Teknologi pastikan trafik lancar


Ramai mengeluh apabila terperangkap di jalan raya atau lebuh raya terutama pada waktu puncak mengakibatkan jiwa merana menahan sabar duduk berjam-jam dalam kereta.

Pasti pemandu mengharapkan sesuatu dilakukan sebelum meneruskan perjalanan seperti sistem berkeupayaan memaklumkan tempoh masa tertentu atau keadaan jalan setiap kali mahu memulakan gear kenderaan.


Sebelum pemandu memulakan perjalanan, perkara sering dirisaukan tentunya cabaran berdepan masalah lalu lintas, apa salahnya kalau ada teknologi yang boleh memberi maklumat sekiranya terdapat kesesakan teruk atau kemalangan sepanjang destinasi dituju.

Menyedari kepentingan menawarkan maklumat lebuh raya kepada orang ramai bagi memudahkan mereka mengatur rancangan perjalanan sebelum atau ketika bergerak di jalan, Plus Expressway Berhad (Plus) mempunyai inisiatif yang dimulakan dengan Pusat Kawalan Trafik (TMC) menyusun pergerakan serta mengawasi keadaan trafik di lebuh raya kendalian Plus.

TMC bukan sistem baru yang dimiliki Plus malah ia wujud selari dengan penubuhan organisasi itu, cuma sebelum ini tempat kawalan itu tidak diletakkan di bawah satu kawasan dan didapati di beberapa negeri.

Kali ini, ia mampu dikendalikan di bawah satu operasi terletak sebumbung bagi kawalan trafik yang meliputi semua negeri di negara ini dengan kos perbelanjaan membabitkan RM54 juta.

Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Operasi Plus, Nik Airina Nik Jaffar, berkata TMC Plus yang baru berpindah di Subang mampu menguruskan operasi trafik lebih baik terutama dibantu teknologi pintar diperoleh dari beberapa negara.

"TMC adalah pusat operasi yang menyelia keadaan trafik di lebuh raya Plus merangkumi jarak sehingga 971 kilometer dari utara hinggalah ke selatan Semenanjung dan kami berusaha meningatkan kualiti penyeliaan terutama dengan bantuan inovasi sedia ada," katanya.

Katanya, Plus mempunyai Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) yang menggabungkan beberapa teknologi canggih seperti Sistem Pengesan Kenderaan Secara Automatik (AVDS), Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV), Papan Tanda Elektronik (VMS) dan sistem kedudukan global (GPS).

"Teknologi yang dibangunkan melalui ITS membantu memberikan mutu perkhidmatan terbaik seterusnya membolehkan pengguna lebuh raya bergerak secara lebih selesa terutama kepada anggaran hampir 1.3 juta pengguna lebuh raya Plus setiap hari," kata Nik Airina.

Plus mempunyai beberapa rangkaian lebuh raya termasuk Lebuh Raya Utara - Selatan, Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Persekutuan 2, Lebuh Raya Elite,

Lebuh Raya Link Kedua, Lebuh Raya Seremban - Port Dickson dan Lebuh Raya Butterworth - Kulim (BKE).

Nik Airina berkata, ITS ditingkatkan dari semasa ke semasa dengan penambahan inovasi serta kecekapan yang mengambil kira keperluan pengguna lebuh raya serta peningkatan kenderaan.

"Salah satu teknologi terkini yang diambil dari Amerika Syarikat ialah AVDS menjadikannya kerangka utama untuk ITS buat masa ini," jelas Nik Airina.

Sistem AVDS dipasang di lebih 71 lokasi dari Rawang hingga USJ atau kira-kira 30 kilometer yang merangkumi perkakasan dan perisian berkemampuan mengkaji faktor kenderaan dari segi kelajuan, berat, jumlah dan sebagainya.

AVDS mempunyai teknologi bertindak secara 24 jam dengan mengambil kira faktor perjalanan dan kenderaan berdasarkan algoritma tertentu diasaskan inovasi matematik membolehkan Plus mengkaji data diberikan yang seterusnya disalurkan kepada pengguna lebuh raya.

Teknologi terbabit akan diperincikan pegawai Plus sebelum membuat pengumuman perjalanan melalui sistem paparan VMS yang memudahkan pemandu.

Sebagai contoh, sekiranya terdapat pergerakan kenderaan banyak di lebuh raya, teknologi AVDS akan menggunakan faktor algoritma bagi menentukan jarak perjalanan yang boleh dijangka pemandu untuk sampai ke destinasi.

Ia akan dipaparkan di skrin VMS yang terdapat di beberapa lokasi strategik memungkinkan pemandu merancang perjalanan mereka.

Contohnya, jika pergerakan kenderaan perlahan dan tidak menunjukkan kelajuan pada kadar biasa, sistem terbabit akan menghantar data perjalanan yang kemudiannya dipaparkan di skrin.

Kalau pengguna lebuh raya berada di atas jalan dan mendapati tulisan '20 minit untuk ke Subang' pada skrin VMS, ia bukan anggaran pegawai Plus tetapi berdasarkan data diperoleh daripada AVDS.

Kemudahan AVDS yang diperoleh dari Belgium membantu pegawai Plus mengawal trafik secara masa sebenar di kawasan yang mempunyai kapasiti kenderaan banyak seperti dalam kawasan bandar.

Pengguna mahukan maklumat yang membantu mereka menjimatkan masa dan merancang tempoh perjalanan mereka terutama di kawasan sibuk seperti berhampiran bandar.

"Melalui pemerhatian Plus, pengguna hanya mahu mengetahui masa atau kesesakan lalu lintas sama ada ia berlaku atau tidak dan ia menjadi tanggungjawab kami menyalurkan maklumat yang ada kepada mereka," kata Nik Airina.

AVDS dipasang kira-kira dua tahun lalu dan Plus mempunyai perancangan untuk menambah prasarana sama di lebuh raya dimilikinya pada masa akan datang.

Plus turut mempunyai 40 kiub video yang dibawa dari Amerika Syarikat dan Perancis mengawal keadaan lalu lintas 24 jam serta tujuh hari seminggu bagi melancarkan operasi trafik diseliakan 25 hingga 35 pegawai Plus.

Bercakap mengenai perkara itu, Pengarah Urusan Plus, Noorizah Abd Hamid, berkata 40 kiub yang dibangunkan berjaya ditambah di TMC berbanding hanya lapan kiub di pejabat sebelum ini di Jalan Klang Lama.

"Walaupun 40 kiub bersaiz 50 inci setiap satu itu mengawal lebuh raya dari utara hingga selatan negara ini, ia mampu memberi tindak balas yang pantas kepada pengguna sekiranya terdapat masalah seperti kemalangan dan sebagainya," jelasnya.

Dalam pada itu, Nik Airina memaklumkan, TMC menggunakan sistem dan teknologi canggih dan terkini bagi manfaat dan faedah kepada pengguna lebuh raya daripada beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Perancis, Belgium, Switzerland dan Jerman berdasarkan keperluan tertentu.

"Gabungan teknologi dari beberapa negara mampu memberikan yang terbaik kepada kami dalam menyelia trafik Plus," katanya.

Nik Airina berkata, antara teknologi lain digunakan termasuk 1,600 CCTV yang disediakan di lokasi strategik di lebuh raya termasuk di plaza tol dan persimpangan bertingkat.

"Turut disediakan ialah sistem lain adalah CCTV di lebuh raya yang menggunakan teknologi daripada Switzerland disediakan di 34 tempat sepanjang lebuh raya bagi

mengawasi dan memantau pergerakan trafik," tambahnya lagi.

Kalau saluran maklumat bergantung kepada paparan VMS semata-mata mungkin tidak cukup kepada pemandu untuk mendapatkan data trafik kerana ada antara mereka yang mahukannya sebelum memulakan perjalanan.

Mengulas mengenai isu terbabit, Nik Airina berkata Plus berusaha menambah kemudahan dalam menyediakan saluran maklumat lebih pantas kepada pengguna antaranya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Kita sudah memulakan khidmat terbabit ketika musim perayaan namun kami ada perancangan untuk memperluaskannya untuk digunakan di luar musim tertentu semata-mata," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan khidmat lain seperti khidmat pesanan multimedia (MMS) dan sebagainya bagi memudahkan pengguna lebuh raya.

Siapa tahu, mungkin pada suatu hari nanti, pengguna lebuh raya boleh menonton keadaan jalan secara langsung melalui telefon bimbit atau peranti mudah alih lain sekiranya teknologi sedemikian berjaya dibangunkan.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url