12 MT UMNO pantau 12 anggota Kabinet

Pagi Jumaat, 11 April 2008, dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia, Muhyiddin Yassin bercakap panjang lebar mengenai 'masa untuk perubahan'. Bertempat di kediamannya di Jalan Setia Bakti, Kuala Lumpur, beliau yang ketika itu sebagai Naib Presiden UMNO bercakap secara terbuka apa yang terbuku di hatinya ekoran kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2004.

''Kamu tulislah apa yang saya katakan, biar orang yang baca tahu apa pandangan sebenar saya,'' kata Muhyiddin kepada penulis . Namun, ada yang boleh ditulis dan ada juga yang terpaksa 'disimpan' sekalipun khabarnya ada yang 'terluka dan terasa hati' apabila membaca wawancara yang disiarkan pada Ahad, 13 April 2008.

Menyelak kembali wawancara itu, antara soalan yang ditanya ialah: Tan Sri dilihat salah seorang yang layak untuk ditonjolkan di peringkat lebih tinggi.

Jawab Muhyiddin: Saya tidak fikir soal itu, itu terserah kepada ahli-ahli parti. Kalau mereka fikir saya boleh berperanan, saya akan jalankan tanggungjawab itu untuk menyumbang kepada parti di mana juga peringkat tetapi saya tidak minta. Sekarang ini kedudukan saya adalah Naib Presiden, saya bersuara lebih daripada pihak-pihak yang lain, saya tidak kisah. Kadang-kadang ada orang kata saya lebih banyak bersuara daripada Najib, bercakap lebih daripada Pak Lah, tetapi kalau mereka tidak bercakap saya bercakap.

''Saya tidak boleh tutup mulut, justeru soal hendak pegang jawatan bukanlah terlalu penting. Namun kalau ditakdirkan oleh Allah saya diberi amanah untuk memegang jawatan lebih tinggi, saya sanggup apa sahaja. Ini bukanlah beban yang selesa. Dalam kedudukan saya, saya tahu apa yang boleh saya buat iaitu bersuara. Kalau dalam agama, ini adalah iman yang paling lemah. Agama kata, bertindak itu dan ini tetapi kalau kamu tidak boleh berbuat apa-apa, kamu bersuaralah. Itu yang saya lakukan, terserahlah kepada ahli-ahli memikirkannya.''

Tujuan penulis menyelak kembali antara isi kandungan wawancara itu adalah bagi mengingatkan semula antara episod yang menunjukkan keazaman Muhyiddin untuk melihat perubahan dan supaya UMNO tidak hilang kuasa politik. Bagi Muhyiddin masa terlalu suntuk.

Kini genap setahun luahan Muhyiddin. Dan secara kebetulan pula, pagi Jumaat, 10 April 2009, Muhyiddin disahkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Memang Jumaat membawa barakah kepada Muhyiddin. Maka bermulalah satu tanggungjawab baru, beban baru yang seperti kata Muhyiddin setahun yang lalu bahawa ini bukannya satu beban yang selesa.

Ahli-ahli UMNO sudah memberi kepercayaan kepada pasukan baru dan di bahu mereka terletak amanah dan tanggungjawab berat. Tidak terkecuali Muhyiddin.

Sudah tentu banyak cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi dalam melayari bahtera zaman yang nakhodanya ialah Najib Tun Razak. Malahan dalam usia Kabinet rakyat yang baru berusia empat hari, banyak komen atau perbahasan mengenainya dilontarkan. Ada yang manis dan ada yang masam-masam manis. Di kalangan orang politik (bukan yang dilantik), ada yang tumpang gembira dan ada yang berduka. Gembira ada dua. Pertama kerana meraikan pelantikan orang pilihannya dan kedua musuh berjaya digugurkan. Mereka yang berduka juga ada dua. Pertama tentulah kerana tidak dilantik dan kedua apabila melihat orang yang dianggapnya 'tidak layak' diberi tempat. Maka kedengaranlah pelbagai label diberikan terhadap Kabinet itu.

Sememangnya perasaan tidak puas hati sudah menjadi lumrah manusia. Bukan mudah untuk memuaskan 'nafsu' orang politik. Lebih-lebih lagi yang menjadi penyokong. Mereka pula yang terlebih-lebih memainkan peranan melahirkan rasa tidak puas hati. Jika diri sendiri 'tidak merungut dan pasrah' tetapi di kalangan penyokong pula tidak berpuas hati. Ada yang gugur, ada yang tidak dilantik dan ada pula yang tidak naik pangkat - di takuk lama sebagai timbalan menteri. Tetapi pelantikan dan pengguguran adalah hak Perdana Menteri. Beliau sudah tentu mempunyai perkiraan sendiri setelah melihat pelbagai aspek. Ingatlah bukan kelompok atau negeri tertentu yang hendak dimenangkan tetapi Barisan Nasional (BN) seluruh negara.

Tidak ada guna membahaskan perkara yang sudah berlaku. Tetapi sedikit sebanyak perbahasan dan komen yang diberikan ada asasnya. Ini termasuklah ahli MT yang menang tetapi tidak dilantik sebaliknya memberi ruang kepada yang kalah atau yang dilantik sebagai Senator. Tidak dinafikan, seorang dua yang mempunyai kepakaran tertentu perlu dilantik sebagai Senator bagi menggambarkan penyertaan rakyat. Sepintas lalu, Kabinet ini menyaksikan daripada 25 anggota MT (tidak termasuk naib-naib presiden), hanya enam yang dilantik sebagai menteri penuh, seorang daripadanya dinaikkan pangkat. Dua ahli MT yang sebelum ini memegang jawatan menteri terpaksa digugurkan. Di kalangan timbalan menteri pula, enam dilantik iaitu tiga muka baru dan tiga muka lama.

Ini bermakna dalam MT ada 12 anggota yang tidak mempunyai jawatan dalam Kabinet (selepas ditolak Ketua Menteri Sabah, Musa Aman yang menjadi pemimpin negeri tunggal dipilih sebagai anggota MT). Ia juga tidak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Perkara ini - anggota MT tidak dilantik - bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi apabila melibatkan pelantikan Senator, mungkin itulah yang menimbulkan persoalan sama ada yang menang tidak layak? Tetapi mungkin inilah yang dikatakan yang menang tidak akan mengambil semuanya dan yang kalah pula tidak akan hilang segala-galanya. Terimalah hakikat.

Tetapi menarik untuk direnungkan ialah keputusan Shahrir Samad meletak jawatan lebih awal selepas gagal dipilih untuk menduduki salah satu jawatan ahli MT. Beliau yang tidak mahu 'digugurkan' bertindak lebih awal meletak jawatan kerana katanya: ''Bagi saya apabila tidak dipilih dalam MT UMNO, ia seolah-olah saya tidak menunjukkan prestasi cemerlang dalam barisan Kabinet kerajaan." Mengenali Shahrir, mungkin juga beliau ada alasan lain untuk berbuat demikian.

Mungkin ahli-ahli MT serta penyokong mereka yang tidak dilantik boleh mententeramkan hati masing-masing dengan azam untuk menjadi pemantau kepada menteri-menteri UMNO di dalam MT. Dua belas ahli MT yang tidak dilantik boleh menjadi pengawas kepada 12 menteri dan timbalan menteri (tidak termasuk tiga naib presiden dan Ketua Wanita UMNO dan Ketua Puteri). Beranilah bersuara seperti yang dilakukan Muhyiddin sebelum ini demi kebaikan UMNO dan umat Melayu. Mungkin pendekatan ini kaedah terbaik supaya ahli-ahli MT lebih berani dan tidak 'terikat' untuk membuat teguran serta menyelak prestasi menteri-menteri berkenaan semasa mesyuarat MT.

Kepada Kabinet rakyat, biar apa pun pandangan orang, khidmat anda dipantau. Selamat menjalankan amanah yang diberikan di bawah gandingan 'bagus dan mantap' - Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin. Menyelak semula kepimpinan negara yang lalu, sejarah gandingan anak Pahang dan Johor kini berulang kembali!

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url