Top Ad 728x90

Laila Taib meninggal



Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada pukul 3.40 petang ini di kediaman mereka di Demak Jaya di sini akibat kanser.

Laila, 68, meninggalkan suami dan empat anak termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman serta 15 cucu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani dalam kenyataannya memberitahu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya pada pukul 11.30 pagi esok.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin menziarahi jenazah Allahyarham boleh berbuat demikian sebelum pukul 11 pagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang dalam lawatan rasmi dua hari ke sini turut menziarah jenazah Allahyarham petang ini.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng serta isteri Toh Puan Norkiah Abdullah turut menziarah.

Laila dilahirkan di Poland pada 1 Mac 1941 dalam sebuah keluarga Islam dan nama remajanya ialah Lejla Chaleck.

Kerja-kerja amal Laila bermula pada awal 1953 ketika Allahyarham belajar di Sekolah Tinggi Perempuan Adelaide, Australia dan berterusan ketika bergelar siswi perubatan di Universiti Adelaide pada 1959.

Allahyarham berkahwin di Adelaide pada 13 Januari 1959 ketika Abdul Taib mengikuti pengajian ijazah undang-undang. Allahyarham tiba di Sarawak pada 1962.

Semasa sambutan ulang tahun ke-50 perkahwinan mereka di sini 13 Januari lepas, Abdul Taib berkata, Laila adalah tunggak kekuatan dan sumber inspirasinya.

Beliau mengakui bukan mudah untuk seseorang wanita menjadi isteri kepada orang politik.

"Laila memainkan peranan utama hingga menyebabkan saya mampu mengemudi kehidupan saya,'' kata beliau.

Isteri Ketua Menteri Sarawak itu seorang yang aktif dalam kerja amal dan menyertai banyak badan kebajikan di negeri ini.

Allahyarham merupakan pengasas dan Presiden Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Sarawak (Sabati) sejak 1982 dan Penaung Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (Peryatim) sejak 1993.

Selain itu, Allahyarham juga adalah Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Penubuhan Tabung Amal Kanser Laila Taib membuktikan minatnya membantu pesakit yang memerlukan.

Sebagai mengiktiraf penglibatan aktif dalam kerja kemasyarakatan, beliau dianugerah Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang yang membawa gelaran Datuk Seri pada 1988.

- UTUSAN

1 Comment:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90