si ibu tidak dapat membantu dalam keganasan ini kerana mengalah pasrah.
Ibu takutkan suaminya yang akan turut membuat perkara yang sama ke atas dirinya juga atau ugutan yang boleh mencederakan dirinya.
Justeru penderaan ini akan berlanjutan sehinggalah ketakutan itu dapat ditepis dan laporan dibuat.
"Kes penderaan ke atas kanak-kanak adalah sama seperti mendera isteri kerana kedua-duanya tanggungjawab suami dan bukan miliknya,'' ujarnya.
- UTUSAN