E-filing LHDN: Baki dikembali dalam sebulan

Oleh NORILA DAUD

Tiada siapa yang terlepas daripada tanggungjawab membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk pemimpin negara dan pembuat dasar kerajaan.

Sesetengah orang berpendapat, para pemimpin negara seperti menteri dan wakil rakyat dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan berikutan khidmat mereka untuk rakyat dan negara.

Bagaimanapun andaian itu tidak benar seperti yang disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Hasmah Abdullah. Ini bermakna, semua penduduk yang memperoleh pendapatan yang menepati jumlah dikenakan cukai, perlu membayar cukai pendapatan.

Menurut beliau, hasil cukai pendapatan yang dikutip oleh LHDN seterusnya akan diberikan kepada Kementerian Kewangan yang kemudiannya menyalurkan peruntukan kepada kementerian-kementerian lain mengikut permohonan yang diluluskan oleh kerajaan.

"Pihak kami hanya diamanahkan untuk mengutip cukai pendapatan daripada rakyat dan tidak terlibat dengan rancangan kerajaan untuk projek-projek pembangunan negara," jelasnya.

Mengenai sistem pembayaran cukai menggunakan sistem e-filing yang semakin popular di kalangan generasi muda dan golongan pesara, Hasmah memberitahu, banyak kemudahan yang diperoleh daripada sistem tersebut.

Jumlah pendapatan dikira dengan tepat oleh komputer selain salinannya boleh dicetak untuk disimpan oleh pembayar cukai.

Berbanding dengan penggunaan borang yang memerlukan masa yang lama berikutan beribu-ribu naskah dihantar kepada LHDN untuk disemak sebelum ditentukan jumlah cukai sebenarnya.

Hasmah juga memberitahu, sekiranya pelanggan terlebih bayar daripada jumlah sepatutnya, LHDN akan mengembalikan wangnya dalam tempoh sebulan mengikut peraturan dalam Piagam Pelanggan.

Bagaimanapun katanya, wang hanya akan dikembalikan dengan syarat borang diisi dengan lengkap dan semua tuntutan potongan cukai tidak menimbulkan keraguan.

Sekiranya keraguan berlaku berikutan tuntutan potongan cukai yang tidak munasabah atau terlebih tinggi daripada biasa, LHDN akan meminta pelanggan mengemukakan resit dan dokumen sokongan bagi mengesahkan tuntutan.

Berhubung sistem e-filing yang menghadapi masalah 'kesesakan' pada 2006 iatiu ketika ia baru dilancarkan, Hasmah menjelaskan, banyak kelemahan yang dikenal pasti sejak dua tahun lalu telah berjaya diatasi oleh pihaknya.

Penambahbaikan sistem e-filing termasuklah meningkatkan jumlah server komputer dan talian Internet pada tiga hari terakhir tarikh tutup penyerahan penyata cukai pendapatan pada 30 April setiap tahun.

Perkakasan server juga ditambah bagi menampung jumlah transaksi dalam tempoh puncak, tegasnya.

Mengikut pengalaman pada 2006, sistem e-filing mengalami kesesakan di mana sebanyak 40,000 hingga 50,000 pelanggan menggunakan sistem tersebut pada hari yang sama.

"Pelanggan yang menggunakan sistem e-filing di rumah tidak bermasalah tetapi mereka yang datang ke kaunter-kaunter pembayaran LHDN tanpa resit dan dokumen yang sistematik telah menimbulkan masalah.

"Mereka yang terlibat akan menggunakan komputer terlalu lama kerana perlu menyemak dokumen sebelum mengisi borang dalam e-filing," jelasnya.

Untuk mengatasi masalah itu, pelanggan diminta mengisi borang mengikut resit sebelum menyempurnakan borang dalam sistem e-filing.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url