Komentar - Kemelut yang tidak pernah selesai di Thailand


Semalam adalah permulaan Tahun Baru bagi kalendar Thai. Biasanya ia disambut dengan penuh meriah. Apatah lagi dengan adanya pesta air atau Songkran yang menjadi tradisi rakyat Thailand.

Bagaimanapun perintah darurat ke atas Bangkok kelmarin tidak memungkinkan Pesta Songkran diraikan. Kehadiran ribuan penunjuk perasaan di lebih 10 lokasi utama menyebabkan Bangkok terus tegang. Larangan darurat tidak diendahkan oleh mereka.

Kejayaan merampas kereta perisai tentera di tengah Bangkok menyebabkan penunjuk perasaan berbaju merah tersebut menjadi semakin 'besar kepala'.

Apatah lagi selepas mereka berjaya mengaibkan kerajaan pada Sabtu lalu. Tindakan merempuh lokasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Pattaya menyebabkan kerajaan terpaksa membatalkan sidang berkenaan.

'Kejayaan-kejayaan' itu membuatkan penunjuk perasaan terus 'menguasai' Bangkok tanpa mengendahkan perintah darurat.

Semangat mereka disemarakkan lagi oleh 'amanat' yang disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, kelmarin. Thaksin yang kini dipercayai berada di Dubai mendesak penunjuk perasaan dan rakyat Thailand melancarkan "revolusi".

Mesej Thaksin mudah sekali. Beliau mahu tunjuk perasaan berkenaan diteruskan dan kerajaan pimpinan Abhisit didesak supaya berundur.

Jika diamati, modus operandi baju merah merupakan ulangan kepada apa yang dilakukan oleh kumpulan baju kuning - penyokong Abhisit Vejjajiva - sepanjang tahun lalu.

Tetapi kini demonstrasi secara aman sejak beberapa minggu lalu bertukar menjadi tidak terkawal apabila jumlah penunjuk perasaan meningkat kepada lebih 100,000 orang.

Penunjuk perasaan berbaju merah kelmarin turut bertindak membakar beberapa buah bas untuk menghalang daripada didekati oleh pihak tentera. Malah mereka turut membaling molotov cocktail ke arah tentera.

Akhirnya pagi semalam, 'Pesta Songkran' diadakan juga. Tetapi ia dilancarkan oleh pihak tentera. Setelah gagal menyuraikan penunjuk perasaan malah dibalas dengan tindakan keras dan provokatif, tentera akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.

Tindakan keras pihak tentera itu memang telah diduga berikutan ikrar Abhisit untuk mematahkan kemaraan penunjuk perasaan yang digelar oleh beliau sebagai 'musuh rakyat Thailand' itu.

Tindakan keras menyuraikan demonstrasi jalanan itu sepatutnya dilakukan lebih awal. Sepatutnya pada minggu lalu, sebelum kumpulan itu membuat onar di Pattaya.

Namun semua itu tidak dilakukan kerana menghormati hak asasi manusia. Penunjuk perasaan dibiarkan begitu sahaja. Mereka bebas berkumpul dan bebas menyuarakan bantahan tanpa kawalan.

Mungkin pada perkiraan awal kerajaan, penunjuk perasaan tidak akan bertindak sejauh itu, tidak sampai ke tahap mengaibkan negara.

Percaturan itu bagaimanapun ternyata silap. Natijahnya, Thailand berjaya 'mencipta' sejarah. Pembatalan sidang di Pattaya pada Sabtu lalu merupakan yang pertama dalam sejarah 42 tahun penubuhan ASEAN.

Bagaimanapun walau terlambat, jelas masih belum terlewat untuk Abhisit membetulkan keadaan. Beliau sudah mempelajari satu pelajaran yang pastinya tidak mungkin dilupakan seumur hidup.

Insiden kereta yang dinaikinya ditahan dan cermin dipecahkan oleh perusuh selain Ketua Setiausahanya, Niphon Promphan diheret keluar dari kereta dan dibelasah sehingga patah tulang rusuk, pasti akan menjadi pengajaran.

Semua itu berlaku apabila demokrasi tidak dihormati dan kebebasan hak asasi manusia diamalkan secara keterlaluan. Setakat ini mungkin hanya Thailand yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan hak seperti itu.

Kebebasan itu akhirnya menyebabkan negara itu menjadi huru-hara dan paling malang, imej hitam tersebut pastinya menjadi titik yang tidak mungkin dapat dibersihkan.

Jika ditelusuri, ketidakstabilan politik Thailand bermula sejak awal 2006 iaitu ketika Thaksin Shinawatra menduduki kerusi Perdana Menteri.

Beliau yang mendapat sokongan rakyat golongan marhaen terutama dari wilayah utara cuba dijatuhkan oleh penentang atas tuduhan rasuah. Penjualan firma telekomunikasi milik keluarganya kepada syarikat Singapura menyemarakkan kemarahan rakyat.

Ketika itu, gelombang penentangan dilakukan oleh Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD). Penyokong serta mereka yang bersimpati dengan PAD menyertai tunjuk perasaan dan mengenakan baju kuning - sebagai lambang menghormati institusi raja. Penentangan itu turut disokong oleh pihak tentera.

Akhirnya Thaksin digulingkan sewaktu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. Rampasan kuasa pada 19 September 2006 itu menyebabkan Thaksin hidup dalam buangan. Bagaimanapun pengaruhnya terus kekal di kalangan penyokong setia.

Thailand diperintah oleh junta tentera selama lebih setahun sebelum pilihan raya diadakan pada 23 Disember 2007.

Nasib masih menyebelahi Thaksin apabila para sekutunya yang menyertai Parti Kuasa Rakyat (PPP) berjaya mendapat sokongan pengundi dan membentuk kerajaan. PPP dianggotai oleh ahli dan bekas pemimpin Thai Rak Thai, parti yang diasaskan oleh Thaksin tetapi dibubarkan selepas beliau digulingkan.

Kemenangan PPP bagaimanapun tetap tidak direstui oleh PAD. Di sinilah bermulanya krisis politik Thailand. PAD dan musuh politik Thaksin enggan menerima keputusan pilihan raya walaupun kemenangan jelas berpihak kepada PPP.

PAD sekali lagi melancarkan protes jalanan bermula pada 25 Mei tahun lalu. Mereka mahu menyingkirkan Samak Sundaravej. Perdana Menteri itu secara terang-terangan mengaku beliau adalah kroni Thaksin.

Gelombang demonstrasi oleh kumpulan berbaju kuning menjadi semakin panas. Mereka menawan Rumah Kerajaan yang menjadi pusat pentadbiran negara pada pertengahan Ogos dan memaksa Samak beroperasi dari Lapangan Terbang Don Mueang.

Selepas beberapa usaha di mahkamah, Samak dipaksa berundur. Penggantinya, Somchai Wongsawat dilantik pada 17 September. Namun beliau juga tidak direstui oleh PAD.

Siri tunjuk perasaan gelombang kuning turut menyaksikan beberapa tindakan ganas termasuk insiden cubaan mengepung Parlimen yang menyebabkan dua terbunuh dan hampir 500 cedera. Ia merupakan rusuhan jalanan terburuk sejak 16 tahun.

Kemuncak tindakan PAD ialah apabila menawan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Mueang. Tindakan itu menyebabkan lebih 350,000 penumpang terkandas.

Usaha PAD berhasil apabila pada 2 Disember lalu, Mahkamah Perlembagaan membubarkan PPP dan menyebabkan Somchai terpaksa meletak jawatan.

Abhisit, 44, dilantik sebagai Perdana Menteri pada 15 Disember; yang ketiga dalam tempoh empat bulan. Beliau adalah Perdana Menteri yang direstui oleh PAD.

Dan kini, kitaran demonstrasi ala baju kuning ciptaan PAD itu bermula apabila penyokong Thaksin pula melancarkan demonstrasi pada 28 Disember. Modus operandi kumpulan pro-Thaksin itu sama seperti acuan yang disediakan oleh PAD.

Mungkin krisis politik Thailand ini akan berakhir sekiranya pilihan raya diadakan sekali lagi. Dan paling penting, keputusannya perlu dihormati oleh semua pihak. Tidak kira kumpulan mana yang menang, sama ada kroni Thaksin atau pihak yang pro-Abhisit.

Sekiranya tidak, gelombang tunjuk perasaan akan terus mewarnai jalan-jalan raya di Bangkok. Menghormati demokrasi dan kawalan ke atas hak asasi merupakan kunci ke arah menstabilkan semula Thailand.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url