Matahari tepat atas tropika punca cuaca panas

Jabatan Meteorologi menjelaskan, keadaan cuaca panas dengan suhu tertinggi 36 darjah Celsius sepanjang bulan ini berikutan musim peralihan monsun.

Pada masa yang sama, orang ramai diminta supaya lebih berhati-hati dalam melakukan aktiviti di luar di samping minum lebih banyak air bagi mengelak masalah kekurangan air dalam badan.

Kenyataan jabatan itu di sini hari ini memberitahu, sepanjang musim yang berlaku pada setiap April tersebut, kebiasaannya cuaca panas pada sebelah pagi tetapi hujan dan ribut petir ketika lewat petang dan malam.

Menurutnya, berdasarkan bacaan yang direkodkan dari 1 April sehingga semalam di 40 stesen meteorologi, terdapat hari-hari yang menunjukkan beberapa stesen mencatatkan suhu maksimum.

Tambah kenyataan itu, suhu tertinggi direkodkan ialah 36.1 darjah Celsius di Stesen Meteorologi Petaling Jaya pada 17 dan 18 April lalu.

''Keadaan cuaca panas dan kering dari pertengahan April disebabkan perubahan tiupan arah angin dari timur ke barat.

''Kedudukan matahari yang tepat dalam kawasan tropika menyebabkan suhu menjadi panas pada hari-hari tiada hujan,'' tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, suhu tertinggi yang pernah direkodkan sejak 1968 ialah 40.1 darjah Celsius di Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998, iaitu pada tahun berlakunya fenomena El Nino.

Jabatan itu juga memberitahu, mulai Mei hingga September ini, negara akan mengalami Monsun Barat Daya yang mana lazimnya cuaca lebih kering berbanding bulan-bulan lain tetapi dengan suhu normal antara 30.7 dan 34.1 darjah Celsius.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url