Melindungi hak orang cacat

Walaupun Akta Orang Kurang Upaya berkuatkuasa pada Julai tahun lalu, namun undang-undang ini belum dapat mencerminkan sama ada ia efektif untuk melindungi hak OKU di negara ini.

Sebuah akhbar baru-baru ini melaporkan pengalaman seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda ketika berkunjung ke sebuah bank di Subang Jaya, Selangor.

Menurut laporan itu, OKU berkenaan terpaksa menunggu selama 45 minit di luar bank sebelum mendapat bantuan kerana tiada kemudahan bagi orang berkerusi roda untuk memasuki premis itu.

"Tak payah pergi bank...lah, minta saja isteri tolong," kata seorang rakan kepada penulis bila diceritakan kepadanya mengenai insiden itu.

"Sejauh mana berkesannya Akta Orang Kurang Upaya 2008?" tanya seorang pendidik, Fatimah Mansur.

Baginya, walaupun Akta Orang Kurang Upaya berkuat kuasa pada Julai tahun lalu, namun undang-undang ini belum dapat mencerminkan sama ada ia efektif untuk melindungi hak OKU di negara ini.

Kata Fatimah lagi: "Adakah adil bagi orang kurang upaya bila tempat letak kereta yang dikhaskan untuk mereka disalahguna. Adakah ini sikap lepas tangan orang ramai?"

Tinjauan di beberapa tempat awam mendapati pandangan pendidik itu benar.

Di kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Utara-Selatan di Sungai Buloh, Selangor, terdapat tiga petak letak kereta untuk kereta OKU tetapi selalunya disalahguna dan dipenuhi oleh motosikal dan kenderaan lain.

Keadaan yang sama juga kerap berlaku di beberapa kompleks membeli-belah di ibu kota yang mana petak letak kereta untuk OKU dipenuhi dengan kenderaan mereka yang tidak cacat.

Layanan kelas pertama

Masih dibelenggu oleh pengalaman yang sama dalam satu kejadian pada tahun 2006, penulis yang memakai kaki palsu teragak-agak ketika mahu masuk ke sebuah bank di Petaling Jaya untuk menunaikan urusan perbankan baru-baru ini.

Angka giliran di papan elektronik menunjukkan 5,041 dan penulis sugul bila melihat kertas di tangan menunjukkan gilirannya adalah selepas 60 pelanggan lagi.

Kemudian sesuatu yang menarik berlaku.

"Boleh saya tolong encik?" Seorang pegawai bank tiba-tiba muncul.

Hari itu, merupakan antara hari yang paling menggembirakan bagi penulis kerana layanan istimewa bagi OKU juga diterima di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Selangor dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Shah Alam, Selangor.

Di pejabat KWSP, penulis dijemput ke satu kaunter dan dilayani seorang pegawai. Dengan hanya beberapa minit, permohonan untuk beberapa dokumen penting diselesaikan.

Di pejabat LHDN, penulis menikmati kemudahan 'laluan hijau' dan tanpa perlu mengambil nombor giliran, layanan segera diterima berkenaan dengan permohonan pembayaran balik cukai.

Itulah layanan istimewa yang diterima OKU.

Akta Orang Kurang Upaya

Akta Orang Kurang Upaya mula dikuat kuasa pada 7 Julai 2008. Ia adalah perundangan pertama yang berlandaskan hak bagi OKU.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dilaporkan sebagai berkata, melalui penguatkuasaan undang-undang itu, OKU boleh menikmati kemudahan yang lebih baik dalam pelbagai sektor seperti pengangkutan dan perkhidmatan.

Mereka juga akan mendapat peluang yang sama dalam bidang kesihatan, pelajaran, komunikasi teknologi maklumat serta sukan, riadah dan kebudayaan.

Akta itu memberikan hak untuk pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan serta kebajikan OKU dengan terbentuknya Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya.

Bagaimanapun, menurut Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan ketika akta itu mula dikuat kuasakan, tiada peruntukan untuk sebarang penalti bagi pihak yang memilih mengingkari apa yang dikehendaki oleh akta berkenaan.

Menurut Ambiga, walaupun akta itu menyatakan OKU berhak untuk mendapatkan kemudahan pengangkutan awam, perumahan, pelajaran, pekerjaan serta penjagaan kesihatan, tiada apa yang boleh dilakukan jika mereka ini didiskriminasi.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url