Kongsi gelap Melayu
Hashim Atong ialah seorang bekas ketua gengster Melayu. Biarpun telah lama bersara daripada dunia gelap itu, pengalaman terlibat dengan pergaduhan serta aktiviti tidak bermoral masih segar dalam ingatannya.
Namun betulkah wujud kumpulan kongsi gelap yang terdiri daripada kaum Melayu sahaja?
"Kebiasaannya kongsi gelap Melayu ini cuma hangat-hangat tahi ayam. Mereka lebih tertumpu kepada kegiatan mengugut untuk mendapatkan rokok dan wang perlindungan daripada peniaga kecil.
"Berbanding kongsi gelap Cina, organisasi mereka lebih sistematik, kolektif dan terancang dalam melakukan kegiatan jenayah," ujar Hashim.
Kebanyakan kumpulan kongsi gelap didalangi oleh kaum Cina dan sekarang muncul kongsi gelap kaum India pula.
"Kes ugut dan bergaduh menggunakan pistol dan senjata tajam seperti pisau rambo, parang dan kapak menjadi perkara biasa.
"Namun sukar untuk pihak berkuasa mengenali mereka kerana modus operandi mereka amat licik dan dilakukan secara tersembunyi," katanya.
Hashim juga tidak menolak kemungkinan terdapat di kalangan ahli kongsi gelap Melayu yang menjadi tali barut kongsi gelap Cina dengan membantu ceti haram, ah long dan memeras ugut wang pinjaman.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Roslan Dahaman yang lebih dikenali dengan panggilan Lan Gajah tidak menafikan ada di kalangan ahli Pekida merupakan bekas ahli kongsi gelap.
"Kami mengalu-alukan mereka yang telah insaf untuk menjadi ahli Pekida dan melakukan aktiviti yang lebih sihat.
"Buat apa jadi ahli kongsi gelap. Hidup sentiasa diancam serta tidak selamat. Namun Kuala Lumpur sememangnya 'syurga' bagi kumpulan kongsi gelap," ujarnya.
Lan Gajah juga tidak menafikan ada pihak tertentu yang mendaftar sebagai ahli Pekida untuk memeras ugut pemilik premis perniagaan, meminta wang perlindungan daripada premis perjudian serta terlibat dalam pergaduhan.
"Ini yang menyukarkan kita tetapi jika kami dapat maklumat, kami terus bekerjasama dengan polis untuk menahan mereka. Jika dahulu terdapat 25 kumpulan kongsi gelap, kini jumlah itu mungkin telah meningkat.
"Sebenarnya kumpulan kongsi gelap ini telah bertapak di negara ini sejak zaman penjajah lagi. Kumpulan itu ada yang dikenali dengan Geng 8, 36 dan sebagainya. Mengapa popular dengan nombor saya pun tidak tahu. Tetapi walau licik macam mana pun, mereka akhirnya akan tumpas," katanya.
80 peratus geng jahat bersaudara
PENGANALISIS jenayah, Kamal Affendi Hashim ketika dihubungi Jurnal memberitahu, kumpulan kongsi gelap di negara ini mempunyai beberapa kaedah untuk berkomunikasi sesama mereka.
“Mereka berhubung dengan isyarat tangan, tanda bendera, tatu dan kod percakapan tertentu. Malah untuk menjadi ahli juga merupakan perkara yang sukar kerana ‘pemohon’ perlu melepasi upacara ritual sebelum diterima menjadi ahli.
“Sebelum menjadi ahli, mereka perlu minum air darah ayam, merangkak di celah kangkang ketua serta bersumpah menyimpan rahsia. Ironinya memasuki kumpulan kongsi gelap ibarat kaki kiri melangkah ke arah kematian,” ujarnya.
Katanya, kebanyakan kongsi gelap mempunyai kawasan tersendiri untuk mengutip wang perlindungan daripada premis perniagaan.
“Kadangkala mereka bergaduh sesama sendiri kerana berebut kawasan. Peniaga yang ingkar membayar wang, maut jawapannya.
“Di negara ini terdapat beberapa kumpulan kongsi gelap seperti Geng 21, Geng 8, Geng Ang Bin Hua, Tiger dan sebagainya.
“Mereka juga memeras ugut pengusaha pusat hiburan dan perjudian. Malah terdapat kecenderungan kumpulan kongsi gelap untuk mempengaruhi pelajar sekolah,” ujarnya.
Difahamkan, pelajar sekolah yang direkrut akan mengugut pelajar lain untuk memberikan wang serta barang berharga lain. Sekiranya permintaan tidak dipenuhi, mereka akan teruk dibelasah.
“Mereka mempunyai abang angkat yang terdiri daripada ahli kumpulan kongsi gelap. Di sinilah terletak peranan ibu bapa untuk mengawasi anak mereka setiap masa,” katanya.
Pakar psikologi Universiti Malaya (UM), Prof. Suradi Salim pula berpendapat kecenderungan seseorang menjadi ahli kongsi gelap adalah disebabkan keturunan.
“Saya berpendapat lebih 80 peratus kumpulan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai hubungan tali persaudaraan.
“Kerana itu ada kata pepatah bapa borek anak rintik. Malah faktor ekonomi daripada keluarga miskin juga menjadi punca,” katanya.
Bicaranya lagi, kebanyakan ahli kumpulan kongsi gelap terdorong dengan semangat ingin menguasai serta menjadi seseorang yang dihormati.
“Bukan sukar untuk peras ugut orang dan mendapat duit. Mereka tidak perlu bersusah payah. Dengan perwatakan bengis, garang, menakutkan serta menggunakan senjata tajam, ia mampu menggerunkan sesiapa.
“Namun mengapa mereka memilih perkara yang menyusahkan diri menjadi tanda tanya. Biarlah kita hidup sukar tapi bukan seperti cacing kepanasan kerana bayangan maut akan menanti ahli kongsi gelap,” katanya.
- KOSMO!